
“Don't judge a movie by its poster” atau mungkin juga trailer. Itulah sedikit gambaran yang boleh saya berikan kepada anda tentang filem seram terbaru, Other Mommy, lakonan Jessica Chastain.
Other Mommy dipasarkan sebagai sebuah filem seram yang sangat promising. Malah, berdasarkan kenyataan pengarahnya, Rob Savage, filem ini akan mengejutkan penonton dengan babak jumpscare setiap dua minit. Sudah tentunya, dengan dakwaan pengarah tersebut, ramai peminat filem seram menantikan filem ini.
Namun, hakikatnya apa yang disajikan tidak seperti yang digambarkan dalam trailer, mahupun seperti yang dijanjikan oleh pengarahnya sendiri.
Filem ini mengisahkan seorang kanak-kanak yang mempunyai seorang lagi ‘ibu’ selain ibu kandungnya. Berdasarkan pengenalan cerita, kanak-kanak tersebut sebenarnya sudah lama berdampingan dengan entiti misteri itu.
Bagi kanak-kanak tersebut, ‘ibu’ itu tidak ubah seperti ibu sebenar yang sentiasa menjaga dan menggembirakan hatinya. Namun, apa yang tidak difahaminya ialah entiti tersebut sebenarnya mempunyai satu tujuan, iaitu untuk masuk ke dalam hatinya.
Lebih menakutkan, entiti itu akan terus mendesaknya sehinggalah dia memberikan jawapan ‘ya’.

Babak pembukaan Other Mommy boleh dikatakan sangat menyeramkan. Ketika Bela mengucapkan selamat malam kepada ‘ibunya’ yang satu lagi, suasana menakutkan mula menyelubungi cerita.
Meskipun tempo penceritaan agak perlahan pada permulaannya, filem ini sudah berjaya membina suasana seram, terutama apabila penonton mula mengetahui bahawa Bela sememangnya sudah lama berinteraksi dengan entiti misteri tersebut. Persoalannya, bilakah entiti itu akan menampakkan dirinya?
Apa yang menarik, selepas beberapa babak jumpscare disajikan pada awal cerita, title card Other Mommy muncul di skrin, sekali gus memberi bayangan bahawa lebih banyak adegan seram, khususnya jumpscare, bakal menanti penonton sepanjang filem ini.
Tidak dinafikan, Other Mommy banyak menyuntik elemen kejutan sepanjang penceritaannya, dan pesona Jessica Chastain juga banyak membantu dalam mewujudkan suasana yang menakutkan.
Saya suka dengan cara Chastain membawakan watak ‘Other Mommy’, terutama menerusi pandangan mata dan ekspresi wajahnya yang menakutkan. Cuma, saya kurang gemar apabila filem ini terlalu kerap mengubah penampilan entiti tersebut kepada bentuk lain kerana ia sedikit sebanyak mengganggu keberkesanan elemen seram yang cuba disampaikan menerusi lakonan Chastain.
Terdapat beberapa babak dalam filem ini yang menyajikan visual yang creepy, seperti ketika ‘Other Mommy’ merobek wajah seorang lelaki dan babak seorang wanita yang tubuhnya tiba-tiba mencair selepas menyentuh entiti tersebut. Kedua-dua babak ini bagi saya cukup mengerikan.

Adegan yang melibatkan peralihan realiti juga merupakan satu idea yang menarik kerana ia bukan sahaja memperlihatkan kemampuan entiti tersebut membawa Bela ke lokasi berbeza, malah turut memindahkan objek di sekelilingnya. Ini sekali gus menunjukkan bahawa kuasa entiti tersebut bukan sahaja mempengaruhi Bela, tetapi juga persekitarannya.
Namun, di sebalik beberapa visual seram yang menarik ini, Rob Savage dilihat lebih banyak bergantung pada kejutan bunyi untuk menakutkan penonton menerusi babak-babak jumpscare.
Bagi saya, penggunaan jumpscare secara berlebihan, tanpa disokong oleh pembinaan suasana seram yang berkesan, menyebabkan kebanyakan babak tersebut hanya mampu mengejutkan penonton buat seketika, bukannya mencetuskan perasaan takut atau membina suasana yang benar-benar menyeramkan.
Walaupun memberikan pembukaan yang meyakinkan, Other Mommy secara perlahan-lahan mula menyajikan jalan cerita yang tipikal, dengan watak-watak stereotaip seperti ibu bapa yang pada awalnya tidak mempercayai dakwaan anak mereka tentang kewujudan entiti misteri, serta watak yang kononnya mampu menghalau entiti jahat, tetapi akhirnya gagal.

Terdapat juga beberapa perkembangan cerita yang mengingatkan saya kepada Insidious, iaitu apabila cerita filem ini mula melibatkan pasukan paranormal. Malah, konflik filem ini turut diselesaikan dengan cara yang agak tipikal, apabila satu pendedahan dibuat sebelum Bela mengambil keputusan yang cukup mudah untuk menamatkan penderitaan mereka.
Di sebalik trailer yang meyakinkan dan strategi pemasaran yang berjaya mencipta hype terhadap filem ini, Other Mommy hanyalah sebuah filem yang indah khabar dari rupa. Filem ini tidaklah semenakutkan seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya lebih banyak menyajikan babak-babak jumpscare tanpa henti yang boleh dianggap kosong, di samping jalan cerita tipikal yang gagal memberikan impak sebenar kepada pengalaman seram itu sendiri.
Mungkin ada yang meminati elemen jumpscare, tetapi bagi mereka yang ingin merasai pengalaman seram yang benar-benar memberi kesan atau membuatkan bulu roma meremang, Other Mommy sekadar sebuah filem seram yang biasa-biasa sahaja.
Rating: 2.5/5
