
Golden Screen Cinemas (GSC) kini memperkenalkan Infinity Vision di Malaysia selepas beberapa pawagamnya menerima pensijilan premium tersebut daripada Walt Disney Studios.
Bagi yang pertama kali mendengar mengenai Infinity Vision, ia sebenarnya bukanlah teknologi tayangan baharu atau format filem seperti IMAX. Sebaliknya, Infinity Vision merupakan satu pensijilan Premium Large Format (PLF) yang diberikan kepada pawagam yang memenuhi piawaian tertentu bagi memastikan penonton mendapat pengalaman tontonan pada tahap premium.
Menurut GSC, pensijilan Infinity Vision memberi jaminan terhadap tiga aspek utama iaitu saiz skrin, sistem bunyi dan kualiti projektor. Sesebuah pawagam perlu mempunyai skrin dengan kelebaran minimum 45 kaki, sistem bunyi imersif seperti Dolby Atmos atau 7.1, serta tahap kecerahan projektor yang ditetapkan bagi tayangan 2D dan 3D.
Dalam erti kata mudah, logo Infinity Vision berfungsi sebagai tanda bahawa sesebuah dewan pawagam telah dinilai dan disahkan memenuhi standard yang ditetapkan.
Pensijilan ini juga tidak menggantikan jenama PLF sedia ada. Sebaliknya, ia menjadi satu pengiktirafan tambahan kepada dewan yang sudah mempunyai kemudahan premium.
Beberapa Pawagam GSC Kini Diperakui Infinity Vision
GSC sebelum ini mempunyai beberapa lokasi dengan dewan bersaiz besar menerusi pengalaman GSC BIG, termasuk di 1 Utama, LaLaport BBCC, MyTOWN dan Starling Mall.
Dewan-dewan GSC BIG sememangnya mempunyai ciri yang sesuai dengan standard Infinity Vision, termasuk skrin besar, sistem Dolby Atmos dan projektor laser 4K. Namun, status Infinity Vision kini bergantung kepada pensijilan rasmi yang diberikan kepada dewan berkenaan.
GSC kini telah mengeluarkan senarai lokasi pawagam yang menerima pensijilan Infinity Vision. Senarai penuh lokasi tersebut boleh dilihat menerusi gambar yang disertakan dibawah.
Avengers: Endgame Encore Jadi Antara Tayangan Pertama
Pengenalan Infinity Vision di GSC hadir pada masa yang cukup istimewa buat peminat Marvel.
Avengers: Endgame Encore menjadi antara filem pertama yang akan ditayangkan di pawagam yang menerima pensijilan Infinity Vision. GSC sebelum ini mengumumkan bahawa filem tersebut akan kembali ke pawagam dalam format IMAX, 4DX, ScreenX dan Infinity Vision, dengan tayangan Infinity Vision bermula pada 24 September 2026.
Versi Encore ini turut menampilkan kandungan tambahan yang menghubungkannya dengan filem Marvel seterusnya, menjadikan tayangan semula Avengers: Endgame lebih daripada sekadar ulang tayang filem 2019.
Selepas itu, Infinity Vision akan memainkan peranan yang lebih besar menerusi Avengers: Doomsday.
Avengers: Doomsday Bakal Manfaatkan Infinity Vision
Avengers: Doomsday merupakan antara filem utama yang direka untuk ditayangkan di pawagam Infinity Vision yang diperakui.
Marvel dan Disney sebelum ini mengesahkan bahawa Avengers: Endgame Encore dan Avengers: Doomsday merupakan dua filem pertama yang menggunakan pensijilan Infinity Vision, dengan lebih banyak filem dijangka menyusul pada masa akan datang.
Avengers: Doomsday pula dijadualkan memasuki pawagam Malaysia pada 17 Disember 2026, menjadikannya antara acara tayangan terbesar untuk sistem Infinity Vision di GSC pada tahun ini.
Dengan skrin besar, sistem bunyi premium dan tahap kecerahan projektor yang memenuhi standard ditetapkan, Infinity Vision sememangnya disasarkan untuk memberikan pengalaman menonton yang lebih imersif, khususnya bagi filem-filem berskala besar seperti Avengers: Doomsday.
Jadi, buat peminat Marvel yang mahu merasai pengalaman menonton Avengers: Endgame Encore dan Avengers: Doomsday dalam dewan yang diperakui Infinity Vision, pastikan anda semak lokasi yang menerima pensijilan tersebut sebelum membeli tiket.






