
Siri DCU terbaru, Lanterns, mencatat pembukaan memberangsangkan selepas meraih 9.3 juta tontonan dalam tempoh tiga hari pertama di HBO dan HBO Max.
Angka tersebut menjadikan Lanterns sebagai siri DC Studios dengan pelancaran terbesar di HBO Max setakat ini. Episod perintisnya turut mencatatkan antara lima pembukaan terbesar keseluruhan platform, mengatasi beberapa siri popular seperti IT: Welcome to Derry, The Penguin dan True Detective: Night Country.
Selain prestasi tontonan, Lanterns turut menerima ulasan positif daripada pengkritik.
Skor Rotten Tomatoes untuk siri ini kini berada pada 95%, sekali gus menjadikannya projek DCU dengan penilaian pengkritik tertinggi di platform tersebut. Sebagai perbandingan, Peacemaker Musim 2 mencatat 94%, diikuti Creature Commandos dengan 93%.
Namun, skor tersebut masih boleh berubah kerana pengkritik setakat ini hanya diberikan akses kepada empat episod pertama, manakala sebahagian daripada mereka hanya menonton episod perdana.
Episod pertama Lanterns turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan penonton selepas babak penutupnya seolah-olah menunjukkan bahawa Hal Jordan, lakonan Kyle Chandler, telah meninggal dunia dalam garis masa semasa.
Bagaimanapun, identiti sebenar watak yang ditunjukkan dalam babak tersebut masih menjadi persoalan. Memandangkan Lanterns turut menampilkan makhluk asing dengan kebolehan berubah bentuk, kemungkinan tersebut masih terbuka.
Kyle Chandler sendiri tidak memberikan jawapan ketika ditanya mengenai cliffhanger berkenaan. Sebaliknya, pelakon itu meminta penonton mengikuti perkembangan cerita untuk mendapatkan jawapannya.
Menurut Chandler, jalan cerita Lanterns tidak bergerak secara perlahan, sebaliknya berkembang daripada satu situasi kepada dunia yang lebih besar dengan pelbagai perkembangan yang tidak dijangka.
Lanterns mengikuti John Stewart, seorang anggota baharu Green Lantern Corps yang dilakonkan Aaron Pierre, bersama Hal Jordan, Green Lantern berpengalaman lakonan Kyle Chandler.
Kedua-duanya terlibat dalam penyiasatan kes pembunuhan misteri di kawasan pedalaman Amerika Syarikat. Kes tersebut membawa mereka ke dalam satu misteri berlatarkan Bumi yang turut mempunyai kaitan dengan konflik lebih besar.
Siri ini dibangunkan oleh Chris Mundy, Damon Lindelof dan penulis komik Tom King, dengan Mundy bertindak sebagai showrunner.
Selain Chandler dan Pierre, barisan pelakon turut menampilkan Kelly Macdonald, Garret Dillahunt, Poorna Jagannathan, Laura Linney, Jason Ritter, Ulrich Thomsen, Nathan Fillion, J. Alphonse Nicholson dan Jasmine Cephas Jones.
Dengan pembukaan 9.3 juta tontonan serta sambutan positif daripada pengkritik, Lanterns kini muncul sebagai antara permulaan paling kukuh untuk projek DCU di HBO Max.
Sumber: Comic Book Movie
