
James Gunn memberi bayangan bahawa proses pemilihan pelakon untuk membawa watak Batman dalam DC Universe (DCU) bakal bermula tidak lama lagi, sekali gus memberikan perkembangan terbaharu mengenai filem Batman: The Brave and the Bold yang diumumkan sejak 2023.
Ketika muncul dalam episod khas podcast The Suicide Squad: Is It Canon? bersama pelakon Peacemaker, Jennifer Holland dan Steve Agee, Gunn menjelaskan bahawa DC Studios kini semakin hampir untuk mencari pelakon yang sesuai bagi membawakan watak Bruce Wayne dalam DCU.
Menurut Gunn, beliau mahu memastikan pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kemampuan lakonan, bukannya semata-mata populariti seseorang bintang.
"Salah satu perkara yang membuatkan saya teruja untuk memilih Batman ialah peluang mendapatkan pelakon yang benar-benar paling sesuai untuk watak tersebut," katanya.
Gunn turut berpandangan bahawa pelakon Superman selama ini sering dipilih berdasarkan kesesuaian mereka dengan watak berkenaan, sedangkan pemilihan Batman lebih cenderung mengutamakan nama besar dalam industri perfileman.
Selain kemampuan lakonan, faktor usia juga akan memainkan peranan penting dalam pemilihan Batman baharu. Gunn menjelaskan bahawa Batman dan Superman dalam DCU sepatutnya berada dalam lingkungan usia yang hampir sama.
"Saya tidak fikir perbezaan usia mereka terlalu jauh. Mereka bakal menjadi sahabat baik dan merupakan individu daripada generasi yang sama," jelasnya.
Walaupun Batman versi DCU masih belum diperkenalkan secara rasmi dalam filem, kewujudannya sebenarnya sudah pun disahkan menerusi kemunculan ringkas dalam siri animasi Creature Commandos.
Filem Batman: The Brave and the Bold pertama kali diumumkan pada Januari 2023 sebagai sebahagian daripada perancangan awal DCU. Andy Muschietti, yang pernah mengarahkan The Flash (2023), dijangka mengarahkan filem tersebut berdasarkan skrip tulisan Christina Hodson (Birds of Prey).
Bagaimanapun, DC Studios masih belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi mahupun barisan pelakon filem berkenaan.
Dalam masa sama, DC Studios turut mempunyai dua versi Batman yang berbeza. Versi lakonan Robert Pattinson akan meneruskan kisahnya dalam The Batman: Part II arahan Matt Reeves, yang dijadualkan ditayangkan pada 18 Februari 2028.
Filem tersebut kekal sebagai sebahagian daripada projek Elseworlds dan tidak berkongsi kesinambungan cerita dengan DCU utama yang dikendalikan Gunn dan Peter Safran.
Sementara itu, filem DCU seterusnya, Man of Tomorrow, yang merupakan kesinambungan kepada Superman, dijadualkan menemui penonton pada 9 Julai 2027.
Sumber: SYFY Wire
