
Selepas sekian lama tanpa perkembangan yang meyakinkan, perancangan untuk menghasilkan sekuel kepada filem adiwira Hancock (2008) kini kembali menjadi perhatian susulan pendedahan terbaharu daripada pengarah filem tersebut, Peter Berg.
Dalam wawancara bersama Variety ketika mempromosikan filem terbaharunya, The Mosquito Bowl, Berg mendedahkan bahawa Will Smith telah menyerahkan skrip Hancock 2 kepadanya. Malah, pengarah itu turut menyatakan kesediaannya untuk kembali mengarahkan sekuel tersebut sekiranya segala perancangan berjalan lancar.
“Saya sendiri tidak tahu sama ada saya boleh mendedahkan perkara ini atau tidak, tetapi Will telah menghantar kepada saya skrip Hancock 2 yang sangat lucu dan cukup bagus. Saya sanggup mengarahkannya, cuma segala-galanya perlu berjalan seiring,” katanya.
Berg turut berpendapat bahawa sekarang merupakan masa yang sesuai untuk Smith kembali membawakan watak Hancock. Dalam wawancara tersebut, beliau turut menyatakan sokongannya terhadap aktor berkenaan, sambil mengakui bahawa setiap individu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Saya mempunyai kelemahan. Saya pernah melakukan kesilapan dan mungkin akan melakukan beberapa kesilapan lagi. Tetapi saya sayangkan Will Smith dan akan sentiasa menyayanginya. Saya tahu ramai lagi yang mempunyai perasaan sama. Sekiranya projek ini menjadi kenyataan, saya rasa ia akan menjadi sebuah filem yang cukup istimewa.”
Ditayangkan pada Julai 2008, Hancock menampilkan Will Smith sebagai seorang adiwira yang mengalami amnesia dan ketagihan alkohol. Meskipun memiliki kuasa luar biasa, sikapnya yang tidak bertanggungjawab serta sering menyebabkan kemusnahan ketika menyelamatkan orang awam menjadikan dirinya kurang disenangi masyarakat.
Turut dibintangi Jason Bateman dan Charlize Theron, filem tersebut berjaya meraih kutipan sebanyak AS$629 juta di seluruh dunia dengan kos produksi sekitar AS$140 juta.
Perancangan untuk menghasilkan Hancock 2 sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Pada tahun 2012, Berg pernah mendedahkan bahawa Smith dan Theron berminat untuk kembali membintangi sekuel tersebut, namun kekangan jadual masing-masing menyukarkan projek itu untuk direalisasikan.
Malah, pada awal tahun 2025, Smith menerusi sesi penstriman bersama xQc di Twitch turut mendedahkan hasrat untuk mendekati Zendaya bagi membintangi sekuel berkenaan.
Walaupun perkembangan terbaharu ini memberikan harapan kepada peminat yang sudah hampir dua dekad menantikan sekuelnya, setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi mengenai kelulusan produksi, barisan pelakon mahupun tarikh tayangan Hancock 2.
Sumber: Complex
