Kakimuvee
Berita

Amazon MGM Belanja Hampir AS$500,000 Untuk Uji Bakat James Bond

Selepas berbulan-bulan menjadi tanda tanya, pemilihan Robert Pattinson sebagai James Bond baharu akhirnya terjawab. Namun, di sebalik pengumuman tersebut, proses mencari pengganti Daniel Craig sebenarnya melibatkan persaingan sengit antara beberapa pelakon Hollywood serta perbelanjaan besar yang ditanggung Amazon MGM Studios.

Menurut laporan Variety, Amazon MGM membelanjakan antara AS$300,000 hingga AS$500,000 bagi menjalankan beberapa sesi uji bakat yang diadakan secara tertutup. Proses tersebut melibatkan sejumlah pelakon yang dipertimbangkan untuk membawakan watak ejen perisik ikonik Britain itu, termasuk Callum Turner, Tom Francis, Jack Lowden dan Josh O'Connor.

Pemilihan pelakon baharu menjadi antara keutamaan Amazon MGM selepas syarikat itu mengambil alih kawalan kreatif francais James Bond daripada keluarga Broccoli pada 2025. Studio berkenaan dilaporkan mahu mencari pelakon yang mampu menerajui francais tersebut untuk tempoh antara 10 hingga 20 tahun akan datang.

Bagi memastikan perancangan itu berjalan lancar, penerbit Amy Pascal yang terkenal menerusi francais Spider-Man dan David Heyman daripada siri Harry Potter telah dilantik untuk mengendalikan projek berkenaan. Mereka kemudiannya mendapatkan Denis Villeneuve sebagai pengarah filem James Bond seterusnya.

Walaupun Callum Turner pada awalnya dianggap sebagai calon pilihan, persaingan berubah apabila Nicholas Hoult dan Robert Pattinson menyertai sesi uji bakat pada saat-saat akhir. Kehadiran dua pelakon yang sudah mempunyai pengalaman membintangi francais besar Hollywood itu memberikan pilihan tambahan kepada pasukan produksi.

Menurut sumber industri yang dipetik Variety, pandangan Villeneuve memainkan peranan penting dalam keputusan pemilihan pelakon. Pengarah itu dikatakan mempunyai pengaruh besar dalam menentukan siapa yang paling sesuai untuk membawakan watak James Bond, dengan pengalaman bekerjasama bersama Pattinson menerusi Dune: Part Three turut menjadi antara faktor yang memihak kepada pelakon tersebut.

Proses pemilihan itu turut mendapat perhatian beberapa eksekutif kanan Amazon, termasuk Courtenay Valenti, Mike Hopkins dan pengasas syarikat berkenaan, Jeff Bezos.

Sepanjang proses tersebut, pelbagai nama lain turut dikaitkan dengan watak James Bond. Antaranya Harry Styles dan Theo James yang sebelum ini dilaporkan sedang mengadakan perbincangan untuk menyertai francais tersebut.

Bagi Pattinson, pemilihannya sebagai James Bond merupakan satu lagi pencapaian besar dalam kerjaya lakonannya. Beliau sebelum ini mencipta nama menerusi francais Twilight sebelum mengembangkan kerjayanya melalui filem seperti Good Time, The Lighthouse, The Batman, The Drama dan The Odyssey.

Pelakon itu turut menerima pengesahan mengenai pemilihannya kira-kira 12 jam sebelum Amazon MGM mengumumkan berita tersebut secara rasmi. Menurut pengarah Robert Eggers, Pattinson ketika itu sedang menonton tayangan filem seram terbaharunya, Werwulf, apabila berita mengenai James Bond mula tersebar.

Dalam perkembangan berkaitan, pemilihan Pattinson turut menimbulkan persoalan mengenai masa depannya sebagai Batman dalam francais arahan Matt Reeves. Perubahan kepimpinan DC Studios susulan pemergian James Gunn dan Peter Safran telah mencetuskan ketidakpastian terhadap beberapa projek DC yang sedang dirancang.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada pengesahan bahawa Pattinson akan meninggalkan watak Batman selepas menerima tawaran membintangi James Bond.

Filem James Bond baharu arahan Denis Villeneuve masih belum mempunyai tarikh tayangan rasmi.

Sumber: Variety.

Related posts

Transformers 8 Bakal Ubah Sejarah Francais, Akan Mempunyai Kaitan Dengan Watak Lakonan Shia LaBeouf.

Karim Khan

Jack Lowden Dipertimbangkan Sebagai James Bond Yang Baharu?

Karim Khan

Derita Penyakit Dementia Tidak Menghalang Bruce Willis Untuk Muncul Di Majlis Perkahwinan Anak Perempuannya

Karim Khan

Dan Stevens Bakal Jadi RoboCop Dalam Siri Prime Video

Karim Khan

Spider-Man: Brand New Day Catat Rekod Baharu Dengan Kutipan Pratonton AS$72 Juta

Karim Khan

Sylvester Stallone Anggap Fizikal Pelakon Superhero Sukar Dicapai Secara Natural

Karim Khan

Leave a Comment