
Pelakon Korea Selatan, Lee Hong Nae, dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk menyertai siri aksi nyata Solo Leveling terbitan Netflix.
Menurut laporan Xportsnews pada 20 Julai, Lee Hong Nae telah menerima tawaran untuk membintangi siri yang diadaptasi daripada web novel popular itu.
Bagaimanapun, agensinya memaklumkan bahawa penyertaannya masih belum dimuktamadkan.
“Beliau telah menerima tawaran untuk berlakon, namun tiada apa yang disahkan setakat ini,” kata wakil agensinya.
Solo Leveling mengisahkan Sung Jin Woo, seorang Hunter berpangkat E iaitu pangkat paling rendah dalam kalangan pemburu yang melindungi dunia daripada raksasa yang muncul melalui Gates misteri. Selepas terselamat daripada satu insiden yang hampir meragut nyawanya, Jin Woo memperoleh kuasa luar biasa dan mula berkembang menjadi harapan baharu umat manusia.
Menurut laporan, Lee Hong Nae ditawarkan untuk membawa watak Kang Tae Sik, seorang Hunter berpangkat B yang bertugas di Bahagian Pengawasan Persatuan Hunter Korea. Dalam karya asal, Kang Tae Sik merupakan watak antagonis.
Sebelum ini, Lee Hong Nae menerima pujian menerusi lakonannya dalam siri TVING The Legend of Kitchen Soldier serta turut membintangi siri Netflix The East Palace.
Sementara itu, Netflix sebelum ini mengesahkan Byeon Woo Seok akan memegang watak utama sebagai Sung Jin Woo. Han So Hee dan Kang You Seok pula sedang dalam perbincangan untuk membawakan watak Cha Hae In dan Yoo Jin Ho.
Selain itu, Kang Mina, Rain dan Lee Sung Min juga dilaporkan sedang dipertimbangkan untuk menyertai barisan pelakon siri tersebut.
Sumber: Soompi
