
Netflix mempunyai pelbagai pilihan filem daripada genre yang berbeza, tetapi kalau anda lebih gemarkan cerita yang penuh aksi, jenayah, rompakan, misteri atau bencana besar-besaran, ada beberapa judul yang memang sesuai dimasukkan dalam senarai tontonan.
Menariknya, filem-filem dalam senarai ini tidak terhad kepada filem aksi moden. Ada yang sudah berusia lebih sedekad tetapi masih menghiburkan, sementara beberapa lagi menawarkan pendekatan yang berbeza terhadap genre masing-masing.
Daripada sekumpulan pencuri profesional dalam Ocean’s, misi perisik dalam Alpha, misteri pembunuhan Knives Out hinggalah dunia yang hampir musnah dalam 2012, berikut ialah lapan filem yang boleh and ‘binge’ sepanjang hujung minggu ini.
1. Trilogi Ocean’s

Kalau anda suka filem heist yang bukan sekadar bergantung kepada aksi, trilogi Ocean’s merupakan pilihan yang sukar untuk dilepaskan. Bermula dengan Ocean’s Eleven (2001), siri ini diteruskan menerusi Ocean’s Twelve (2004) dan Ocean’s Thirteen (2007), semuanya diarahkan Steven Soderbergh.
Filem pertama mengikuti Danny Ocean yang mengumpulkan sekumpulan pencuri dengan kepakaran berbeza untuk merancang rompakan terhadap tiga kasino di Las Vegas.
Kekuatan utama trilogi ini terletak pada barisan pelakon bintangnya yang mempunyai chemistry cukup kuat, selain perancangan rompakan yang sentiasa membuatkan penonton tertanya-tanya bagaimana mereka akan melakukannya.
George Clooney, Brad Pitt, Matt Damon, Julia Roberts, Andy Garcia dan Don Cheadle antara nama besar yang menghiasi siri ini. Jika anda mencari filem heist yang bergaya, santai dan menghiburkan, trilogi Ocean’s memang berbaloi untuk ditonton.
2. Alpha

Bagi yang mahukan filem aksi dari India, Alpha (2026) menawarkan sesuatu yang berbeza dengan menampilkan dua watak utama wanita sebagai ejen yang berdepan misi berbahaya. Filem arahan Shiv Rawail ini dibintangi Alia Bhatt sebagai Sita dan Sharvari sebagai Durga Kaul, selain Anil Kapoor dalam salah satu watak utama.
Ia merupakan sebahagian daripada YRF Spy Universe.
Cerita ini mengikuti dua wanita yang terpaksa bekerjasama ketika berdepan ancaman daripada musuh yang kejam. Dengan elemen perisik, aksi dan thriller, Alpha sesuai untuk penonton yang gemarkan filem aksi India dengan skala lebih besar serta watak utama wanita yang menjadi tunjang cerita. Kehadiran Alia Bhatt dan Sharvari sebagai gandingan utama juga menjadi antara sebab filem ini menarik untuk ditonton.
3. 2012

Kalau anda jenis penonton yang suka tengok dunia hampir kiamat, 2012 masih menjadi salah satu filem bencana yang menghiburkan. Filem arahan Roland Emmerich ini membayangkan siri bencana global yang mengancam untuk memusnahkan kehidupan manusia di seluruh dunia.
Filem ini berpusat pada Jackson Curtis lakonan John Cusack, seorang penulis yang cuba membawa keluarganya ke tempat selamat ketika dunia mula berdepan pelbagai bencana dahsyat. Thandiwe Newton, Chiwetel Ejiofor, Woody Harrelson dan Danny Glover turut membintangi filem ini.
Walaupun skripnya mungkin bukan kekuatan utama filem ini, 2012 tetap menarik kerana skala kemusnahannya. Gempa bumi, tsunami dan pelbagai bencana lain dipersembahkan dalam skala besar yang menjadikan filem ini sesuai untuk tontonan santai apabila anda mahukan aksi serta visual yang memukau dan.. sudah tentu, menakutkan.
4. Knives Out

Bukan semua cerita jenayah memerlukan aksi dan tembak-menembak. Knives Out (2019) membuktikan bahawa sebuah misteri pembunuhan juga boleh menjadi tontonan yang sangat menghiburkan.
Filem arahan Rian Johnson ini bermula dengan kematian novelis terkenal Harlan Thrombey. Apabila siasatan dijalankan, hampir setiap ahli keluarganya mempunyai sebab untuk disyaki. Detektif Benoit Blanc, lakonan Daniel Craig, kemudiannya cuba membongkar apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kematian tersebut.
Selain Daniel Craig, filem ini menampilkan Chris Evans, Ana de Armas, Jamie Lee Curtis, Toni Collette dan Christopher Plummer.
Apa yang membuatkan Knives Out menarik ialah penonton turut diajak bermain teka-teki bersama Blanc. Setiap watak mempunyai rahsia tersendiri dan cerita sentiasa memberikan ruang untuk anda mengubah teori sebelum misteri akhirnya terungkai.
5. Fargo

Kalau anda lebih gemarkan filem jenayah yang pelik, gelap dan mempunyai unsur humor, Fargo (1996) wajib diberi perhatian. Filem arahan Joel dan Ethan Coen ini menggabungkan jenayah, thriller dan komedi gelap dalam sebuah cerita yang bermula apabila rancangan jenayah seorang jurujual kereta mula menjadi tidak terkawal.
William H. Macy memainkan watak Jerry Lundegaard, manakala Frances McDormand pula membawakan watak Marge Gunderson, seorang ketua polis yang menyiasat rangkaian jenayah tersebut. Steve Buscemi turut membintangi filem ini.
Apa yang menarik tentang Fargo ialah cara ia mengimbangi kisah jenayah yang semakin serius dengan watak-watak yang mempunyai sisi ganjil dan kadangkala mencuit hati. Ia mungkin bukan filem yang penuh aksi, tetapi jalan cerita, watak dan suasananya menjadikan Fargo sebuah filem jenayah yang berbeza daripada kebiasaan.
6. The Magnificent Seven

Peminat aksi dan western boleh mencuba The Magnificent Seven (2016), arahan Antoine Fuqua. Filem ini mengisahkan tujuh penembak upahan yang disatukan untuk melindungi sebuah bandar kecil bernama Rose Creek daripada seorang industrialis kejam yang mahu menguasainya.
Denzel Washington mengetuai barisan pelakon sebagai Sam Chisolm, bersama Chris Pratt, Ethan Hawke, Vincent D’Onofrio, Lee Byung-hun, Manuel Garcia-Rulfo dan Martin Sensmeier.
Filem ini sesuai untuk penonton yang mahukan aksi yang lebih tradisional – sekumpulan watak dengan kemahiran berbeza bersatu untuk menghadapi musuh yang jauh lebih ramai. Selain adegan tembak-menembak dan pertarungan, chemistry antara tujuh watak utama menjadi salah satu daya tarikan filem ini.
7. Safe

Kalau anda mahukan filem aksi yang terus kepada plot utama, Safe (2012) lakonan Jason Statham boleh menjadi pilihan. Filem ini mengikuti Luke Wright, seorang bekas ‘cage fighter’ yang terpaksa melindungi seorang kanak-kanak perempuan bernama Mei selepas mendapati dirinya diburu oleh Triad, mafia Rusia dan anggota polis yang korup.
Mei sebenarnya menyimpan satu maklumat penting yang menjadi rebutan pelbagai pihak, menyebabkan Luke terpaksa berdepan dengan musuh dari beberapa kumpulan jenayah pada masa yang sama. Catherine Chan dan Chris Sarandon turut membintangi filem arahan Boaz Yakin ini.
Dengan tempoh tayangan sekitar 94 minit, Safe tidak membuang terlalu banyak masa untuk sampai kepada aksinya. Jadi, kalau anda sedang mencari filem Jason Statham yang ringkas, pantas dan dipenuhi aksi, filem ini memang sesuai untuk tontonan sekali jalan.
8. Gladiator II

Bagi peminat filem aksi epik, Gladiator II (2024) membawa penonton kembali ke dunia Empayar Rom beberapa tahun selepas peristiwa filem pertama. Paul Mescal memainkan watak Lucius, yang terpaksa memasuki arena Colosseum selepas tanah airnya ditakluki dan kehidupannya berubah secara drastik.
Filem arahan Ridley Scott ini turut menampilkan Denzel Washington, Pedro Pascal dan Connie Nielsen. Berbanding cerita yang hanya bergantung pada pertarungan gladiator, filem ini turut mengembangkan konflik politik serta perebutan kuasa dalam Empayar Rom.
Namun, tarikan terbesarnya tetap terletak pada aksi berskala besar dan adegan pertempuran di Colosseum. Bagi penonton yang menyukai filem epik, sejarah dan aksi, Gladiator II merupakan salah satu pilihan yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan.
Kesimpulan
Daripada filem heist yang bergaya seperti trilogi Ocean’s, aksi perisik dalam Alpha, misteri pembunuhan Knives Out hinggalah filem bencana seperti 2012, senarai ini menunjukkan bahawa genre aksi dan jenayah mempunyai banyak bentuk untuk ditawarkan.
Ada filem yang sesuai ditonton apabila anda mahukan aksi tanpa henti, manakala filem seperti Fargo dan Knives Out lebih menekankan cerita, watak dan misteri. Jadi, semuanya bergantung kepada jenis tontonan yang anda sedang cari.
