Kakimuvee
Review Filem

Review The End of Oak Street: Filem Dinosaur Yang Menarik dan Segar

Poster promosi The End of Oak Street

Jika ditanya kepada penggemar filem tentang filem dinosaur, kebanyakan mereka pasti akan menyebut Jurassic Park ataupun Jurassic World.

Walaupun ada filem-filem lain bertemakan dinosaur di luar sana, francais Jurassic sememangnya sudah sebati dengan penggemar filem sehingga setiap kali sebuah filem dinosaur baharu muncul di pawagam, perbandingan dengan francais tersebut hampir tidak dapat dielakkan.

Mungkin kerana itulah premis The End of Oak Street menarik sedikit perhatian saya. David Robert Mitchell tidak cuba meniru formula Jurassic, apatah lagi menggunakan idea bahawa makhluk prasejarah yang telah lama tidur tiba-tiba bangun dan mengamuk di zaman moden.

Sebaliknya, Mitchell mengetengahkan premis yang mudah tetapi ganjil. Tiada eksperimen, tiada makhluk yang terjaga daripada tidur, sebaliknya ancaman prasejarah itu dibawa terus ke halaman rumah manusia.

Premis filem ini berkisarkan keluarga Platt yang menyedari sesuatu yang aneh di kawasan kejiranan mereka selepas berlakunya satu fenomena misteri pada malam sebelumnya. Ketika mencari anjing mereka yang hilang, mereka dikejutkan dengan penemuan haiwan-haiwan buas yang tidak pernah mereka lihat sepanjang hidup.

Ketika cuba menyelamatkan diri dari kawasan kejiranan tersebut, barulah mereka tersedar bahawa setiap laluan keluar telah terhalang oleh hutan prasejarah. Menyedari bahawa tiada jalan untuk melarikan diri, bermulalah episod survival mereka, sambil mencari jawapan tentang mengapa mereka kini berada di zaman prasejarah.

Gambar dari filem The End of Oak Street

Filem ini menampilkan dua pelakon hebat, iaitu Anne Hathaway sebagai Denise Platt dan Ewan McGregor sebagai Greg Platt, di samping dua pelakon remaja, Maisy Stella dan Christian Convery yang memainkan peranan sebagai anak-anak kepada pasangan itu, iaitu Audrey dan Brian Platt.

Namun, bukan sekadar premisnya yang membuatkan saya tertarik. Konsep, latar belakang cerita serta gandingan Anne Hathaway dan Ewan McGregor membuatkan saya tertanya-tanya sejauh mana David Robert Mitchell mampu menjadikan kisah dinosaur ini sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah kita lihat sebelum ini.

Konsep filem yang berlatarkan era 80-an, ditambah dengan sentimen kekeluargaan yang kuat serta gabungan elemen survival dan suspense, seolah-olah membawa kita kembali ke era filem-filem klasik Amblin Entertainment.

Ia mempunyai rasa nostalgia yang cukup kuat, namun pada masa yang sama masih cuba membina identitinya sendiri melalui ancaman yang tidak pernah benar-benar kita jangkakan.

Dari sudut pembinaan suspense misalnya, The End of Oak Street seakan-akan mengingatkan saya kepada pendekatan Jaws dan Jurassic Park, khususnya dalam bagaimana ancaman diperkenalkan secara berperingkat sebelum memberikan kejutan kepada penonton.

Menariknya, filem ini tidak perlu bergantung kepada keganasan keterlaluan untuk menghasilkan rasa cemas. Dengan rating PG-13, Mitchell masih mampu menjadikan dinosaur sebagai ancaman yang terasa berbahaya, sambil mengekalkan keseimbangan antara survival dan drama kekeluargaan.

Gambar The End of Oak Street

Dari segi penceritaan, The End of Oak Street pada awalnya bergerak dengan cukup sederhana. Ceritanya tidak terlalu rumit dan mudah untuk diikuti, walaupun tindakan beberapa watak adakalanya membuatkan kita berasa sedikit geram.

Namun, Mitchell menyimpan sesuatu yang agak istimewa di bahagian ketiga filem ini apabila sebuah twist mula mengubah cara kita melihat keseluruhan cerita. Twist tersebut bukan sahaja memberikan dimensi baharu kepada penceritaan, malah membuka ruang untuk penonton berdiskusi dan membuat tafsiran sendiri terhadap penamatnya.

Secara jujurnya, idea yang diketengahkan Mitchell terasa cukup segar, terutama dalam genre yang sudah begitu sinonim dengan francais Jurassic. Selepas bertahun-tahun dinosaur menjadi sebahagian daripada formula blockbuster, bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu yang terasa baharu tanpa terperangkap dalam bayang-bayang francais tersebut.

Namun, kekuatan The End of Oak Street bukan hanya terletak pada konsepnya. Gandingan dua pelakon utamanya menjadi antara sebab mengapa filem ini meninggalkan kesan yang lebih kuat daripada apa yang saya jangkakan.

Anne Hathaway dan Ewan McGregor dalam filem The End of Oak Street

Gandingan Anne Hathaway dan Ewan McGregor merupakan antara kekuatan terbesar filem ini. Chemistry mereka sebagai pasangan suami isteri terasa meyakinkan, bukan sekadar melalui interaksi ketika berdepan ancaman, tetapi juga menerusi cara mereka saling melengkapi ketika berdepan konflik peribadi.

Perkara ini menjadikan elemen kekeluargaan dalam The End of Oak Street terasa lebih daripada sekadar latar kepada cerita survival. Ia menjadi nadi emosi yang membuatkan setiap ancaman yang dihadapi keluarga ini terasa lebih berisiko dan bermakna.

Secara keseluruhannya, saya benar-benar tidak menyangka bahawa The End of Oak Street mampu memberikan saya sebuah pengalaman yang begitu memorable dan, pada masa yang sama, sebuah cerita yang sangat menghiburkan.

Untuk filem seperti ini, saya memilih untuk mengetepikan segala persoalan logik dan menikmati sahaja apa yang cuba disampaikan oleh Mitchell. Lebih penting, filem ini berjaya berdiri dengan identitinya sendiri tanpa terlalu dibayangi oleh filem-filem dinosaur yang lain.

Saya datang untuk menikmati sebuah filem tentang dinosaur, dan The End of Oak Street berjaya memberikan apa yang saya harapkan, malah lebih daripada itu. Ia menghiburkan, mendebarkan dan mempunyai jiwa yang tersendiri. Mungkin terlalu awal untuk melabelkannya sebagai sebuah klasik, tetapi jika filem seperti ini terus dikenang bertahun-tahun dari sekarang, saya tidak akan terkejut.

Rating: 4.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review 402 Rumah Sakit Angker Korea: Tidak Sehebat Filem Asal, Tetapi Berjaya Memberi Pengalaman Seram

Ammar

Review The Whisper Man: Perlahan, Flat dan Kurang Mendebarkan

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Ulasan Filem Crime 101: Pertembungan Karismatik Hemsworth-Ruffalo dalam Atmosfera Noir yang Mendebarkan

Karim Khan

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Karim Khan

Leave a Comment