
Acara karpet merah pementasan teater Harry Potter and the Cursed Child di London bertukar kecoh apabila sekumpulan aktivis hak asasi transgender melakukan demonstrasi bagi membantah pendirian penulis Harry Potter, J.K. Rowling, berhubung isu identiti gender dan hak transgender.
Kejadian berlaku pada Khamis, 15 Oktober, di Palace Theatre, London, ketika para tetamu sedang menghadiri sebuah acara gala sempena pementasan terbaru Harry Potter and the Cursed Child.
Menurut laporan ComingSoon yang memetik rakaman dikongsikan Daily Mirror, beberapa individu yang memakai topeng dan topi dilihat memasuki kawasan karpet merah sebelum berbaring sebagai tanda protes.
Salah seorang penunjuk perasaan turut memakai baju-T dengan tulisan "Rowling money kills", yang membawa mesej bantahan terhadap Rowling. Bagaimanapun, tindakan mereka tidak bertahan lama apabila anggota keselamatan segera campur tangan dan membawa keluar individu terbabit dari kawasan acara.
Demonstrasi tersebut dipercayai berkait dengan kontroversi berpanjangan melibatkan Rowling, yang sebelum ini beberapa kali mencetuskan perdebatan menerusi kenyataan dan pendiriannya mengenai identiti gender serta hak transgender.

Pandangan penulis terkenal itu telah menerima kritikan daripada aktivis hak asasi transgender dan beberapa organisasi hak asasi manusia. Pada masa sama, Rowling terus mempertahankan pendiriannya, khususnya dalam perbahasan mengenai hak wanita berdasarkan jantina biologi.
Kontroversi tersebut turut mendapat perhatian beberapa pelakon utama francais Harry Potter, termasuk Daniel Radcliffe, Emma Watson dan Rupert Grint, yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap komuniti transgender.
Sementara itu, acara gala berkenaan turut dihadiri beberapa personaliti televisyen Britain, antaranya Vanessa Feltz, Richard Arnold, Anne Hegerty dan Angellica Bell.
Harry Potter and the Cursed Child merupakan sambungan kepada kisah asal Harry Potter yang mengikuti kehidupan Harry dan rakan-rakannya selepas dewasa. Pementasan tersebut mula diperkenalkan di West End pada 2016 dan terus menjadi sebahagian daripada francais Harry Potter dalam bentuk persembahan teater.
Pementasan terbaru yang diperkenalkan menerusi acara gala itu mempunyai tempoh persembahan hampir tiga jam.
Demonstrasi di Palace Theatre ini sekali lagi menunjukan bagaimana kontroversi yang melibatkan Rowling terus mendapat perhatian, termasuk dalam acara yang berkaitan dengan francais Harry Potter.
Sumber: ComingSoon / Daily Mirror
