
Park Min-young kembali dengan drama romantik terbaharu berjudul Nine to Six, yang menyaksikan pelakon itu bergandingan dengan Yook Sung-jae dan Go Soo dalam kisah percintaan berlatarbelakangkan dunia korporat.
Prime Video mengumumkan bahawa siri Korea Selatan sebanyak 12 episod ini akan mula ditayangkan secara eksklusif pada 25 November 2026 di Malaysia serta lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Menggabungkan elemen komedi romantik, persaingan kerjaya dan hubungan di tempat kerja, Nine to Six mengisahkan Kang Yi-ji (Park Min-young), seorang wanita berkerjaya yang berjaya membina kehidupan mengikut perancangannya sendiri, tetapi tidak pernah menganggap percintaan sebagai satu keutamaan.
Sebagai pengurus kanan jabatan perundangan di Chronic Motors, Yi-ji dikenali sebagai seorang wanita yang bijak, tegas dan berdikari. Dia telah bekerja keras untuk membina kedudukan dalam persekitaran korporat yang didominasi lelaki, meskipun usaha yang dicurahkan tidak semestinya mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Pada asalnya, Yi-ji bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang astronomi. Bagaimanapun, atas dorongan ibunya, dia memilih bidang undang-undang dan sejak itu memberikan sepenuh perhatian terhadap perkembangan kerjayanya.
Baginya, cinta dan perkahwinan bukanlah sesuatu yang perlu dikejar. Malah, Yi-ji menganggap perasaan romantik sekadar tindak balas hormon yang bersifat sementara.
Namun, pendiriannya mula berubah apabila dua lelaki dengan personaliti dan pandangan hidup yang berbeza hadir dalam kehidupannya.

Yook Sung-jae membawakan watak Han Sun-woo, seorang pelatih undang-undang yang berhati lembut dan mempunyai minat mendalam terhadap reka bentuk barang kemas. Berbeza dengan Yi-ji yang sentiasa membuat keputusan berdasarkan logik, Sun-woo lebih mempercayai kata hati dan prinsip hidupnya sendiri.
Walaupun masih muda, Sun-woo memiliki kematangan dan keikhlasan yang membuatkannya disenangi. Apabila Yi-ji berdepan situasi berbahaya, dia tanpa teragak-agak mengutamakan keselamatan wanita itu berbanding dirinya sendiri. Tindakannya mula mengubah pandangan Yi-ji terhadap lelaki tersebut.
Sementara itu, Go Soo memegang watak Park Hyun-tae, seorang pengarah eksekutif di cawangan Seoul, Chronic Motors, yang baru pulang selepas berkhidmat di ibu pejabat syarikat itu di Eropah.
Hyun-tae merupakan seorang eksekutif berpengalaman, berkeyakinan tinggi dan sangat menghargai kecekapan dalam pekerjaan. Seperti Yi-ji, dia juga percaya bahawa kehidupan lebih mudah tanpa komitmen percintaan.
Bagaimanapun, pertemuannya dengan Yi-ji yang memiliki tahap profesionalisme dan cita-cita setanding dengannya mula mencabar prinsip hidup yang selama ini dipegang.

Kehadiran kedua-dua lelaki tersebut meletakkan Yi-ji dalam dilema antara mempertahankan kehidupan yang telah dibinanya atau membuka ruang kepada hubungan romantik yang tidak pernah dirancang.
Menerusi tiga watak utama dengan pendekatan berbeza terhadap cinta dan kerjaya, Nine to Six meneroka cabaran mencari keseimbangan antara kejayaan profesional dan kebahagiaan peribadi.
Siri ini turut menggabungkan humor di tempat kerja, konflik emosi serta dinamika hubungan antara rakan sekerja yang mempunyai perbezaan usia, kedudukan dan prinsip hidup.
Dari segi produksi, Nine to Six ditulis oleh Choi Ji-oh dan diarahkan oleh Lee Hyung-min, yang sebelum ini menghasilkan drama popular seperti Strong Girl Bong-soon, Miss Night and Day dan I'm Sorry, I Love You. Beliau turut bekerjasama dengan Oh Song-hee, yang pernah terlibat dalam pengarahan The Escape of the Seven.
Drama ini turut menyaksikan Park Min-young, yang terkenal menerusi Marry My Husband, Siren's Kiss dan Confidence Queen, kembali membawakan watak wanita berkerjaya dalam sebuah kisah romantik.
Sementara itu, Yook Sung-jae sebelum ini membintangi The Haunted Palace, The Golden Spoon dan Guardian: The Lonely and Great God, manakala Go Soo dikenali menerusi Missing: The Other Side, Colony dan Parole Examiner Lee.
Nine to Six akan mula ditayangkan secara eksklusif di Prime Video pada 25 November 2026. Perkhidmatan penstriman tersebut ditawarkan di Malaysia pada harga RM25 sebulan.
Sumber: Prime Video Malaysia
