Kakimuvee
Berita Lokal

Filem Jangkar Perkenal Poster Baharu, Angkat Tragedi Berdarah 1972 Ke Layar Perak

Poster filem Jangkar

Metrowealth International Group (MiG Pictures) telah mendedahkan poster filem terbaru mereka yang akan datang, Jangkar,sekali gus memberi gambaran awal mengenai sebuah filem yang mengangkat salah satu tragedi berdarah ketika era ancaman komunis di Sarawak.

Diarahkan oleh Jason Chong dan diterbitkan oleh David Teo menerusi MiG Pictures, Jangkar diinspirasikan daripada kejadian sebenar yang berlaku pada 26 Mac 1972 di kawasan Kampung Jangkar, Lundu.

Ketika itu, sebuah konvoi anggota Batalion Ke-7 Rejimen Renjer Diraja (7 RRD) diserang hendap oleh anggota komunis ketika dalam perjalanan dari kawasan sempadan Biawak menuju ke Lundu. Seramai 15 anggota renjer terbunuh dalam kejadian tersebut.

Namun, Jangkar bukan sebuah dokumentari sejarah. Filem ini menggunakan peristiwa tersebut sebagai asas kepada penceritaan fiksyen yang menggabungkan elemen aksi, sejarah dan seram dalam dua garis masa, iaitu 1972 dan masa kini.

Jason Chong turut menjelaskan bahawa pasukan produksi menjalankan penyelidikan termasuk mendapatkan maklumat daripada individu yang terselamat serta wakil Rejimen Renjer bagi memahami peristiwa berkenaan.

Kisah Ismail Merentas Dua Zaman

Filem Jangkarakan mengikuti kisah Ismail, seorang anak muda dari zaman moden yang secara misteri dibawa kembali ke tahun 1972. Di sana, dia terjebak bersama sebuah platun renjer yang berdepan ancaman komunis serta keadaan perang gerila yang sukar dijangka.

Pengalaman tersebut mengubah perspektif Ismail terhadap perjuangan anggota keselamatan dan harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan keamanan. Pada masa sama, filem ini turut mengambil inspirasi daripada Ops Bella, iaitu operasi memburu anggota komunis yang dilancarkan selepas serangan hendap Jangkar.

Barisan pelakonnya menampilkan Yusof Hashim sebagai Ismail, Datuk Tamimi Siregar sebagai Haji Rahim, Fikry Ibrahim sebagai Leftenan Rahim, Noki K-Clique sebagai Renjer Aslam dan Aniq Durar sebagai Koperal Haris.

Ayez Shaukat pula terlibat sebagai pengarah aksi bagi memastikan babak pertempuran dibina dengan pendekatan yang lebih realistik.

Antara Produksi Sejarah Berskala Besar MiG

Dengan anggaran kos sekitar RM6 juta termasuk promosi dan pemasaran, Jangkar menjadi antara projek tempatan berskala besar yang diterbitkan MiG Pictures. Penggambaran mengambil masa kira-kira 45 hari dan dijalankan di beberapa lokasi di Sarawak termasuk Kuching, Lundu, kawasan Kem Jangkar serta Bako.

Menurut Jason, pembangunan projek ini mengambil masa hampir dua tahun, termasuk proses penyelidikan, pembangunan skrip dan latihan pelakon.

Pendekatan realisme turut diberi perhatian khusus untuk babak pertempuran supaya filem tidak menggambarkan peperangan sebagai sesuatu yang glamor, sebaliknya memperlihatkan kesan dan kekejamannya.

Bila Jangkar Akan Ditayangkan?

Jangkar dijangka menemui penonton di pawagam pada 2027. Sebelum ini, pihak produksi menyatakan mereka menyasarkan tempoh sekitar sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia atau Hari Sarawak, namun tarikh rasmi tayangan masih belum diumumkan.

Dengan poster baharu kini diperkenalkan, perhatian selepas ini tentunya akan beralih kepada trailer rasmi dan tarikh tayangan filem yang membawa kembali satu episod sejarah Sarawak yang jarang diketengahkan ke layar perak.

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

GSC Lancar Trailer Rasmi Chelot Yang Penuh Aksi

Karim Khan

Tikus! Tawar Misteri Pembunuhan Dalam Program Healing Di Sebuah Resort

Karim Khan

Baga: Esok Untuk Siapa Tayang Di Pawagam Malaysia November Ini

Karim Khan

Papa Zola The Movie Kukuhkan Dominasi Serantau dengan 4.4 Juta Penonton dan RM68.2 Juta Kutipan

Karim Khan

“Ejen Ali In Concert” Raikan Ulang Tahun Ke-10, Bakal Berlangsung November Ini

Karim Khan

CMCF Gesa Pengguna Berhati-hati Kongsi Klip Kandungan 18+ Di Media Sosial

Karim Khan

Leave a Comment