
Semasa sesi di dewah H, San Diego Comic-Con 2026, Prime Video telah mempersembahkan treler teaser pertama untuk musim ketiga siri fantasi epik, The Lord of the Rings: The Rings of Power. Panel istimewa itu turut menampilkan barisan pelakon bersama showrunner J.D. Payne dan Patrick McKay.
Treler baharu tersebut memberi gambaran bahawa musim ketiga bakal tampil dengan tona yang lebih gelap apabila Sauron meneruskan misinya menempa One Ring demi menguasai seluruh Middle-earth. Ancaman itu memaksa pelbagai kaum dan kerajaan membentuk pakatan baharu untuk menghalangnya daripada mencapai matlamat tersebut.
Selain treler, Prime Video turut mengumumkan beberapa watak baharu yang bakal muncul pada musim ini. Eddie Marsan akan membawakan watak Thrain, iaitu abang kepada Raja Durin IV, manakala Andrew Richardson memegang watak Anárion, adik kepada Isildur.
Adam Young pula akan muncul sebagai Marnûkh, seorang Orc misteri yang dikatakan menyimpan rahsia besar.
Sebelum ini, Prime Video turut mengesahkan Jamie Campbell Bower menyertai siri ini sebagai Celeborn, suami Galadriel yang telah lama hilang, sementara Zubin Varla akan membawakan watak Khamûl the Easterling.
Antara kejutan terbesar ketika panel berlangsung ialah pendedahan bahawa Balrog kini akan bertutur buat pertama kali dalam siri ini, dengan suaranya disumbangkan oleh pelakon terkenal Simon Pegg, yang cukup dikenali menerusi francais Mission: Impossible, Star Trek dan trilogi The Cornetto.
Suasana di Hall H turut dimeriahkan dengan kemunculan mengejut empat Nazgnagôl lengkap berperisai, iaitu pengikut awal Sauron yang menjadi pendahulu kepada Nazgûl atau Ringwraiths pada Zaman Ketiga.
Musim ketiga The Lord of the Rings: The Rings of Power berlatarbelakangkan lima tahun selepas kejatuhan Eregion. Ketika tentera Sauron semakin menguasai Middle-earth, hanya beberapa kubu terakhir seperti Khazad-dûm, Lindon dan Rivendell masih bertahan.
Dalam masa sama, Sauron berusaha menyempurnakan One Ring di Barad-dûr bagi memastikan penguasaan mutlak ke atas seluruh dunia.
Empat episod pertama musim ketiga akan mula ditayangkan di Prime Video pada 11 November 2026, diikuti dua episod pada 18 November dan dua episod terakhir pada 25 November.
