
PETALING JAYA, 4 Ogos – Godzilla bersedia untuk kembali menguasai layar perak. GSC Movies dengan sukacitanya mengumumkan bahawa filem yang dinanti-nantikan, Godzilla Minus Zero, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 5 November 2026. Peminat juga berpeluang menyaksikan filem ini sehari lebih awal menerusi tayangan IMAX bermula 4 November 2026.
Filem ini hadir susulan kejayaan luar biasa Godzilla Minus One, yang mendapat pujian di seluruh dunia menerusi gabungan kesan visual mengagumkan, jalan cerita yang menyentuh emosi serta interpretasi baharu terhadap raksasa legenda tersebut.
Dianggap sebagai antara karya terbaik dalam francais Godzilla, filem itu turut mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Akademi Ke-96 bagi kategori Kesan Visual Terbaik, sekali gus meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap sekuelnya.
Pengarah, penulis skrip dan penyelia kesan visual yang memenangi Anugerah Akademi, Takashi Yamazaki, kembali menerajui filem ini dengan sentuhan sinematik tersendiri untuk bab seterusnya dalam kisah Raja Raksasa yang ikonik.
Berlatarbelakangkan tahun 1949, iaitu dua tahun selepas peristiwa dahsyat dalam Godzilla Minus One, filem ini mengisahkan kesinambungan kehidupan keluarga Shikishima ketika Jepun sedang berusaha membina semula negara dan mengembalikan kehidupan seperti sediakala. Namun, ketika keamanan akhirnya kelihatan semakin hampir, satu ancaman baharu yang lebih menggerunkan mula muncul.
Ryunosuke Kamiki dan Minami Hamabe kembali menggalas watak Koichi Shikishima dan Noriko Shikishima. Mereka disertai semula oleh Hidetaka Yoshioka, Yuki Yamada, Kuranosuke Sasaki, Sakura Ando dan Miou Tanaka. Turut menyertai barisan pelakon ialah Min Tanaka, yang membawa watak Kanji Murakami, seorang ahli biologi yang masih dihantui trauma peperangan.
Menggabungkan kisah kemanusiaan yang menyentuh hati, skala kemusnahan yang lebih epik serta kemunculan semula salah satu raksasa paling ikonik dalam sejarah perfileman, Godzilla Minus Zero menjanjikan pengalaman sinematik yang tidak dapat dilupakan, sama ada untuk peminat setia mahupun generasi penonton baharu.
Menariknya, filem ini dirakam sepenuhnya menggunakan kamera digital definisi tinggi yang diperakui IMAX, sekali gus menjadikannya filem Godzilla pertama dari Jepun yang dihasilkan menerusi program “Filmed For IMAX”. Penonton yang ingin menikmati pengalaman tontonan seperti yang dihasratkan oleh pembikin filem boleh menyaksikannya dalam format IMAX bermula 4 November 2026.
“Tiada peluang ketiga. Segalanya berakhir di sini.”
Godzilla Minus Zero akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 November 2026.

Orang ramai disarankan untuk mengikuti laman web rasmi dan saluran media sosial GSC Movies, serta rakan radio rasmi ERA, SINAR, MY, HITZ, RAAGA, MELODY, MIX, LITE dan GOXUAN bagi mendapatkan maklumat terkini, kemas kini eksklusif serta pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi.
