Kakimuvee
Review Filem

Review Travis Barker: Louder Than Fear Bawa Penonton Menyelami Trauma Drummer Blink-182

Saya masih teringat ketika menonton muzik video All The Small Things dan Adam’s Song daripada kumpulan Blink-182. Ketika itu, saya masih berusia belasan tahun dan sedang menikmati himpunan lagu-lagu terhebat sepanjang zaman. Saya bercakap dalam hati, “menarik juga kumpulan ni,” sebelum lagu-lagu daripada kumpulan tersebut terus di-burn ke dalam koleksi CD cetak rompak saya.

Sejak daripada itu, saya mengikuti rapat perkembangan kumpulan tersebut, mendengar lagu-lagu mereka dan, of course, nama Travis turut dimasukkan dalam senarai drummer idola saya, sebaris dengan nama-nama drummer yang lain, seperti Chad Smith, Dave Grohl dan Tré Cool.

Cuma itulah, setakat jadi idola sajalah sebab sehingga hari ini, saya masih tak reti nak mengetuk drum.

Sebagai seorang peminat kasual, saya biasanya hanya mengikuti perjalanan karier kumpulan muzik yang saya minati seperti perkembangan mengenai lagu-lagu baharu dan album yang bakal diterbitkan.

Selebihnya, perkara seperti gosip, kehidupan peribadi atau apa yang berlaku di sebalik tabir bukanlah sesuatu yang saya perlu ambil tahu.

Travis Barker: Louder Than Fear

Bagi saya ketika itu, cukuplah sekadar menikmati muzik mereka tanpa perlu mengetahui segala perkara tentang individu di sebalik muzik tersebut – kecuali jika berlaku sesuatu insiden besar dan tergempar, seperti yang pernah dialami Travis ketika dia terlibat dalam kemalangan pesawat pada tahun 2008.

Insiden yang hampir meragut nyawa drummer itu menjadi sebahagian daripada kisah yang diceritakan dalam dokumentari terbaru bertajuk Travis Barker: Louder Than Fear, yang membawa kita menyelami perjalanan hidup bekas drummer Blink-182 tersebut.

Dokumentari ini dimulakan dengan kisah zaman kanak-kanak Travis, ketika minatnya terhadap dunia drum mula mendapat sokongan daripada ibunya. Daripada minat yang bermula sejak kecil itulah, Travis perlahan-lahan membina langkahnya dalam dunia muzik sehingga impian tersebut mula membawanya ke pentas yang lebih besar.

Artikel Berkaitan:  Review Spider-Man: Brand New Day - Kisah Peter Parker Melawan Dirinya Sendiri

Perjalanan itu bermula dengan sebuah kumpulan kecil sebelum Travis menyertai kumpulan ska-punk The Aquabats, dan akhirnya menjadi sebahagian daripada kumpulan muzik arus perdana, Blink-182.

Siapa sangka, seorang pemuda punk dari California mampu mencipta nama dalam tempoh yang begitu singkat. Namun, kisah Travis tidak terhenti di Blink-182. Dokumentari ini turut memperlihatkan bagaimana bakat dan motivasi tinggi yang dimilikinya membawanya mengembangkan sayap, sehingga dia bukan sahaja dikenali dalam kalangan pemuzik punk rock, malah mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai genre muzik.

Gambar Travis Barker: Louder Than Fear

Daripada seorang drummer punk kepada seorang pemuzik yang mampu merentas pelbagai genre, perjalanan Travis akhirnya meletakkannya sebagai salah seorang figura penting dalam industri muzik Amerika Syarikat.

Namun, di sebalik segala kejayaan dan sorotan pentas yang dinikmatinya, tersimpan satu sejarah hitam yang terus menghantui hidup Travis. Trauma tersebut bukan sekadar menjadi sebahagian daripada masa lalunya, malah pernah membawa dirinya ke satu titik paling gelap sehingga dia hampir memilih jalan singkat untuk menamatkan penderitaan yang ditanggungnya.

Dengan sokongan keluarga dan insan-insan di sekelilingnya, Travis akhirnya bangkit dan berdepan dengan ketakutan tersebut. Dan inilah antara sisi kehidupan Travis yang cuba diselami oleh Travis Barker: Louder Than Fear – bukan sekadar kisah seorang drummer yang berjaya, tetapi perjalanan hidup seorang manusia yang cuba berdamai dengan sejarah gelapnya.

Selain memaparkan Travis yang menceritakan perjalanan hidupnya sendiri, dokumentari ini turut menampilkan individu-individu yang rapat dan mengenalinya, termasuk ahli keluarganya. Kehadiran mereka memberikan satu lagi perspektif terhadap kehidupan Travis, khususnya dari kaca mata mereka yang berada dekat dengannya sepanjang perjalanan hidupnya.

Bukan itu sahaja, dokumentari ini turut menampilkan beberapa rakaman daripada muzik video dan persembahan terdahulu yang pastinya membangkitkan nostalgia buat peminat Blink-182.

Artikel Berkaitan:  Review The Whisper Man: Perlahan, Flat dan Kurang Mendebarkan

Kita juga dibawa melihat kehidupan Travis di sebalik tabir konsert serta sisi peribadinya yang jarang dipertontonkan kepada umum. Penggunaan rakaman peribadi dan bahan arkib menjadikan dokumentari ini terasa lebih autentik dan dekat dengan Travis.

Travis Barker: Louder Than Fear

Tidak dinafikan, Travis Barker: Louder Than Fear bukan sahaja berjaya mengembalikan nostalgia terhadap Blink-182, malah memberikan peluang kepada penonton, khususnya peminat Travis, untuk melihat kisah kehidupannya yang jarang diceritakan kepada umum.

Antara bahagian yang paling menyentuh emosi ialah ketika Travis berkongsi tentang penderitaan yang dialaminya selepas kehilangan sahabat karib dalam nahas pesawat. Ia menjadi antara segmen paling beremosi dalam dokumentari ini, bukan sahaja buat Travis sendiri, tetapi turut dirasai oleh penonton yang mengikuti kisahnya.

Bagi yang meminati Travis Barker, dokumentari ini sangat sesuai untuk ditonton kerana ia membawa kita menyelusuri kehidupan drummer tersebut yang mungkin tidak pernah diketahui umum. Jika sebelum ini kita hanya mengenalinya menerusi muzik Blink-182, dokumentari ini memberi peluang kepada penonton untuk melihat Travis dari sudut yang berbeza.

Ia merupakan sebuah perjalanan yang cukup menarik, emosional dan membuka mata. Kadangkala, kita hanya mengenali seseorang melalui muzik yang mereka hasilkan, tanpa pernah tahu cerita yang mereka bawa di sebalik muzik tersebut.

Travis Barker: Louder Than Fear kini boleh distrim di Disney+ Hotstar

Rating: 4/5

 

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review The Odyssey: Christopher Nolan Masak Satu Lagi Karya Agung Dengan Mudah

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review Orang Perang: Potensi Besar Senoi Praaq Yang Gagal Dimanfaatkan

Karim Khan

Review Heart of the Beast: Survival Brad Pitt Bersama Anjing K-9 Yang Penuh Emosi

Karim Khan

Review The Resident – Filem Seram Thailand Yang Langsung Tidak Menyeramkan

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Leave a Comment