
Tidak dinafikan, francais John Wick menjadi salah satu penanda aras kepada filem aksi dalam menyajikan karya yang sangat gritty dan dalam masa yang sama, memberikan hiburan dan kepuasan tidak terhingga kepada penonton.
Walaupun John Wick bukanlah watak sinematik pertama yang memperkenalkan konsep lone hero dalam menumpaskan segerombolan penjahat menerusi aksi tembak-menembak dan pertarungan yang menarik, francais ini telah menjadi satu penanda aras kepada filem-filem aksi lain dalam menghasilkan karya yang sarat dengan aksi sebegitu.
Filem terbaru Netflix yang berasal dari Thailand, The Debt Collector, mempunyai vibe yang lebih kurang sama dengan John Wick, di mana ia memaparkan seorang hero tunggal yang menentang penjahat setempat.
Cuma, filem ini lebih menjurus kepada kisah seorang bekas ahli kumpulan gangster yang telah insaf, sebelum kembali ke dunia bawah tanah untuk memburu golongan penjahat.

Berlatarkan dunia ahlong, rasuah dan gangsterisme, filem ini mengisahkan Num, seorang bekas ahlong yang terkenal, yang baru sahaja dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman atas kesalahan membunuh.
Dihantui kisah lampau, Num mengambil keputusan untuk meninggalkan terus dunia gelapnya dan memulakan hidup baharu sambil menghabiskan sisa hidupnya selepas didiagnosis menghidap penyakit terminal.
Dalam usaha untuk berubah, dia mengenali sebuah keluarga kecil yang mencari rezeki dengan menjual makanan. Namun, keluarga tersebut sering diganggu ahlong, menyebabkan Num mengambil keputusan untuk membantu dan melindungi mereka daripada ancaman tersebut.
Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila dia menerima berita buruk bahawa keluarga tersebut telah diserang selepas gagal membayar hutang, sehingga mengakibatkan kematian.
Kejadian itu akhirnya memaksa Num melanggar ikrarnya dan kembali ke dunia bawah tanah, kali ini dengan satu tujuan, memburu pihak yang bertanggungjawab dan menghapuskan mereka sama sekali.
Act pertama filem ini sangat baik. Ia bukan sahaja terus memaparkan aksi, seolah-olah memberi bayangan kepada penonton bahawa filem ini sememangnya gritty dan dijamin memberikan kepuasan kepada penonton, malah ia turut memberikan sedikit latar belakang mengenai Num.
Permulaan cerita juga dikembangkan dengan baik apabila ia memaparkan transformasi Num daripada seorang gangster kepada individu biasa yang telah berubah. Saat yang paling mengujakan ialah apabila kita melihat watak utama mula melepaskan sifat sebenarnya ketika membantu orang yang berada dalam kesusahan.
Transformasi Num sangat jelas, daripada seorang villain kepada anti-hero yang menggunakan segala kemahirannya untuk melindungi golongan yang tidak berdaya, meskipun caranya agak brutal.
Tetapi, apabila memasuki Act Kedua, penceritaannya mula menjadi berterabur dan tidak konsisten, dengan watak-wataknya mula hilang arah dan tujuan, terutamanya watak penjahat utama filem ini. Num yang pada awalnya kelihatan seperti seorang yang sangat kemas dan tersusun dalam setiap aksinya, mula bertindak dengan lebih reckless ketika memburu penjahat.

Begitu juga dengan cara pengarah atau penulis menetapkan hala tuju villain utama filem ini, yang dilihat seperti tidak berfikir panjang dan agak gopoh dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya. Perubahan ini membuatkan beberapa keputusan watak terasa dipaksa semata-mata untuk menggerakkan cerita ke arah konflik seterusnya.
Apabila melihat jalan cerita yang semakin longgar dan tidak konsisten, saya mula mengabaikannya dan hanya memberikan fokus kepada aksi-aksi yang dipaparkan. Dan sememangnya, adegan aksi yang paling menyerlah dapat dilihat dalam act Ketiga ketika Num cuba menyelesaikan misi terakhirnya.
Cuma itulah, kelemahan pada bahagian plot akhirnya sedikit mengurangkan kepuasan saya, lebih-lebih lagi apabila pada awalnya saya begitu teruja untuk melihat bagaimana Num akan menumpaskan para penjahat, khususnya dalang di sebalik kumpulan gangster tersebut.
Di sebalik genre aksi yang menjadi teras utama filem ini, terdapat beberapa bahagian yang menjurus kepada psychological horror, di mana ia menunjukkan Num sedang berhalusinasi akibat kisah lampau serta kesan daripada penyakit terminal yang dihadapinya.
Saya tiada masalah dengan elemen seram yang diselitkan dalam filem ini kerana ia bukan sekadar menjadi hiasan untuk menambahkan suasana, malah turut memperlihatkan konflik dalaman Num yang masih dihantui rasa bersalah.
Pada masa yang sama, ia menguatkan motivasinya untuk memburu para penjahat selepas melihat nasib keluarga yang baru dikenalinya.
Secara keseluruhannya, The Debt Collector ialah sebuah filem yang baik dari segi aksi, tetapi sangat lemah dari segi penulisan cerita, dengan watak-watak sampingan yang kurang menyerlah, khususnya villain utama filem ini.
Filem ini jelas mengambil formula John Wick dalam menghasilkan sebuah filem aksi yang gritty. Malah, rujukan kepada John Wick turut dibuat secara terus apabila villain utama mengejek Num dengan menyamakan Num dengan John Wick.
Cuma, formula tersebut tidak digarap dengan cukup baik. Akhirnya, walaupun The Debt Collector mempunyai aksi yang mampu menghiburkan, kelemahan pada penulisan dan perkembangan watak membuatkan ia gagal memberikan kepuasan maksimum kepada pnonton.
Rating: 2.5/5
Filem The Debt Collectorboleh distrim di Netflix
