
Reboot Resident Evil arahan Zach Cregger nampaknya mendapat sambutan yang cukup baik daripada penonton di Amerika Syarikat.
Filem tersebut berjaya mengutip sekitar AS$8.8 juta (RM37 juta) daripada tayangan awal pada Khamis. Jumlah itu merupakan kutipan tayangan awal terbaik yang pernah dicatatkan oleh filem Resident Evil.
Sebagai perbandingan, Resident Evil: The Final Chapter (2016) sebelum ini memegang rekod dengan kutipan sekitar AS$1 juta daripada tayangan awal.
Prestasi awal ini juga menyebabkan anggaran kutipan pembukaan hujung minggu filem tersebut mula meningkat. Pada mulanya, Resident Evil dijangka meraih sekitar AS$40 juta hingga AS$50 juta di Amerika Syarikat.
Namun, berdasarkan sambutan awal yang diterima, filem ini kini berpotensi membuka tayangan dengan kutipan melebihi AS$50 juta. Jika momentum tersebut berterusan sepanjang hujung minggu, kutipannya juga dianggarkan boleh mencecah sekitar AS$65 juta hingga AS$70 juta.
Resident Evil Terima Sambutan Positif
Selain kutipan box office, reboot ini turut mendapat sambutan positif daripada pengkritik dan penonton.
Resident Evil kini mencatat skor 96% di Rotten Tomatoes, manakala skor penonton menerusi Popcornmeter berada pada 91%.
Skor tersebut juga menjadi yang tertinggi untuk kategori penonton dalam sejarah francais berkenaan. Sebelum ini, filem Resident Evil yang dibintangi Milla Jovovich pada 2002 memegang skor penonton tertinggi dengan 67%.
Bagaimanapun, skor Rotten Tomatoes masih boleh berubah apabila lebih banyak ulasan daripada pengkritik dan penonton dikumpulkan.
Reboot ini tidak meneruskan cerita daripada enam filem Resident Evil yang dibintangi Milla Jovovich. Sebaliknya, Zach Cregger membawa cerita baharu yang masih berlatarkan dunia penuh ancaman dan kekacauan.
Filem ini mengisahkan Bryan, seorang penghantar barangan perubatan yang tiba-tiba terperangkap dalam satu malam yang bertukar menjadi perjuangan untuk terus hidup.
Austin Abrams memegang watak utama sebagai Bryan, manakala barisan pelakon turut menampilkan Zach Cherry, Kali Reis dan Paul Walter Hauser.
Cregger mengarahkan filem ini berdasarkan skrip yang ditulisnya bersama Shay Hatten. Sebelum ini, Cregger dikenali menerusi filem Barbarian dan Weapons.
Dengan kos produksi yang dilaporkan sekitar AS$75 juta, prestasi Resident Evil di pawagam akan menjadi penting untuk menentukan sejauh mana reboot ini mampu menghidupkan semula francais tersebut.
Sumber: Comic Book Movie.
