Kakimuvee
Berita

The Hunger Games: Sunrise on the Reaping Catat Kutipan Pembukaan AS$225 Juta Di Seluruh Dunia

Filem terbaharu francais The Hunger Games, The Hunger Games: Sunrise on the Reaping, memulakan tayangannya dengan cemerlang apabila berjaya mencatat kutipan pembukaan sebanyak AS$225 juta di seluruh dunia, sekali gus membuktikan francais popular terbitan Lionsgate itu masih mempunyai tarikan kuat dalam kalangan penonton.

Menurut laporan Variety, filem tersebut meraih AS$120 juta di pasaran Amerika Utara pada hujung minggu pembukaannya, manakala pasaran antarabangsa menyumbang AS$105 juta dari 84 wilayah.

Pencapaian ini turut meletakkan Sunrise on the Reaping sebagai salah satu daripada lima filem yang berjaya mencatat kutipan pembukaan melebihi AS$100 juta di Amerika Utara sepanjang 2026, menyertai Spider-Man: Brand New Day, Toy Story 5, The Super Mario Galaxy Movie dan The Odyssey.

Lebih menarik, kutipan pembukaan filem keenam francais ini hampir menyamai beberapa filem asal The Hunger Games. Sebagai perbandingan, The Hunger Games (2012) mencatat AS$152 juta, diikuti Catching Fire (2013) dengan AS$158 juta, Mockingjay – Part 1 (2014) sebanyak AS$121 juta dan Mockingjay – Part 2 (2015) dengan AS$102 juta.

Pencapaian tersebut juga jauh mengatasi filem prekuel sebelumnya, The Ballad of Songbirds and Snakes (2023), yang hanya meraih AS$44 juta pada minggu pembukaan di Amerika Utara sebelum menamatkan tayangannya dengan kutipan global sebanyak AS$363 juta.

Bagaimanapun, Sunrise on the Reaping mempunyai kos produksi yang lebih tinggi, iaitu melebihi AS$150 juta, tidak termasuk perbelanjaan pemasaran di seluruh dunia.

Selain sambutan memberangsangkan di pawagam, filem arahan Francis Lawrence ini turut menerima penilaian A- daripada penonton menerusi CinemaScore, sekali gus memberi petanda positif terhadap prestasi kutipannya untuk minggu-minggu seterusnya.

Diadaptasi daripada novel karya Suzanne Collins, Sunrise on the Reaping membawa penonton kembali ke dunia Panem dengan kisah yang berlaku ketika Hunger Games ke-50, atau dikenali sebagai Second Quarter Quell.

Kali ini, penceritaan memberi tumpuan kepada Haymitch Abernathy ketika muda, lakonan Joseph Zada, sebelum beliau dikenali sebagai mentor kepada Katniss Everdeen dan Peeta Mellark dalam siri asal. Watak tersebut sebelum ini dibawakan oleh Woody Harrelson.

Menurut penganalisis industri, kejayaan pembukaan filem ini didorong oleh populariti francais yang merentasi beberapa generasi, selain keterujaan peminat untuk menyaksikan kisah asal watak-watak yang mempunyai hubungan rapat dengan siri terdahulu.

Dengan pencapaian terbaharu ini, keseluruhan francais The Hunger Games kini telah mengumpul kutipan global sebanyak AS$3.43 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai francais filem paling berjaya dalam sejarah Lionsgate, mengatasi The Twilight Saga yang mencatat AS$3.3 bilion menerusi lima filem.

Kejayaan Sunrise on the Reaping juga menjadi satu lagi pencapaian besar Lionsgate pada tahun ini selepas filem biografi Michael yang dilaporkan berjaya melepasi kutipan AS$1 bilion di seluruh dunia.

Filem Ebenezer lakonan Johnny Depp pula kini berada di kedudukan ketiga carta box office Amerika Utara selepas meraih AS$7.7 juta pada minggu kedua tayangannya. Kutipan tersebut menyaksikan penurunan sebanyak 60 peratus berbanding minggu pembukaan.

Filem terbitan Paramount Pictures yang diadaptasi daripada karya klasik A Christmas Carol itu kini mengumpul AS$32.5 juta di Amerika Utara, manakala kutipan globalnya telah mencecah AS$78 juta.

Dengan bajet produksi sekitar AS$38 juta, prestasi Ebenezer masih dianggap memuaskan, meskipun sambutan terhadap kemunculan semula Johnny Depp dalam sebuah produksi besar Hollywood tidak begitu memberangsangkan seperti yang diharapkan.

The Hunger Games: Sunrise on the Reaping dan Ebenezer kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Sumber: Variety

Related posts

Emily Blunt, Benicio Del Toro Dan Josh Brolin Kembali Untuk Sicario 3

Karim Khan

Evil Dead Burn Tiba Ke Platform Digital Ogos Ini

Karim Khan

Inde Navarrette Mahu Bawa Watak Mystique Ke MCU, Akui Sudah Bertemu Pengarah X-Men

Karim Khan

Sucker Punch Versi Director’s Cut Masih Lagi Dalam Perancangan Zack Snyder

Karim Khan

Prestasi Supergirl Terus Merosot, Warner Bros. Dijangka Rugi Lebih AS$100 Juta

Karim Khan

Tim Curry, Bintang The Rocky Horror Picture Show Dan It, Meninggal Dunia Pada Usia 80 Tahun

Karim Khan

Leave a Comment