Kakimuvee
Review Filem

Review Spider-Man: Brand New Day – Kisah Peter Parker Melawan Dirinya Sendiri

Still Spider-Man: Brand New Day

Penantian untuk melihat hala tuju baharu Peter Parker dalam Marvel Cinematic Universe akhirnya terjawab. Spider-Man: Brand New Day membuka lembaran baharu buat adiwira-mesra-kejiranan ini selepas segala yang berlaku dalam Spider-Man: No Way Home, sekali gus menandakan permulaan fasa kedua perjalanan Peter Parker di MCU.

Penantian untuk menyaksikan pengembaraan baharu Peter Parker ini turut diselubungi pelbagai spekulasi mengenai watak baharu yang bakal diperkenalkan.

Selain kemunculan antihero Marvel, The Punisher, serta kepulangan Hulk, yang dikhabarkan jauh lebih menakutkan dari versi terdahulu, perhatian peminat turut tertumpu kepada identiti watak misteri yang dimainkan oleh Sadie Sink.

AMARAN SPOILER!!!

Spider-Man

Sebelum meneruskan bacaan, saya terpaksa memberikan amaran spoiler kerana ulasan ini akan turut membincangkan identiti watak misteri yang dibawakan oleh Sadie Sink. Kisah kali ini tampil dengan nada yang lebih matang berbanding tiga filem terdahulu yang lebih bersifat popcorn, dengan fokus kepada aksi dan hiburan ringan.

Saya berkata demikian kerana sepanjang menonton filem ini, saya dapat merasai penderitaan yang sedang ditanggung oleh Peter, sekaligus menjangkakan kekuatan penceritaan filem ini yang akan lebih memfokuskan pada perkembangan karakter Peter Parker.

Jika kita menyelusuri perjalanan Peter, kita dapat melihat bagaimana dia pada asalnya seorang yang ceria tetapi agak reckless. Dia sering dikelilingi rakan-rakannya walaupun ketika memikul tanggungjawab besar sebagai seorang adiwira, selain mendapat bimbingan daripada adiwira yang jauh lebih berpengalaman.

Namun, Spider-Man: No Way Home seolah-olah memberikan satu ujian yang sangat berat buat dirinya. Ketika masih bersedih dengan kehilangan mentornya, Tony Stark, Peter sekali lagi diuji dengan pemergian insan yang paling disayanginya, iaitu Aunt May.

Selepas itu, dia terpaksa membuat pengorbanan paling besar apabila memilih untuk memadamkan ingatan semua orang tentang identiti sebenarnya sebagai Spider-Man demi menyelamatkan alam semesta.

Black Eye Spider-Man

Spider-Man: Brand New Day membuka buku baharu dalam perjalanan Peter sebagai seorang adiwira. Segala-galanya bermula semula dari bawah… sekali lagi. Dia kembali menjadi adiwira jalanan yang bergerak sendirian tanpa bantuan mana-mana adiwira lain.

Lebih menyedihkan, Peter kini hidup keseorangan, kehilangan insan yang disayangi, merindui rakan-rakan lamanya, dan masih belum mampu melepaskan kesedihan atas pemergian Aunt May. Inilah kekuatan sebenar Spider-Man: Brand New Day.

Filem kali ini bukan sekadar mengisahkan Spider-Man menyelamatkan dunia, atau sekurang-kurangnya kejiranannya daripada ancaman penjahat, tetapi lebih kepada perjuangan Peter Parker melawan dirinya sendiri. Beban kehilangan, rasa sunyi dan tekanan yang dipendam akhirnya menjadi musuh paling besar yang perlu dihadapinya.

Jika diimbau kembali Spider-Man 3 lakonan Tobey Maguire, kedua-dua versi Peter Parker berkongsi konflik jiwa yang hampir sama, mereka berdua bergelut dengan emosi dan tekanan dalam diri sendiri.

Namun, perbezaan paling ketara ialah bagaimana Peter versi Tom Holland berdepan dengan beban emosi yang begitu berat. Setiap kehilangan, pengorbanan dan penolakan yang dilaluinya sedikit demi sedikit membentuk karakter Peter menjadi seorang yang jauh lebih matang dan dewasa.

Seperti dalam Spider-Man 3 (lagi sekali), kita sekali lagi berpeluang melihat sisi Spider-Man yang lebih gelap dan hampir mengubah dirinya daripada seorang adiwira kepada antihero yang tidak lagi menghiraukan collateral damage, malah sanggup membunuh.

Saya juga suka cara filem ini menggunakan evolusi labah-labah sebagai metafora kepada perjalanan Peter Parker. Dari fasa pertama sehinggalah ke fasa ultimate, setiap peringkat evolusi itu mencerminkan perubahan dirinya, dan yang lebih penting, Peter menjadi semakin kuat dan berkuasa.

Bercakap soal kekuatan, agak mengerikan melihat Spider-Man membelasah Scorpion ketika dia mula kehilangan kawalan terhadap dirinya sendiri. Namun, perkara yang lebih menarik ialah apabila Peter akhirnya menerima evolusi ultimate-nya, dia tidak lagi menunjukkan rasa gentar, malah seolah-olah tidak terkesan dengan kuasa Jean Grey.

Ya, watak yang dilakonkan oleh Sadie Sink ialah Jean Grey. Walaupun begitu, asal usulnya masih menjadi tanda tanya kerana filem ini hanya memberikan sedikit petunjuk melalui cip yang dipasang Peter untuk menekan RNA Jean dan menyekat kuasanya. Perkara ini secara tidak langsung membayangkan bahawa Jean merupakan seorang mutant.

Spider-Man & MJ

Saya juga teruja melihat chemistry antara Tom Holland dan Jon Bernthal sebagai Peter Parker dan The Punisher. Selepas hubungan antara Peter dan Tony Stark berakhir dengan tragik, saya melihat potensi besar untuk gandingan Spider-Man dan The Punisher pada masa akan datang.

Gandingan mereka bukanlah sebagai pasangan superhero yang sentiasa bekerjasama, tetapi lebih kepada dua karakter yang mempunyai prinsip berbeza, sering bertelagah, namun dalam masa yang sama saling menghormati antara satu sama lain.

Seperti karakter mereka dalam komik, kedua-duanya memperlihatkan perbezaan prinsip dan personaliti yang jelas, sekali gus menghasilkan beberapa momen yang menghiburkan sepanjang pertembungan mereka dalam filem ini.

Tidak lengkap rasanya jika saya tidak menyentuh aspek aksi serta hubung kaitnya dengan beberapa karakter MCU lain dalam filem ini. Berbanding tiga filem terdahulu yang lebih sarat dengan adegan aksi, Spider-Man: Brand New Day memilih pendekatan yang lebih seimbang.

Walaupun tidak dibanjiri pertarungan besar, filem ini tetap menghadirkan beberapa babak aksi yang cukup memuaskan, khususnya pertembungan antara Spider-Man dengan Hulk dan ahli The Hand.

Pertarungan Spider-Man dan Hulk menjadi antara momen menarik kerana filem ini memberikan satu rujukan kepada komik yang pastinya akan membuatkan peminat teruja. Saya tidak mahu mendedahkan rujukan tersebut, tetapi jika anda meminati komik Marvel, pasti anda dapat menangkap rujukan tersebut.

Spider-Man vs The Hand

Namun, kemuncak aksi filem ini hadir melalui pertembungan Spider-Man dengan ahli The Hand yang dikawal Jean Grey, yang menampilkan koreografi pertarungan paling kemas dan bergaya sepanjang saya menonton filem-filem Spider-Man MCU.

Melihat penceritaan Spider-Man: Brand New Day yang agak perlahan, lebih menekankan permainan emosi, kurang bergantung kepada aksi, serta tidak begitu meneroka kisah Jean Grey, saya dapat memahami mengapa tidak semua peminat mungkin menyukai pendekatan filem kali ini.

Namun, bagi saya, Spider-Man: Brand New Day merupakan sebuah filem yang sangat baik kerana ia benar-benar memfokuskan kepada perubahan dan perkembangan Peter Parker, dari seorang budak remaja ke seorang lelaki yang memasuki fasa kedewasaan.

Saya tidak mempunyai masalah dengan pengenalan Jean Grey yang agak ringkas kerana filem ini bukanlah berkisar tentang watak tersebut, sebaliknya lebih tertumpu kepada sisi gelap dan perjuangan dalaman Peter. Secara keseluruhannya, Spider-Man: Brand New Day bukan sekadar kisah tentang seorang adiwira yang menyelamatkan dunia, tetapi tentang seorang manusia yang cuba mencari semula dirinya selepas kehilangan segalanya.

Filem ini membuka lembaran baharu buat Peter Parker – sebuah kisah yang lebih matang, lebih dewasa dan menjadikan watak itu semakin dekat dengan penonton.

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review The Odyssey: Christopher Nolan Masak Satu Lagi Karya Agung Dengan Mudah

Karim Khan

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Karim Khan

Review Kudrat 1968: High Council – Adakah Anda Berpuas Hati Dengan Kudrat 1968?

Karim Khan

Review Tikus!: Bermula Baik Tapi Gagal Memberikan Payoff

Karim Khan

Review Hope: Terlalu Draggy Walaupun Penuh Aksi

Karim Khan

Review The End of Oak Street: Filem Dinosaur Yang Menarik dan Segar

Karim Khan

Leave a Comment