
Selepas membawakan watak Lorraine Warren dalam francais The Conjuring, Vera Farmiga bakal kembali menerajui sebuah lagi filem seram supernatural berjudul Inferno. Pelakon yang pernah menerima pencalonan Anugerah Akademi itu bukan sahaja akan membintangi filem berkenaan, malah turut terlibat sebagai penerbit eksekutif.
Menurut laporan TheWrap, Inferno akan ditulis dan diarahkan oleh Bryan Hill, dengan ZQ Entertainment milik Ara Keshishian dan Petr Jákl bekerjasama bersama Prime Universe Films yang diterajui Adrian Askarieh untuk menerbitkan projek tersebut.
Filem ini mengambil inspirasi daripada khabar angin yang telah lama berlegar mengenai kewujudan sebuah unit rahsia dalam pasukan polis Scotland Yard di Britain yang didakwa menjalankan siasatan terhadap kes-kes berkaitan ilmu ghaib dan fenomena paranormal.
Farmiga akan membawakan watak seorang bekas detektif yang kembali terlibat dengan unit misteri dikenali sebagai Black Branch selepas siasatannya terhadap seorang pembunuh membawanya kepada ancaman supernatural. Keadaan tersebut memaksanya berdepan semula dengan pengalaman mengerikan yang selama ini cuba ditinggalkannya.
Menariknya, Inferno akan menggabungkan elemen penyiasatan pembunuh bersiri dengan seram kerasukan, sekali gus menawarkan pendekatan yang berbeza daripada kisah gangguan paranormal konvensional.
Penglibatan Farmiga dalam projek ini turut menandakan kesinambungan kerjayanya dalam genre seram selepas membintangi The Conjuring: Last Rites, yang mencatatkan kutipan sekitar AS$500 juta di seluruh dunia.
Selain terkenal menerusi watak Lorraine Warren, Farmiga turut membintangi beberapa karya seram lain seperti Orphan, Joshua dan siri televisyen Bates Motel. Di luar genre tersebut, beliau pernah muncul dalam The Departed arahan Martin Scorsese serta Up in the Air, yang melayakkannya menerima pencalonan Oscar bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Menurut Bryan Hill, filem seram yang berkesan bukan sekadar menakutkan penonton, tetapi turut mencabar kepercayaan mereka terhadap dunia di sekeliling.
Beliau mahu menjadikan Inferno sebuah misteri menyeramkan yang terus menghantui fikiran penonton walaupun selepas tayangan berakhir. Hill turut menyifatkan Farmiga sebagai pelakon yang memiliki kekuatan emosi, kebijaksanaan serta karisma yang diperlukan untuk menghidupkan watak utama filem tersebut.
Sementara itu, Yvette Zhuang, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Manifest Pictures, menjelaskan bahawa Inferno akan menggabungkan ketegangan siasatan jenayah dengan elemen seram kerasukan yang lebih mendalam.
Seorang lagi Ketua Pegawai Eksekutif Bersama syarikat itu, Zach Glueck, turut membandingkan pendekatan skrip Hill dengan ketegangan penyiasatan dalam Manhunter, serta kekuatan emosi dan elemen seram yang terdapat dalam The Exorcist dan Longlegs.
Bryan Hill sebelum ini terlibat dalam pelbagai projek filem, televisyen, komik dan permainan video, termasuk siri Titans terbitan HBO. Beliau juga sedang menyiapkan filem arahan sulungnya, Archangel, yang kini berada dalam peringkat pascaproduksi.
Manifest Pictures akan mengendalikan jualan antarabangsa Inferno dan memperkenalkan projek tersebut kepada bakal pembeli pada acara American Film Market. Sementara itu, CAA Media Finance dan UTA Independent Film Group akan bersama-sama menguruskan hak pengedaran domestiknya.
Penggambaran Inferno dijadualkan bermula pada penghujung musim bunga, namun tarikh tayangan rasmi masih belum diumumkan.
Sumber: TheWrap / Variety
