
Marvel Studios bakal membawa kembali Avengers: Endgame ke pawagam menerusi versi tayangan semuia yang berjudul Avengers: Endgame Encore pada 25 September ini.
Menurut maklumat terkini yang disenaraikan oleh AMC Theatres, versi baharu tersebut akan mempunyai tempoh tayangan selama 185 minit, iaitu empat minit lebih panjang berbanding versi asal Avengers: Endgame yang berdurasi 181 minit.
Perbezaan empat minit itu mungkin tidak begitu besar, tetapi ia selari dengan maklumat mengenai beberapa kandungan tambahan yang bakal dimasukkan dalam versi Encore.
Apa Yang Baharu Dalam Endgame Encore?
Avengers: Endgame Encore dijangka menampilkan pengenalan khas, rakaman tambahan serta satu adegan selepas kredit yang eksklusif untuk tayangan Infinity Vision dan IMAX.
Antara babak tambahan yang dilaporkan ialah adegan melibatkan Steve Rogers ketika majlis pengebumian Tony Stark. Dalam babak tersebut, Steve dikatakan akan berbual dengan Scott Lang mengenai perjalanan merentasi masa.
Selain itu, Loki juga dijangka muncul dalam satu babak baharu yang tidak pernah ditayangkan sebelum ini, iaitu ketika dia berada di bawah pengawasan TVA.
Namun, masih belum diketahui sama ada babak tersebut dirakam khas untuk Avengers: Endgame Encore atau sebenarnya merupakan sebahagian daripada Avengers: Doomsday.
Marvel juga masih belum mendedahkan secara terperinci kandungan penuh yang akan ditampilkan dalam versi lanjutan ini.
Bakal Kaitkan Endgame Dengan Avengers: Doomsday?
Satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah adegan selepas kredit yang dijangka menjadi penghubung kepada Avengers: Doomsday, yang bakal ditayangkan pada Disember ini.
Sebelum ini, peminat sudah mula membuat pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan kemunculan watak tertentu, termasuk Doctor Doom dan beberapa kejutan lain. Namun, setakat maklumat yang tersedia, belum ada pengesahan mengenai sebarang kemunculan khas tersebut.
Dengan tambahan masa hanya empat minit, Endgame Encore nampaknya tidak banyak mengubah filem asal, sebaliknya hanya menambah beberapa babak baharu.
Avengers: Endgame yang ditayangkan pada 2019 telah merekodkan kutipan pembukaan global sekitar AS$1.2 bilion.
Avengers: Endgame pernah menjadi filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman selepas mengumpul AS$2.799 bilion di seluruh dunia. Namun, Avatar kembali menduduki tempat pertama selepas membuat tayangan semula.
Dengan Avengers: Endgame Encore kembali ke pawagam, kutipan keseluruhan filem ini dijangka meningkat dan berpotensi mengubah kedudukannya dalam senarai filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Avengers: Endgame menyaksikan barisan Avengers yang masih terselamat selepas tragedi yang dicetuskan Thanos kembali bersatu untuk membuat percubaan terakhir bagi memulihkan separuh populasi alam semesta yang telah hilang.
Filem ini menampilkan Robert Downey Jr., Chris Evans, Mark Ruffalo, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Don Cheadle, Paul Rudd, Brie Larson, Karen Gillan, Danai Gurira, Benedict Wong, Jon Favreau, Bradley Cooper, Gwyneth Paltrow dan Josh Brolin.
Bagi yang tidak mahu menunggu sehingga September, versi asal Avengers: Endgame kini masih boleh distrim menerusi Disney+.
Avengers: Endgame Encore akan ditayangkan di pawagam mulai 25 September 2026.
Sumber: Comicbookmovie
