Kakimuvee
Review Filem

Review Tikus!: Bermula Baik Tapi Gagal Memberikan Payoff

Poster filem Tikus

Genre whodunit, atau nama panjangnya “who done it”, merupakan salah satu cabang filem jenayah yang paling kompleks dan sukar untuk dihasilkan. Tidak seperti filem jenayah lain, genre ini memerlukan penulisan yang cukup teliti bagi membina sebuah cerita yang penuh misteri dan teka-teki, sebelum membawa penonton kepada kejutan terbesar di penghujung cerita.

Antara contoh yang boleh dijadikan rujukan ialah filem Knives Out dan anime Detective Conan. Menariknya, genre ini tidak semestinya memerlukan ruang yang besar untuk bermain dengan cerita. Cukup dengan menampilkan sebilangan watak dalam ruang yang terhad, asalkan setiap watak, dialog dan petunjuk mempunyai tujuan dalam menggerakkan misteri.

Cuma yang penting ialah ketelitian dalam menulis cerita. Setiap maklumat yang diberikan kepada penonton perlu mempunyai sebab dan fungsi, sama ada sebagai petunjuk, pengalihan perhatian atau sesuatu yang hanya akan difahami apabila misteri tersebut terungkai. Di sinilah cabaran sebenar filem whodunit – memastikan penonton terus berteka-teki tanpa membuatkan jawapannya terlalu mudah untuk diteka.

Memang terdapat beberapa filem tempatan yang pernah mengetengahkan elemen whodunit, tetapi pendekatan yang begitu dekat dengan formula Knives Out masih jarang dilihat dalam sinema kita. Di sinilah filem Tikus! arahan Ellina Abdul Majid menjadi menarik untuk diberi perhatian.

Dengan premis yang bermain dalam ruang dan kelompok watak yang lebih terhad, filem ini berdepan cabaran yang sama – bagaimana untuk membuatkan penonton terus meneka, mencurigai setiap watak dan pada masa yang sama tidak berjaya membongkar jawapannya terlalu awal.

Persoalannya, adakah Tikus! benar-benar berjaya memanfaatkan kekuatan genre whodunit untuk membuatkan penonton terus berteka-teki, atau adakah percubaan ini akhirnya gagal memberikan misteri dan kejutan yang sepatutnya?

AMARAN SPOILER!!!

Review filem Tikus!

Premis Tikus! sebenarnya cukup ringkas. Filem ini bermula dengan satu kes pembunuhan yang berlaku di sebuah rumah, sebelum berita mengenai kejadian tersebut mendedahkan beberapa petunjuk kepada penonton. Dari situ, cerita beralih ke sebuah rumah inap desa yang menjadi lokasi sekumpulan individu berkumpul untuk aktiviti ‘healing’ pada hujung minggu.

Artikel Berkaitan:  Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Pada awalnya, tiada apa yang kelihatan mencurigakan. Mereka berbual, bergurau dan ada antara mereka yang turut membincangkan kes pembunuhan yang dilaporkan dalam berita. Namun, suasana mula berubah apabila seorang pegawai polis, iaitu Inspektor Mislan, tiba-tiba muncul di inap desa tersebut.

Sejak itu, keadaan yang pada awalnya kelihatan tenang mula bertukar menjadi penuh persoalan. Apakah yang sedang berlaku? Apakah tujuan sebenar pegawai polis tersebut dan, yang lebih penting, mengapa mereka disoal siasat?

Sebelum kehadiran Inspektor Mislan di rumah inap desa tersebut, plot awal Tikus! sebenarnya tidak begitu mengaitkan kumpulan watak ini dengan kes pembunuhan yang dilaporkan dalam berita.

Sebaliknya, filem ini banyak mengambil masa untuk memperkenalkan perwatakan setiap karakter. Ada yang ‘banyak cakap’, ada yang lebih pendiam dan ada juga yang jelas menyimpan sesuatu daripada pengetahuan orang lain.

Apa yang ditunjukkan pada awal filem merupakan pendekatan klasik dalam genre whodunit – memperkenalkan setiap watak dan sifat mereka terlebih dahulu sebelum misteri sebenar mula berkembang.

Walaupun babak-babak awal kelihatan seperti sekadar ‘borak-borak kosong’ tentang perkara-perkara kecil, sebenarnya terdapat usaha untuk menjadikan setiap perbualan dan tingkah laku watak sebagai sesuatu yang mungkin mempunyai kaitan dengan misteri apabila cerita menuju ke kemuncak.

Review filem Tikus!

Pendekatan ini pada awalnya agak berkesan kerana ia membuatkan penonton lebih peka terhadap setiap karakter, sambil cuba mencari makna di sebalik perkara-perkara yang kelihatan remeh.

Misteri mula terbina apabila penceritaan memasuki bahagian kedua. Kehadiran mengejut pegawai polis membuka perkembangan baharu yang lebih mendebarkan, selain mencetuskan lebih banyak persoalan apabila semua penghuni mula disoal secara bertalu-talu.

Pada peringkat ini, kita mula melihat tingkah laku setiap watak dalam situasi yang berbeza, yang secara tidak langsung memberikan lebih banyak petunjuk kepada penonton dalam usaha mengenal pasti dalang sebenar di sebalik kes pembunuhan tersebut.

Artikel Berkaitan:  Review The Last House: Survival Thriller Yang Tidak Cukup Rangup & Terlebih Tepung.

Rentak penceritaan kemudian terus meningkat apabila salah seorang penghuni ditemui mati secara misteri. Peristiwa ini menjadi satu peralihan yang cukup kritikal kerana ia menguatkan lagi tujuan kehadiran Inspektor Mislan di inap desa tersebut di samping mengesahkan bahawa memang terdapat seorang pembunuh yang sedang bersembunyi dalam kalangan mereka.

Kita mungkin menjangkakan bahagian kedua akan memberikan lebih banyak petunjuk, lebih banyak drama dan situasi yang semakin tegang. Namun, apa yang diharapkan itu semakin kabur. Penceritaan mula menjadi longgar, persoalan yang timbul semakin banyak berbanding petunjuk yang diberikan dan yang lebih mengecewakan, elemen misterinya semakin mendatar.

Watak-watak juga tidak banyak berkembang apabila cerita memasuki situasi baharu. Walaupun mereka kini berdepan dengan kes pembunuhan yang baru sahaja berlaku, kebanyakannya masih terperangkap dengan sifat dan dinamika yang sama seperti pada bahagian awal filem.

Review filem Tikus!

Sepatutnya kita dapat melihat satu situasi yang boleh menaikkan ketegangan, di mana setiap watak saling tuduh-menuduh, mengemukakan alibi dan memilih pihak untuk mengelakkan diri daripada menjadi suspek.

Syak wasangka pada bahagian ini sepatutnya mula terbina dan menebal seiring dengan perjalanan cerita, tetapi sebaliknya, atmosfera filem semakin mendatar dan plot menjadi semakin haru-biru ketika penceritaan mula memasuki dimensi baharu.

Pendek kata, bahagian kedua sepatutnya menjadi titik di mana semua persoalan yang telah dibina mula menemukan arah dan membawa misteri menuju kemuncaknya. Sebaliknya, filem ini tiba-tiba kehilangan arah – bukan kerana misterinya terlalu kompleks untuk difahami, tetapi kerana filem gagal memberikan perkembangan yang sepadan dengan persoalan yang telah dibinanya sendiri.

Paling mengecewakan ialah ketika filem memasuki bahagian kemuncaknya. Bukan kerana ceritanya gagal menjadi lebih suspen atau dramatik, tetapi kerana jawapan kepada segala persoalan yang dibina sepanjang filem ini terasa agak… ‘bullshit’, bak kata Alayna.

Artikel Berkaitan:  Tikus!, Onslaught Antara Filem Baru Yang Akan Tayang Pada Minggu Pertama September 2026

Kenapa saya berkata demikian?

Mudah. Filem yang pada awalnya dibina sebagai sebuah whodunit ini secara tiba-tiba beralih arah kepada sesuatu yang jauh lebih pelik – sci-fi dengan motif yang bersifat politikal, seolah-olah filem ini mahu membawa mesej sinikal tentang isu semasa, sesuatu yang boleh dianggap tidak kena pada tempatnya.

Review filem Tikus!

Secara zahirnya, Tikus! merupakan sebuah filem yang sangat simple, baik dari segi jalan cerita mahupun lokasi – mencari suspek dan hanya tertumpu pada satu lokasi kecil. Saya puji usaha pengarah yang cuba membawa sesuatu yang baharu dalam industri perfileman tempatan.

Tetapi seperti yang dinyatakan di atas, filem bergenre whodunit ini mungkin nampak mudah pada dasarnya, tetapi untuk menjayakannya bukanlah sesuatu yang senang. Sukar untuk mengekalkan elemen misteri dan suspens, di samping memastikan setiap bahagian cerita mempunyai kaitan yang jelas antara satu sama lain.

Dari segi lakonan, saya memang suka, tetapi dari segi perkembangan karakter, agak mengecewakan. Begitu juga dengan cara filem ini memulakan ceritanya – ia memang berjaya membuatkan penonton seperti saya berteka-teki dan cuba mencari suspek sendiri.

Namun, segala persoalan itu akhirnya diberikan jawapan yang agak mengarut, bukan sahaja dari segi motif, malah pendedahan tentang ‘sifat’ suspek itu sendiri.

Usaha yang bagus, tetapi masih belum cukup bagus.

RATING: 2.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Street Fighter: Aksi Padu, ‘Masuk Air,’ Dan Confirm Puas Hati!

Karim Khan

Ulasan Filem Crime 101: Pertembungan Karismatik Hemsworth-Ruffalo dalam Atmosfera Noir yang Mendebarkan

Karim Khan

Review Siri Kudrat 1968: High Council – Berjaya Cetus Keterujaan Menjelang Finale

Karim Khan

Review 402 Rumah Sakit Angker Korea: Tidak Sehebat Filem Asal, Tetapi Berjaya Memberi Pengalaman Seram

Ammar

Review The Resident – Filem Seram Thailand Yang Langsung Tidak Menyeramkan

Karim Khan

[Review Filem] Evil Dead Burn: Keganasan Tanpa Henti Dalam Ansuran Terbaru Francais Ikonik

Karim Khan

Leave a Comment