Marvel Studios akhirnya melancarkan treler pertama untuk Avengers: Doomsday, sekali gus memberikan pandangan paling jelas terhadap kemunculan Robert Downey Jr. sebagai Doctor Doom.
Filem yang bakal menemui penonton pada Disember ini turut menyaksikan pertembungan epik antara Thor dan musuh baharu paling berbahaya dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).
Dalam treler tersebut, Thor lakonan Chris Hemsworth dilihat memberi kata-kata semangat kepada barisan Avengers yang baharu. Beliau mengingatkan mereka supaya terus bersatu demi memastikan pengorbanan para Avengers terdahulu tidak menjadi sia-sia.
Antara babak yang paling mencuri perhatian ialah pertarungan satu lawan satu antara Thor dan Doctor Doom. Berdasarkan rakaman ringkas itu, Doctor Doom dilihat mendominasi pertarungan dan berjaya memberikan tekanan hebat kepada Dewa Petir dari Asgard itu.

Lebih mengejutkan, penghujung treler memperlihatkan kemunculan semula Steve Rogers atau Captain America lakonan Chris Evans. Kehadiran watak ikonik itu jelas mengejutkan Thor, sekali gus mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan peminat mengenai bagaimana Steve Rogers kembali ke MCU selepas peristiwa Avengers: Endgame (2019).
Sebelum ini, Marvel Studios mengumumkan Robert Downey Jr. akan kembali ke MCU sebagai Doctor Doom ketika acara San Diego Comic-Con 2024. Pengumuman itu mengejutkan peminat kerana pelakon tersebut sebelum ini sinonim dengan watak Iron Man, yang mengorbankan dirinya dalam Avengers: Endgame.
Selain menampilkan barisan Avengers yang baharu, Avengers: Doomsday turut menghimpunkan pelbagai watak daripada filem The Fantastic Four dan Thunderbolts yang diperkenalkan pada tahun 2025.
Turut membintangi filem ini ialah Anthony Mackie, Danny Ramirez, Paul Rudd, Tom Hiddleston, Letitia Wright, Winston Duke dan Simu Liu.
Lebih menarik, beberapa pelakon asal francais X-Men turut kembali menghidupkan watak masing-masing, termasuk Patrick Stewart, Ian McKellen, Alan Cumming, Rebecca Romijn, Kelsey Grammer dan James Marsden.
Channing Tatum juga akan muncul sebagai Gambit selepas membuat penampilan sulung sebagai watak tersebut menerusi Deadpool & Wolverine pada 2024, beberapa tahun selepas projek filem solo Gambit yang dirancang sebelum ini dibatalkan.
Avengers: Doomsday dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 18 Disember 2026.

