
Legendary Pictures berkongsi klip baharu filem aksi adaptasi permainan video Street Fighter, memperlihatkan aksi pertama antara Ryu lakonan Andrew Koji dan Blanka yang dibawakan oleh Jason Momoa.
Dalam klip tersebut, Ryu yang mengembara sebagai seorang ahli seni bela diri tiba-tiba mendapati dirinya dipenjarakan di sebuah penjara milik organisasi Shadaloo yang diketuai oleh M. Bison, lakonan David Dastmalchian. Di situ, Ryu dipaksa menyertai pertarungan berdarah bersama beberapa tahanan lain.
Namun, cabaran sebenar muncul apabila beliau berdepan Blanka, petarung ganas dari hutan Brazil yang turut dipenjarakan di lokasi sama. Blanka dengan mudah menewaskan tahanan lain sebelum memberi amaran kepada Ryu bahawa hanya seorang sahaja akan keluar hidup-hidup dari gelanggang tersebut.
Walaupun cuba mengelakkan pertarungan, Ryu akhirnya tidak mempunyai pilihan selain menggunakan jurus ikoniknya, Hadouken. Klip berkenaan tidak memperlihatkan sama ada serangan itu mengenai Blanka, namun impaknya cukup kuat sehingga memusnahkan gelanggang sementara dan menghumbankan beberapa tahanan lain.
Klip ini turut memberikan gambaran lebih jelas mengenai kesetiaan filem tersebut terhadap material asal, termasuk aksi Blanka menggunakan kuasa elektrik serta Ryu melancarkan Hadouken, sesuatu yang dianggap peminat jauh lebih meyakinkan berbanding adaptasi filem Street Fighter pada tahun 1994 yang dibintangi Jean-Claude Van Damme.

Selain Andrew Koji, Jason Momoa dan David Dastmalchian, filem ini turut dibintangi Curtis “50 Cent” Jackson, Noah Centineo, Andrew Schulz, Eric André, Callina Liang, Roman Reigns, Vidyut Jammwal, Orville Peck, Olivier Richters, Cody Rhodes, Rayna Vallandingham dan Alexander Volkanovski.
Street Fighter dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 16 Oktober 2026.
