
Noah Schnapp bakal bintangi filem thriller baharu, Stealing From Pablo, selepas hampir sedekad dikenali sebagai Will Byers dalam siri popular Stranger Things.
Menurut laporan Deadline, Schnapp akan menerajui filem tersebut bersama David Mazouz, yang dikenali menerusi siri Gotham, manakala pelakon Brazil, Seu Jorge turut menyertai barisan pelakon.
Diarahkan Carlos V. Gutierrez, Stealing From Pablo diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku pada era 1980-an. Ia berkisarkan Red, seorang remaja yang tinggal dalam keluarga angkat, bersama sahabat baiknya, Dylan.
Kedua-duanya menyelinap masuk ke sebuah rumah agam terbiar di Florida untuk bermain papan selaju secara rahsia. Namun, mereka tidak menyangka rumah tersebut sebenarnya milik raja dadah terkenal, Pablo Escobar.
Penemuan itu membawa Red dan Dylan ke dalam dunia jenayah Escobar yang jauh lebih berbahaya daripada apa yang mereka bayangkan.
Bagi Schnapp, filem ini menandakan peranan filem pertamanya selepas membintangi siri Stranger Things. Pelakon itu mula memainkan watak Will Byers ketika berusia 11 tahun, dengan kehilangan wataknya menjadi antara pencetus utama kepada peristiwa dalam siri tersebut.
Sepanjang lima musim Stranger Things, Will kekal sebagai salah seorang watak penting, terutama menerusi hubungannya dengan Upside Down yang turut mempengaruhi jalan cerita utama siri berkenaan.
Namun, Stealing From Pablo bukanlah projek pertama Schnapp selepas membintangi Stranger Things. Dia bakal membuat kemunculan sulung di pentas teater menerusi komedi gelap Affluenza arahan Andy Sandberg di London pada bulan ini.
Filem baharu ini juga menemukan semula Schnapp dengan Seu Jorge selepas kedua-duanya pernah muncul bersama dalam filem coming-of-age Abe pada 2019.
Menariknya, Gutierrez turut mendedahkan bahawa Schnapp dan Mazouz mempunyai persamaan yang membantu mereka mendapatkan watak masing-masing. Kedua-duanya merupakan peminat sukan papan selaju, selain pernah membesar di hadapan kamera sejak usia muda.
Schnapp juga tidak hanya terlibat sebagai pelakon kerana dia turut bertindak sebagai salah seorang penerbit eksekutif filem tersebut.
Sementara itu, Mazouz juga mempunyai pengalaman membawakan watak ikonik ketika usia muda menerusi Gotham, di mana dia memainkan watak Bruce Wayne sepanjang lima musim siri tersebut.
Stealing From Pablo dijangka menjadi langkah baharu buat Schnapp selepas Stranger Things, dengan pelakon itu kini beralih daripada dunia supernatural Hawkins kepada sebuah kisah thriller jenayah yang berlatarkan peristiwa sebenar.
Butiran lanjut termasuk tarikh tayangan Stealing From Pablo masih belum diumumkan.
Sumber: ScreenRant/ Deadline
