
A24 bersama Spooky Pictures dan Image Nation Studios kini sedang membangunkan filem cereka berdasarkan SCP Foundation, sebuah dunia seram dan fiksyen sains yang bermula sebagai projek komuniti di internet.
Filem tersebut dijadualkan ditayangkan di pawagam pada 2027, dengan A24 memegang hak edaran di seluruh dunia.
Projek ini juga akan menjadi filem cereka pertama yang diadaptasi daripada SCP Foundation, sebuah mitologi kolaboratif yang mula diwujudkan secara dalam talian pada 2008. Sejak itu, dunia SCP Foundation terus berkembang menerusi sumbangan ribuan penulis dari seluruh dunia.
Dunia fiksyen tersebut menampilkan pelbagai kisah mengenai objek, makhluk dan fenomena anomali, selain telah menjadi inspirasi kepada permainan video, filem pendek dan siri web.
Menariknya, filem ini turut menjadi sebahagian daripada francais filem seram V/H/S. A24 turut akan menerbitkan filem tersebut bersama Roy Lee dan Steven Schneider menerusi Spooky Pictures, serta Josh Goldbloom dan Michael Schreiber.
Goldbloom sebelum ini terlibat dalam penerbitan beberapa filem V/H/S, termasuk V/H/S/94, V/H/S/99 dan V/H/S/Halloween. Schreiber pula pernah bekerja untuk V/H/S/94 dan V/H/S/Beyond.
Bagi pihak Image Nation Studios, Ketua Pegawai Eksekutif Ben Ross akan bertindak sebagai penerbit eksekutif bersama Rami Yasin dan Jakob Pollack daripada Spooky Pictures, serta Brad Miska.
Menurut kenyataan bersama Ben Ross, Roy Lee dan Steven Schneider, kisah-kisah seram yang lahir daripada internet semakin mendapat perhatian kerana mempunyai komuniti peminat yang besar dan setia.
Mereka melihat dunia seperti SCP Foundation sebagai sumber cerita baharu yang mempunyai potensi untuk dikembangkan ke layar perak, selain memberi peluang kepada pencipta dan bakat di sebalik projek-projek tersebut membawa karya mereka kepada penonton pawagam.
Pengumuman ini hadir selepas A24, Spooky Pictures dan Image Nation Studios memperoleh hak ke atas francais antologi seram V/H/S pada awal tahun ini.
Filem SCP Foundation akan menjadi projek seterusnya dalam francais tersebut selepas V/H/S/Mixtape, sebuah filem antologi bertemakan muzik yang dijadualkan ditayangkan menerusi Shudder pada Oktober.
Kerjasama ini juga meneruskan minat A24 terhadap karya seram yang bermula di internet. Sebelum ini, studio tersebut menerbitkan Backrooms, filem cereka sulung arahan Kane Parsons yang diadaptasi daripada siri video pendeknya mengenai ruang liminal Backrooms.
Backrooms dilaporkan meraih kutipan sebanyak AS$394 juta (sekitar RM1.65 bilion) di seluruh dunia, sekali gus menunjukkan potensi besar kandungan seram yang bermula sebagai fenomena internet untuk berkembang menjadi filem pawagam.
Buat masa ini, butiran mengenai jalan cerita, barisan pelakon dan pengarah filem SCP Foundation masih belum didedahkan.
Sumber: The Wrap
