
Robert Eggers nampaknya sudah mempunyai projek seterusnya selepas Werwulf, dengan pengarah Nosferatu itu kini bersedia untuk membawa kisah klasik Romeo and Juliet ke layar lebar.
Menurut laporan The Hollywood Reporter, Eggers akan mengarah adaptasi baharu karya William Shakespeare itu untuk Focus Features, studio yang sebelum ini bekerjasama dengannya menerusi Nosferatu dan filem terbaharunya, Werwulf.
Buat masa ini, projek tersebut masih di peringkat awal dan belum mempunyai tarikh penggambaran mahupun tayangan. Barisan pelakon juga masih belum diumumkan.
Namun, apa yang menarik adalah pendekatan yang bakal digunakan Eggers. Berbeza dengan beberapa adaptasi Romeo and Juliet sebelum ini yang membawa kisah tersebut ke latar lebih moden, versi Eggers dilaporkan akan mengekalkan dialog asal Shakespeare.
Pendekatan itu sememangnya tidak jauh daripada identiti Eggers sebagai seorang pembikin filem. Sepanjang kerjayanya, dia cukup dikenali dengan kecenderungan menghasilkan filem berlatar zaman tertentu dengan perhatian yang tinggi terhadap bahasa, suasana dan perincian sejarah.
Ia dapat dilihat menerusi filem seperti The Witch, The Lighthouse, The Northman dan Nosferatu. Malah, Eggers sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia tidak berminat untuk menghasilkan filem yang berlatar dunia moden.
Romeo and Juliet juga menyaksikan kerjasamanya dengan Focus Features diteruskan selepas kejayaan Nosferatu pada 2024. Studio itu turut akan mengedarkan Werwulf, filem seram Gothic terbaharu Eggers yang dijadualkan menemui penonton pada Hari Krismas.
Dengan projek Romeo and Juliet kini menjadi antara keutamaannya, masih belum diketahui bagaimana perkembangan beberapa projek lain yang sebelum ini dikaitkan dengan Eggers, termasuk adaptasi A Christmas Carol dan filem susulan Labyrinth.
Walaupun Romeo and Juliet bukan sebuah karya seram seperti kebanyakan filem Eggers sebelum ini, kisah cinta tragis antara Romeo Montague dan Juliet Capulet mempunyai tema yang cukup gelap dan berakhir dengan tragedi - sesuatu yang mungkin sesuai dengan gaya penceritaan pengarah tersebut.
Karya Shakespeare itu sudah banyak kali diadaptasi untuk layar lebar. Antara versi paling dikenali ialah Romeo + Juliet arahan Baz Luhrmann pada 1996 yang dibintangi Leonardo DiCaprio dan Claire Danes. Filem tersebut membawa kisah Romeo dan Juliet ke latar kontemporari sambil mengekalkan sebahagian besar dialog Shakespeare.
Bagaimanapun, versi arahan Eggers dijangka mengambil pendekatan yang berbeza dengan mengekalkan latar dan gaya bahasa yang lebih dekat dengan karya asal.
Setakat ini, Focus Features masih belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi untuk Romeo and Juliet.
