
Netflix sekali lagi bekerjasama dengan pengarah pemenang anugerah Jacques Audiard untuk menghasilkan sebuah filem seram baharu berjudul La Nuit ravagée.
Menurut laporan Variety, filem ini merupakan adaptasi daripada novel seram Perancis hasil karya Jean-Baptiste Del Amo yang mendapat pujian kritikal.
Projek ini digambarkan sebagai sebuah filem “elevated horror”, sekali gus menandakan percubaan pertama Audiard mengarah filem dalam genre seram selepas kejayaan dan kontroversi yang mengiringi Emilia Perez.
La Nuit ravagée berlatarbelakangkan Saint-Auch, sebuah pinggir bandar fiksyen di luar Toulouse, selatan Perancis pada awal tahun 1990-an.
Ceritanya mengikuti sekumpulan remaja yang tertarik dengan sebuah rumah terbiar yang dikatakan memiliki kuasa misteri. Selepas salah seorang rakan mereka meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan, mereka nekad memasuki rumah tersebut tanpa menyedari ia dihuni oleh entiti supernatural.
Sebaik sahaja berada di dalam, rumah itu mula “memakan” ketakutan, keinginan dan trauma peribadi setiap seorang daripada mereka. Kelemahan psikologi mereka kemudian bertukar menjadi mimpi ngeri yang semakin mengganas, menjadikan usaha untuk melarikan diri hampir mustahil.
Filem ini juga merupakan karya seram pertama Jacques Audiard, pengarah yang terkenal menerusi Emilia Perez. Filem muzikal jenayah berbahasa Sepanyol itu menerima 13 pencalonan di Anugerah Akademi Ke-97, namun turut mencetuskan kontroversi susulan ciapan lama pelakon utamanya, Karla Sofía Gascón, yang muncul semasa kempen musim anugerah.
Novel Diinspirasikan Seram Era 80-an dan 90-an
Novel La Nuit ravagée diterbitkan pada tahun lalu dan sering disifatkan sebagai penghormatan kepada karya-karya seram era 1980-an dan 1990-an, khususnya yang dipopularkan oleh Stephen King.
Namun begitu, novel tersebut turut menggabungkan elemen realisme sosial yang kuat, menjadikannya sesuai diolah sebagai sebuah filem elevated horror. Pendekatan ini dilihat seiring dengan gaya penceritaan Jacques Audiard yang terkenal dengan naratif beremosi dan berlapis.
Setakat ini, Netflix masih belum mengumumkan barisan pelakon mahupun tarikh tayangan rasmi untuk La Nuit ravagée. Maklumat lanjut dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sumber: Bloody Disgusting

