
Lebih 20 pelakon yang pernah muncul dalam filem dan siri Marvel antara lebih 200 tokoh industri hiburan yang menyokong kempen antarabangsa bagi menggesa pembebasan ahli politik Palestin, Marwan Barghouti.
Kempen yang dikenali sebagai “Free Marwan Now” itu dilancarkan oleh keluarga serta penyokong Barghouti. Ia turut mendapat sokongan daripada tokoh dalam bidang filem, muzik, kesusasteraan dan kebudayaan.
Antara nama besar yang menyertai kempen tersebut ialah Mark Ruffalo, Benedict Cumberbatch dan Don Cheadle, yang masing-masing terkenal menerusi watak Hulk, Doctor Strange dan War Machine dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).
Turut menyokong kempen berkenaan ialah Ian McKellen, yang memainkan Magneto dalam siri X-Men, selain Cate Blanchett, Tilda Swinton, Tatiana Maslany dan Daniel Brühl.
Beberapa pelakon lain yang mempunyai kaitan dengan produksi Marvel turut disenaraikan, termasuk Rebecca Hall, Riz Ahmed, Jason Flemyng, Elliot Page, Hugo Weaving, Zawe Ashton, Emma Corrin, May Calamawy, Brian Cox, Dan Stevens, Rob Delaney dan Kingsley Ben-Adir.
Menerusi kenyataan kempen itu, mereka menyatakan kebimbangan terhadap penahanan berterusan Barghouti serta apa yang didakwa sebagai layanan ganas dan penafian hak undang-undang terhadapnya.
Kempen tersebut turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kerajaan di seluruh dunia supaya mengambil tindakan bagi mendapatkan pembebasan Barghouti daripada penjara Israel.
Siapa Marwan Barghouti?
Barghouti merupakan tokoh kanan Fatah yang telah dipenjarakan Israel selama lebih dua dekad. Beliau dilahirkan pada 6 Jun 1958 di Kobar, sebuah kampung di barat laut Ramallah, Tebing Barat.
Beliau menyertai Fatah ketika berusia 15 tahun dan pernah beberapa kali ditahan Israel. Barghouti kemudiannya menjadi antara tokoh penting dalam Intifada Pertama yang bermula pada 1987 sebelum diusir ke Jordan.
Beliau kembali ke Tebing Barat pada 1994 susulan Perjanjian Oslo dan dua tahun kemudian dipilih sebagai anggota Majlis Perundangan Palestin bagi kawasan Ramallah dan Al-Bireh. Beliau kemudiannya memegang jawatan setiausaha agung Fatah.
Pada 2002, tentera Israel menahannya di rumahnya di Ramallah. Mahkamah Israel kemudian mensabitkannya atas pertuduhan termasuk pembunuhan dan cubaan membunuh, sebelum menjatuhkan hukuman lima penjara seumur hidup serta tambahan 40 tahun. Sabitan itu berkaitan serangan ketika Intifada Kedua yang mengorbankan lima orang.
Barghouti menafikan pertuduhan terhadapnya dan tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah Israel yang membicarakan kes tersebut.
Selain aktiviti politik, Barghouti pernah mengikuti pengajian di Universiti Birzeit dan memperoleh ijazah dalam sejarah dan sains politik serta sarjana dalam hubungan antarabangsa. Beliau turut menamatkan pengajian kedoktoran ketika berada dalam penjara.
Pada Februari 2024, beliau dipindahkan dari Penjara Tentera Ofer ke Penjara Ramon atas arahan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir. Barghouti kemudiannya ditempatkan dalam kurungan bersendirian.
Pihak berkuasa Israel menyatakan pemindahan itu dibuat berdasarkan maklumat perisikan mengenai dakwaan rancangan untuk mencetuskan kebangkitan di Tebing Barat. Perkembangan tersebut kemudian meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan Barghouti.
Kempen “Free Marwan Now” kini terus menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk PBB dan kerajaan dunia, supaya mengambil tindakan berhubung penahanan Barghouti.
Sumber: Bernama
