Kakimuvee
Review Filem

Review Bisikan Nafsu: Drama Ala Makjang Yang Absurd Tetapi Menghiburkan

Mungkin saya tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada Bisikan Nafsu sebelum menontonnya di pawagam. Pada awalnya, saya agak skeptikal dengan filem drama seperti ini, lebih-lebih lagi selepas melihat trailer dan reka bentuk posternya yang bagi saya kurang menarik.

Namun, saya tetap mencuba untuk menontonnya sendiri di pawagam, sekadar mahu melihat sama ada tanggapan awal saya terhadap filem ini tepat atau tidak. Ternyata, jangkaan saya meleset.

Sepanjang menonton filem ini, saya dapat melihat banyak kelemahan, terutamanya dari segi suntingan yang tidak konsisten, sistem bunyi yang kedengaran agak kasar, serta beberapa bahagian plot dan dialog yang bagi saya agak tidak masuk akal.

Namun, itu tidak bermakna saya tidak menyukai filem ini. Malah, saya sendiri terkejut dengan perasaan saya sebaik sahaja filem ini berakhir. Walaupun disajikan dengan cerita yang bagi saya lebih sesuai dijadikan sebuah telefilem, saya tetap merasakan harga tiket yang dibayar cukup berbaloi.

Saya merasakan filem ini mirip filem atau drama makjang Korea, dengan jalan cerita yang melodramatik, berlebih-lebihan dan terlalu sensasi sehingga kadangkala mengabaikan logik. Watak-wataknya pula digambarkan secara berlebih-lebihan sehingga boleh membuatkan kita menyampah, ditambah dengan twist yang seakan-akan tidak berkesudahan, rahsia keluarga serta dialog-dialog yang cukup cheesy.

Malah, lagu OST filem ini, Tanpa Rasa Jemu, kerap dimainkan, seolah-olah pengarah tidak jemu-jemu menjadikannya sebagai muzik latar setiap kali muncul babak-babak dramatik.

Tetapi anehnya, semua itu langsung tidak membuatkan saya bosan. Ada bahagian yang membuatkan saya geli-geli tetapi dalam masa sama tersipu malu, seperti kisah cinta antara watak utama, Nadia (Azeva Natassha) dan Arisz (Aniq Suhair). Ada juga bahagian yang membuatkan saya menyampah bagai nak gila, terutamanya setiap kali melihat watak Ustaz Romantik lakonan Zul Huzaimy.

Permainan emosi dalam filem ini terasa seperti rollercoaster dan diperkaya dengan pelbagai elemen, baik dari segi humor, drama, kisah cinta mahupun adegan-adegan tegang yang menjadikan suasana filem lebih dramatik dan suram.

Pendek kata, filem ini benar-benar menggunakan formula makjang untuk memastikan penonton terus mengikuti jalan ceritanya, walaupun kita tahu apa yang disajikan di depan mata kadangkala agak mengarut, tak logik dan berlebih-lebihan.

Di sebalik judulnya yang agak kontroversi, filem ini membawa satu mesej yang sangat jelas menerusi kisah yang sememangnya sering kita dengar di media massa. Dalam menceritakan kisah manusia yang bertopengkan agama, filem ini turut menyelitkan peringatan tentang batas pergaulan dan penampilan, serta kepentingan mendekatkan diri kepada agama ketika berdepan musibah.

Saya sejujurnya sangat menyukai watak Arisz. Walaupun mempunyai ciri-ciri tipikal hero dalam drama makjang Korea, dia juga banyak membantu menguatkan kembali emosi tunangnya, Nadia. Saya akui, wataknya memang sangat cheesy dalam filem ini, malah kemunculan dramatiknya ketika menyelamatkan tunangnya hampir membuatkan saya muntah.

Namun, di sebalik semua itu, Arisz tetap menjadi antara watak yang paling menyerlah dalam filem ini, selain watak lakonan Zul Huzaimy dan Alyssa, ibu kepada Nadia, yang dilakonkan oleh Aleza Shadan.

Apa pun, Bisikan Nafsu benar-benar melangkaui jangkaan saya. Saya tidak menyangka filem ini mampu memberikan satu bentuk hiburan yang cukup menarik, walaupun ada kalanya terasa absurd dan berlebih-lebihan.

Bagi saya, kekuatan sebenar filem ini bukan sahaja terletak pada mesej yang ingin disampaikan, tetapi juga pada kekuatan watak-wataknya serta bagaimana pengarah dan penulis berjaya mengolah keseluruhan cerita menjadi sebuah filem yang terasa seperti... saya ulang sekali lagi, makjang.

Jadi, jika anda mahukan sebuah filem drama yang mampu mempermainkan emosi... saya sendiri tidak menyangka akan berkata begini - Bisikan Nafsu adalah antara filem yang saya sarankan untuk anda tonton.

Ia mungkin bukan sebuah filem yang sempurna atau memiliki kualiti produksi yang terasa “mahal”, tetapi sebagai sebuah hiburan, pengalaman yang diberikan ternyata cukup berbaloi dengan harga tiket yang dibayar.

Rating: 3.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Ulasan Filem Crime 101: Pertembungan Karismatik Hemsworth-Ruffalo dalam Atmosfera Noir yang Mendebarkan

Karim Khan

Review Tikus!: Bermula Baik Tapi Gagal Memberikan Payoff

Karim Khan

Review Chelot: Gandingan 3 Pelakon Hebat Dalam Aksi Mendebarkan

Karim Khan

Review The Debt Collector: Cubaan Thailand Meniru John Wick Yang Tidak Menjadi

Karim Khan

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Review Heart of the Beast: Survival Brad Pitt Bersama Anjing K-9 Yang Penuh Emosi

Karim Khan

Leave a Comment