
Francais ikonik fiksyen sains RoboCop kini bersedia membuat kemunculan semula menerusi sebuah siri televisyen baharu apabila Prime Video secara rasmi memberikan lampu hijau kepada projek tersebut.
Menurut laporan Variety, siri berkenaan telah menerima tempahan sebanyak lapan episod. Projek ini sebenarnya telah dibangunkan sejak Amazon mengambil alih MGM pada tahun 2022, dengan studio itu berusaha mengembangkan pelbagai francais popular dalam senarai IP milik MGM ke medium filem dan televisyen.
Kisah Baharu RoboCop
Siri ini akan mengisahkan sebuah syarikat teknologi gergasi yang meyakinkan pihak bandar untuk menempatkan sebuah robot berkuasa dalam pasukan polis. Robot tersebut kemudiannya diprogramkan menggunakan kesedaran seorang anggota polis yang telah terkorban ketika menjalankan tugas.
Peter Ocko dilantik sebagai penulis serta showrunner siri ini, manakala James Wan akan bertindak sebagai penerbit eksekutif menerusi Blumhouse Atomic Monster. Pencipta bersama RoboCop, Ed Neumeier, turut menyertai projek ini sebagai penerbit eksekutif.
James Wan berkata beliau merupakan peminat tegar RoboCop sejak sekian lama dan menyifatkan peluang membawa dunia tersebut ke televisyen sebagai satu impian yang menjadi kenyataan.
Menurutnya, karya asal arahan Paul Verhoeven pada tahun 1987 jauh mendahului zamannya, dengan tema mengenai teknologi, identiti dan pengaruh korporat yang masih relevan sehingga hari ini.
Wan turut menjelaskan bahawa visi Peter Ocko akan mengekalkan elemen yang menjadikan filem asal begitu ikonik, sambil memperkenalkan pendekatan baharu yang sesuai dengan dunia moden yang semakin dipacu teknologi.
Francais Yang Masih Relevan
Naib Presiden Amazon MGM Studios, Peter Friedlander, turut menyatakan bahawa RoboCop bukan sekadar sebuah francais aksi, malah dikenali kerana komentarnya terhadap hubungan manusia dengan teknologi dan kuasa.
Beliau percaya gabungan visi Peter Ocko bersama sentuhan sinematik James Wan mampu memperkenalkan RoboCop kepada generasi penonton baharu di Prime Video.
Walaupun lebih sedekad telah berlalu sejak filem RoboCop versi but semula ditayangkan pada 2014, francais ini masih terus aktif menerusi pelbagai medium. Antaranya termasuk permainan video RoboCop: Rogue City yang dilancarkan beberapa tahun lalu, selain siri dokumentari RoboDoc yang mengupas sejarah pembikinan francais tersebut.
Ini juga bukan kali pertama RoboCop diadaptasi sebagai siri televisyen. Pada tahun 1994, RoboCop: The Series pernah disiarkan dengan Richard Eden memegang watak utama, bermula dengan episod perintis berdurasi 89 minit sebelum diteruskan dengan 21 episod.
Sebelum ini, sebuah filem baharu berjudul RoboCop Returns pernah diumumkan dengan Abe Forsythe (Little Monsters) sebagai pengarah. Namun, projek tersebut dipercayai tidak lagi diteruskan berikutan fokus Amazon kini beralih kepada pembangunan siri televisyen ini.
