Kakimuvee
Berita

The Odyssey Terus Dominasi Box Office, Hampiri Kutipan AS$300 Juta Di Amerika Utara

Anne Hathaway The Odyssey

Filem epik arahan Christopher Nolan, The Odyssey, terus membuktikan dominasinya di pawagam apabila berjaya mengekalkan kedudukan sebagai filem nombor satu di box office Amerika Utara pada minggu kedua tayangannya.

Tanpa saingan besar daripada filem baharu, The Odyssey terus menarik kehadiran penonton dan dijangka mengutip sekitar AS$84.5 juta sepanjang hujung minggu kedua. Jumlah itu hanya menunjukkan penurunan sebanyak 32% berbanding kutipan pembukaan luar biasa sebanyak AS$124 juta, satu petanda bahawa filem ini mempunyai daya tahan yang sangat kukuh di pawagam.

Secara keseluruhan, kutipan domestik The Odyssey dijangka mencecah AS$283 juta selepas hanya dua minggu ditayangkan.

Pada minggu pembukaannya sebelum ini, The Odyssey mencatat kutipan global sebanyak AS$264.1 juta, satu pencapaian yang cukup mengagumkan memandangkan ia merupakan filem drama epik berdurasi hampir tiga jam dan lebih menyasarkan penonton dewasa.

Kutipan tersebut juga menjadi pembukaan global terbesar dalam kerjaya Christopher Nolan, mengatasi rekod The Dark Knight Rises yang mengutip AS$249 juta ketika ditayangkan pada 2012.

Menariknya, The Dark Knight Rises masih memegang gelaran sebagai filem dengan kutipan tertinggi Nolan apabila meraih lebih AS$1 bilion di seluruh dunia. Namun, berdasarkan prestasi semasa, The Odyssey dilihat berada di landasan tepat untuk memecahkan rekod tersebut.

Di tempat kedua ialah tayangan sinematik Hadestown: The Musical, yang dijangka mengutip sekitar AS$9 juta pada hujung minggu pertamanya.

Muzikal yang memenangi lapan Anugerah Tony itu menampilkan Reeve Carney, Eva Noblezada, Patrick Page, André De Shields dan Amber Gray, serta mengangkat semula kisah mitologi Yunani mengenai Orpheus dan Eurydice, serta Hades dan Persephone.

Filem aksi nyata Moana terbitan Disney pula terus mencatat prestasi yang mengecewakan apabila dijangka mengutip sekitar AS$10.8 juta pada minggu ketiga tayangan.

Ini menjadikan jumlah kutipan domestiknya sekitar AS$102 juta, jauh daripada sasaran memandangkan filem itu menelan kos penerbitan sekitar AS$250 juta. Laporan industri menjangkakan Disney berpotensi mengalami kerugian sehingga AS$100 juta menerusi filem tersebut.

Walaupun Disney menikmati kejayaan besar menerusi The Devil Wears Prada 2 dan Toy Story 5, prestasi hambar Moana serta The Mandalorian and Grogu memberikan tamparan kepada studio itu sepanjang musim panas tahun ini.

Toy Story 5 Hampiri AS$1 Bilion

Sementara itu, Toy Story 5 berada di tangga keempat dengan kutipan hujung minggu dianggarkan AS$10.1 juta.

Selepas enam minggu ditayangkan, filem animasi tersebut dijangka mengumpul AS$448.6 juta di Amerika Utara dan kini hanya menunggu masa untuk melepasi AS$1 bilion di seluruh dunia.

Sekiranya berjaya, ia bakal mengatasi Toy Story 4 (AS$1.07 bilion) sebagai filem dengan kutipan tertinggi dalam francais tersebut.

Melengkapkan lima kedudukan teratas ialah Minions & Monsters, yang dijangka mengutip AS$9.5 juta pada hujung minggu keempat tayangannya.

Jumlah itu akan meningkatkan kutipan domestik filem animasi tersebut kepada sekitar AS$155 juta.

Walaupun masih jauh di belakang kutipan luar biasa Minions (2015) dan Minions: The Rise of Gru (2022), filem ini menunjukkan prestasi yang stabil dengan hanya mencatat penurunan sekitar 30% berbanding minggu sebelumnya.

Dengan kos penerbitan sekitar AS$85 juta, Minions & Monsters kini sudah boleh dianggap sebagai satu lagi kejayaan menguntungkan buat Universal.

Sumber: Variety

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Warrior Nun Bakal Dihidupkan Semula, Pencipta Siri Simon Barry Rancang Universe Filem Dan TV

Karim Khan

Filem Mutiny Lakonan Jason Statham Tertiris Di Amazon Prime Video

Karim Khan

Robert Eggers Bakal Arah Adaptasi Baharu Romeo and Juliet

Karim Khan

Warner Bros. Bakal Hidupkan Semula ‘The Mist’, Mike Flanagan Sah Kembali Adaptasi Karya Stephen King

Karim Khan

SUPERGIRL DIJANGKA BUKA LANGKAH SEDERHANA, TOY STORY 5 TERUS KUASAI BOX OFFICE

Karim Khan

Paul Walker Mungkin Kembali Dalam Fast Forever, Namun Boleh Cetus Kontroversi

Karim Khan

Leave a Comment