
Keanu Reeves bakal menerajui filem aksi terbaharu Netflix berjudul Maelstrom, menggantikan bintang siri Reacher,Alan Ritchson, yang menarik diri daripada projek berkenaan.
Menurut laporan Variety, filem tersebut akan diarahkan oleh Jaume Collet-Serra, yang sebelum ini mengarahkan filem aksi thriller Netflix, Carry-On. Bagaimanapun, punca pengunduran Ritchson daripada projek itu masih belum diketahui.
Maelstrom mengisahkan seorang Federal Marshal yang ditugaskan melindungi tunang kepada seorang pengedar senjata. Wanita tersebut sedang mendapatkan perlindungan saksi sebagai persediaan untuk memberikan keterangan terhadap tunangnya sendiri.
Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi semakin berbahaya apabila mereka terperangkap di sebuah lokasi ketika taufan melanda. Bencana tersebut menyebabkan semua saluran komunikasi dengan dunia luar terputus, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan bantuan.
Dalam keadaan terasing, kedua-duanya terpaksa mempertahankan diri daripada serangan sekumpulan lelaki yang bekerja untuk pengedar senjata berkenaan, sambil berdepan ancaman taufan yang semakin buruk. Keseluruhan kejadian berlangsung dalam tempoh satu malam.
Menariknya, Maelstrombukanlah projek baharu. Skrip asal filem ini telah dijual kepada Warner Bros. pada tahun 1993 melalui Jeff Robinov, yang ketika itu bekerja sebagai ejen. Projek tersebut pernah digambarkan sebagai filem aksi ala Die Hard, tetapi berlatarbelakangkan bencana taufan.
Selepas lebih tiga dekad, Netflix kini menghidupkan semula projek berkenaan menerusi kerjasama terbaharunya dengan Robinov, bekas presiden Warner Bros. Pictures yang pernah terlibat dalam pembangunan francais besar seperti trilogi The Dark Knight dan The Hangover.
Naskhah asal yang ditulis oleh mendiang Gregory Fitzpatrick kini sedang diperhalusi oleh Mark Bianculli, penulis How to Rob a Bank.
Penglibatan Reeves dalam Maelstrom turut menambah senarai projek aksi lakonan bintang berusia 62 tahun itu, yang cukup sinonim dengan francais The Matrix dan John Wick.
Selain Maelstrom, Reeves dilaporkan sedang dalam rundingan untuk membintangi filem arahan James Wan, The Gangster, The Cop, The Devil terbitan Paramount. Beliau juga dijadualkan kembali mengisi suara watak Shadow dalam Sonic the Hedgehog 4 yang bakal ditayangkan pada 2027.
Setakat ini, Netflix masih belum mengumumkan tarikh penggambaran mahupun tayangan rasmi Maelstrom.
Sumber: Variety
