
Filem seram Other Mommy dijangka mendominasi carta box office Amerika Utara hujung minggu ini dengan kutipan pembukaan sekurang-kurangnya AS$20 juta, manakala filem drama The Social Reckoning pula diunjurkan mencatat kutipan sekitar AS$7 juta hingga AS$8 juta.
Menurut laporan Variety, kedua-dua filem terbaharu ini bakal memasuki pawagam ketika industri perfileman sedang berusaha meningkatkan semula jumlah penonton selepas prestasi mengecewakan filem Digger lakonan Tom Cruise pada minggu lalu.
Bagi The Social Reckoning, unjuran kutipan pembukaannya jauh lebih rendah berbanding The Social Network (2010), yang meraih AS$22 juta pada minggu pertama tayangannya di Amerika Utara.
Filem asal arahan David Fincher itu berjaya mengumpul AS$224 juta di seluruh dunia dan memenangi empat Anugerah Oscar, termasuk kategori lakon layar terbaik untuk Aaron Sorkin.
Bagaimanapun, Sony Pictures tidak memasarkan The Social Reckoning sebagai sekuel secara langsung, sebaliknya menganggapnya sebagai sebuah filem pelengkap kepada The Social Network. Ini kerana Fincher dan Jesse Eisenberg, yang membawakan watak Mark Zuckerberg dalam filem asal, tidak kembali untuk projek terbaharu tersebut.
Dengan kos produksi sekitar AS$30 juta, The Social Reckoning masih berpeluang mencatat prestasi kewangan yang munasabah meskipun kutipan pembukaannya dijangka tidak mampu menandingi filem terdahulu.
Ditulis dan diarahkan oleh Aaron Sorkin, filem ini mengambil latar beberapa tahun selepas peristiwa The Social Network. Ia mengikuti seorang jurutera Facebook lakonan Mikey Madison yang membocorkan ribuan dokumen dalaman syarikat kepada seorang wartawan The Wall Street Journal lakonan Jeremy Allen White bagi mendedahkan isu-isu yang berlaku di sebalik operasi Facebook.
Jeremy Strong pula membawakan watak Mark Zuckerberg.
Sementara itu, Other Mommy dijangka mencatat pembukaan lebih kukuh dengan kutipan sekurang-kurangnya AS$20 juta daripada 3,200 pawagam di Amerika Utara.
Angka tersebut merupakan permulaan yang baik memandangkan filem seram terbitan James Wan itu hanya menelan kos produksi sekitar AS$18 juta.
Diarahkan oleh Rob Savage dan dibintangi Jessica Chastain, Other Mommy mengisahkan satu entiti paranormal yang menyamar sebagai ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan sebelum mula mengganggu kehidupan mereka di rumah.
Dalam perkembangan lain, Verity yang mengungguli carta box office minggu lalu dijangka mengalami penurunan kutipan sekitar 50% hingga 60%, dengan anggaran pendapatan hujung minggu kedua antara AS$13 juta hingga AS$16 juta.
Filem thriller psikologi lakonan Anne Hathaway dan Dakota Johnson itu setakat ini telah mengumpul AS$34 juta di Amerika Utara dan AS$65 juta di seluruh dunia, berbanding kos produksi AS$40 juta.
Nasib berbeza menimpa Digger yang dijangka hanya meraih tambahan AS$4 juta pada minggu kedua tayangannya, susut sekitar 50% berbanding kutipan pembukaan AS$8 juta.
Dengan kos produksi melebihi AS$160 juta, filem komedi gelap terbitan Warner Bros. itu kini berdepan risiko mengalami kerugian besar selepas hanya mengumpul sekitar AS$20 juta di seluruh dunia setakat ini.
Susulan prestasi lemah Digger, filem arahan Christopher Nolan, The Odyssey, turut kembali ditayangkan di pawagam IMAX dan format 70mm pada hujung minggu ini.
Sumber: Variety
