
Pengarah Barbarian dan Weapons, Zach Cregger, memberi bayangan bahawa filem baharu Resident Evil bakal menjadi karya paling ganas sepanjang kariernya.
Dalam temu bual bersama Empire Magazine, Cregger mendedahkan filem adaptasi permainan video popular itu menampilkan tahap keganasan yang jauh lebih ekstrem berbanding dua filem seram arahannya sebelum ini.
“Ini sememangnya filem paling ganas yang pernah saya hasilkan. Saya mahu ia menjadi lebih mengerikan dan saya benar-benar memberikan segala yang saya ada,” katanya.
Beliau turut menyifatkan filem itu sebagai sebuah karya yang “brutal” dan dipenuhi dengan adegan berdarah yang sengaja dihasilkan tanpa kompromi.
Menurut Cregger lagi, Resident Evil tidak akan memberi tumpuan kepada penerangan terperinci mengenai Umbrella Corporation atau bagaimana T-Virus berfungsi. Sebaliknya, filem ini lebih memfokuskan kepada perjalanan seorang lelaki yang terpaksa bertarung dengan raksasa demi terus hidup.
“Saya tidak kisah untuk memenuhi semua elemen lore. Apa yang saya mahu hanyalah menghasilkan sebuah cerita yang menyeronokkan. Filem ini bermula dengan pantas sekitar lapan minit pertama dan tidak pernah memperlahankan rentaknya,” jelasnya.
Resident Evil digambarkan sebagai satu interpretasi semula yang mendebarkan dan menggerunkan terhadap francais ikonik tersebut.
Austin Abrams membintangi filem ini sebagai Bryan, seorang penghantar bekalan perubatan yang tanpa sengaja terperangkap dalam malam penuh ngeri apabila dirinya terpaksa berjuang untuk terus hidup ketika dunia di sekelilingnya bertukar menjadi huru-hara.
Turut membintangi filem ini ialah Zach Cherry, Kali Reis, Paul Walter Hauser dan Johnno Wilson.
Resident Evil dijadualkan menemui penonton di pawagam serta format IMAX pada 18 September menerusi Sony Pictures.
Sumber: Bloody Disgusting
