
Francais Alien bakal menerima sebuah lagi filem baharu apabila 20th Century Studios dilaporkan sedang membangunkan projek bersama Ridley Scott, dengan Aaron Guzikowski, pencipta siri fiksyen sains Raised by Wolves, dilantik sebagai penulis skrip.
Menurut laporan The Hollywood Reporter, projek tersebut masih berada di peringkat awal pembangunan dan butiran mengenai jalan ceritanya belum didedahkan. Bagaimanapun, filem ini disahkan bukan kesinambungan kepada Alien: Romulus, sebaliknya sebuah projek berasingan dalam francais berkenaan.
Penglibatan Guzikowski turut menyaksikan beliau kembali bekerjasama dengan Scott selepas kedua-duanya terlibat dalam siri Raised by Wolves. Siri terbitan HBO Max itu mengisahkan dua android yang ditugaskan membesarkan sekumpulan kanak-kanak manusia di sebuah planet asing, sebelum konflik kepercayaan dan ancaman lain mula menggugat kehidupan mereka.
Selain menghasilkan Raised by Wolves, Guzikowski turut dikenali menerusi penulisan filem thriller Prisoners dan kini terlibat dalam pembangunan filem animasi adaptasi permainan video Death Stranding.
Bagi projek Alien terbaharu ini, Scott setakat ini hanya terlibat sebagai penerbit, manakala kerusi pengarah masih belum diisi.
Apa yang lebih mencetuskan persoalan ialah laporan bahawa filem tersebut mempunyai kaitan dengan jalan cerita yang pernah dibangunkan Scott menerusi Prometheus (2012) dan Alien: Covenant (2017), khususnya watak android David lakonan Michael Fassbender.
Scott sebelum ini beberapa kali menyuarakan hasrat untuk melengkapkan trilogi prekuel Alien yang dimulakannya menerusi Prometheus. Kisah tersebut masih belum mempunyai penamat selepas Alien: Covenant meninggalkan beberapa persoalan mengenai rancangan sebenar David.
Dalam pengakhiran Alien: Covenant, David berjaya menyamar sebagai Walter selepas menewaskan android tersebut. Dia kemudiannya menyusup masuk ke kapal koloni Covenant dan membawa bersama spesimen Facehugger secara rahsia, sementara Daniels (Katherine Waterston) serta penumpang lain berada dalam keadaan tidur kriogenik.
Walaupun perkembangan terbaharu ini membuka kemungkinan kisah David diteruskan, penglibatan Fassbender masih belum diumumkan. Begitu juga dengan kedudukan filem tersebut dalam kesinambungan Prometheus dan Alien: Covenant yang masih belum diperincikan secara rasmi.
Dalam perkembangan berkaitan, Scott juga masih terlibat sebagai penerbit untuk sekuel Alien: Romulus. Bagaimanapun, status semasa projek berkenaan masih belum jelas selepas Fede Álvarez dilaporkan tidak akan kembali sebagai pengarah.
Setakat ini, 20th Century Studios belum mengumumkan barisan pelakon, pengarah mahupun tarikh tayangan untuk filem Alien yang sedang ditulis oleh Guzikowski.
Sumber: The Hollywood Reporter
