
Marvel Studios mungkin sedang menyimpan satu lagi projek MCU untuk Disney+ yang masih belum diumumkan secara rasmi.
Projek yang kini menggunakan tajuk kerja Slumber Party itu mula mencetuskan tanda tanya selepas perkembangan terbaharu menunjukkan ia telah mendapat kelulusan untuk memasuki peringkat produksi.
Lebih menarik, beberapa petunjuk mengenai projek tersebut seolah-olah membuka kemungkinan bahawa ia berkaitan dengan kumpulan adiwira remaja Marvel.
Antara teori yang mula menjadi perhatian ialah Champions dan New Mutants.
Menurut laporan Murphy’s Multiverse (via Comicbookmovie), projek berkenaan sedang dibangunkan oleh syarikat produksi yang menggunakan kod nama “Veil Productions”. Sumber tersebut mendakwa produksi Slumber Party telah diluluskan.
Butiran mengenai projek itu masih dirahsiakan, termasuk jalan cerita dan watak yang akan muncul. Namun, istilah “youth-focused” yang dikaitkan dengannya telah menyebabkan peminat mula mengaitkannya dengan beberapa adiwira remaja yang sudah diperkenalkan dalam MCU.
Adakah Marvel Sedang Membina Champions?
Jika projek ini benar-benar memberi tumpuan kepada generasi muda MCU, Champions merupakan antara calon yang paling menarik.
Marvel sudah mempunyai beberapa watak yang berpotensi menyertai pasukan tersebut, termasuk Kamala Khan/Ms. Marvel, Kate Bishop/Hawkeye, America Chavez, Cassie Lang, Ironheart, Wiccan dan Speed.
Menariknya, Iman Vellani sebelum ini pernah menyuarakan pandangannya mengenai perkara tersebut.
Pelakon yang membawakan watak Kamala Khan itu berkata beliau lebih berminat untuk melihat Kamala bersama pasukan Champions berbanding Young Avengers. Vellani turut menyatakan bahawa beliau sangat menyukai hubungan dinamik antara Kamala, Miles Morales dan Sam Alexander.
Kedua-dua Miles Morales dan Sam Alexander, yang dikenali sebagai Nova, masih belum membuat kemunculan aksi langsung dalam MCU.
Jadi, jika Marvel benar-benar mahu membawa Champions ke Disney+, masih terdapat banyak ruang untuk memperkenalkan ahli baharu kepada pasukan tersebut.
Tetapi Tajuk “Slumber Party” Ada Kaitannya Dengan New Mutants
Pada masa sama, terdapat satu lagi petunjuk yang membuatkan teori New Mutants sukar untuk diketepikan.
Dalam komik Marvel, New Mutants #21 yang diterbitkan pada 1984 mempunyai cerita bertajuk “Slumber Party”.
Persamaan tajuk ini mungkin sekadar kebetulan, tetapi ia sudah cukup untuk mencetuskan spekulasi bahawa projek misteri Disney+ tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan pasukan mutan berkenaan.
Spekulasi ini juga hadir pada waktu yang menarik kerana Marvel Studios kini sedang menuju ke era baharu MCU yang bakal memberi lebih banyak perhatian kepada mutan, terutama dengan projek X-Men yang dijadualkan pada 2028.
The New Mutants sendiri pernah diadaptasi ke layar perak pada 2020 oleh 20th Century Fox, dengan Anya Taylor-Joy memainkan watak Illyana Rasputin/Magik.
Sebelum ini juga pernah timbul laporan mengenai kemungkinan Taylor-Joy kembali sebagai Magik dalam projek Marvel pada masa hadapan, walaupun perkara tersebut masih belum disahkan.
Selain Champions dan New Mutants, Strange Academy turut menjadi salah satu kemungkinan yang boleh dikaitkan dengan projek berorientasikan watak muda.
Buat masa ini, Marvel Studios masih belum mengesahkan identiti sebenar projek Slumber Party. Tiada pengumuman rasmi mengenai barisan pelakon, jalan cerita atau tarikh tayangan Disney+.
Jadi, buat sementara waktu, Champions, New Mutants dan Strange Academy masih kekal sebagai teori berdasarkan petunjuk yang ada.
Namun, jika projek ini benar-benar berkaitan dengan salah satu kumpulan tersebut, ia boleh menjadi antara projek MCU Disney+ yang menarik untuk diperhatikan selepas Avengers: Secret Wars.
