
Jennifer Lawrence mungkin tidak keberatan melakukan aksi lasak di set penggambaran, tetapi jika diminta kembali menjalani proses solekan seluruh badan seperti ketika membawakan watak Mystique dalam francais X-Men, jawapannya cukup jelas: tidak mahu.
Pelakon pemenang Oscar itu berkongsi pengalamannya ketika menjayakan watak mutan berkulit biru tersebut dalam temu bual bersama majalah Allure. Lawrence pernah membawakan watak Mystique sebanyak empat kali, bermula dengan X-Men: First Class (2011) sehingga Dark Phoenix (2019).
Menurut Lawrence, perkara paling menyeronokkan sepanjang membawakan watak tersebut ialah latihan dan aksi lagak ngeri, lebih-lebih lagi kerana beliau dapat bekerjasama dengan Renee Moneymaker, pelakon lagak ngeri yang turut menjadi penggantinya ketika menjayakan watak Katniss Everdeen dalam francais The Hunger Games.
Bagaimanapun, pengalaman menjalani proses solekan untuk mengubah penampilannya menjadi Mystique merupakan perkara yang paling tidak digemarinya.
Apabila ditanya sama ada beliau sanggup kembali menjalani proses solekan prostetik yang rumit seperti itu, Lawrence memberikan jawapan yang cukup tegas.
"Orang kata jangan sesekali berkata tidak, tetapi memang sama sekali tidak! Semburan solekan itu sangat sejuk, sedangkan saya seorang yang mudah geli," katanya.
Lawrence turut mengakui pengalaman tersebut benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mentalnya, termasuk terpaksa bekerja dengan waktu tidur yang sangat terhad.
Dalam temu bual berasingan menerusi podcast Call Her Daddy, pelakon berusia 36 tahun itu mendedahkan bahawa proses solekan untuk X-Men: First Class mengambil masa sehingga lapan jam setiap kali penggambaran.
"Untuk First Class, seluruh badan saya disapu dengan cat dan gam. Proses itu mengambil masa lapan jam dan sangat menggelikan," jelasnya.
Beliau turut berseloroh dengan menggelarkan dirinya seorang wira kerana berjaya bertahan melalui pengalaman tersebut.
Malah, kesukaran yang dialaminya bermula lebih awal, ketika menjalani ujian penampilan untuk mendapatkan watak Mystique. Lawrence terpaksa mewarnakan rambutnya beberapa kali dalam satu hari, daripada merah kepada perang, hitam dan akhirnya blonde.
Proses tersebut menyebabkan rambutnya mengalami kerosakan kekal.
Walaupun Lawrence mempunyai kenangan manis sepanjang membintangi francais X-Men, pengalamannya menjalani transformasi fizikal yang ekstrem itu jelas bukan sesuatu yang mahu diulanginya.
Sumber: Variety, Allure, Call Her Daddy
