
Selesai sudah empat episod siri Kudrat 1968: High Council, dan kini peminat hanya perlu menunggu tayangan filem berjudul sama yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 29 Oktober ini. Filem tersebut juga akan menjadi episod penutup kepada siri berkenaan.
Pada asalnya, saya bercadang untuk menghasilkan ulasan ringkas bagi setiap episod, seperti yang pernah saya kongsikan di Instagram (anda boleh rujuk di sini). Namun, bagi episod keempat, saya mengambil keputusan untuk merangkumkan ulasan daripada episod pertama hingga keempat sebagai satu ulasan keseluruhan siri ini. Ulasan untuk filemnya pula akan saya hasilkan secara berasingan.
Apa yang boleh saya katakan sepanjang mengikuti siri ini, Kudrat 1968: High Council berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat. Pelbagai teori dan kontroversi yang timbul sepanjang tayangannya memperlihatkan betapa besarnya minat penonton tempatan terhadap karya yang bukan sahaja menarik untuk ditonton, tetapi juga mampu mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.
Namun, di sebalik sambutan yang begitu menggalakkan, pihak produksi tidak seharusnya terlalu mendabik dada dengan kejayaan tersebut. Sebaliknya, siri ini telah menetapkan satu penanda aras (benchmark) baharu buat Astro Shaw untuk terus menghasilkan karya yang lebih kreatif, menarik dan berkualiti. Lebih-lebih lagi dengan perancangan membangunkan Astro Shaw Cinematic Universe, yang pastinya menuntut idea serta visi kreatif yang lebih besar, di samping memastikan kualiti penceritaan dan produksi terus dikekalkan.

Dalam konteks Kudrat 1968: High Council, terdapat satu perkara yang benar-benar membuatkan saya tertarik dan kagum dengan penghasilan siri ini, iaitu kualiti visual dan reka bentuk produksinya. Walaupun tidak sempurna, kedua-dua aspek ini berjaya memberikan gambaran seolah-olah kita sedang menonton sebuah produksi dengan bajet yang besar.
Kerja-kerja sinematografi dan framing yang kemas, color grading yang cantik, serta reka bentuk produksi yang tidak kelihatan kosong dan sarat dengan perincian era 1960-an memperlihatkan kesungguhan pasukan produksi dalam menghasilkan sebuah karya yang berkualiti dari sudut teknikal.
Walaupun terdapat beberapa butiran kecil yang boleh dipertikaikan, seperti pakaian pelajar yang kelihatan tidak begitu menepati latar masa era 1960-an, perkara tersebut tidaklah menjadi masalah yang terlalu besar. Ini kerana kekuatan aspek teknikal secara keseluruhannya berjaya mengaburkan kekurangan kecil tersebut, sekali gus menjadikan persembahan visual siri ini antara aspek yang paling menyerlah.
Dari sudut penceritaan pula, tidak dinafikan episod pertama mempunyai pengenalan yang agak menarik terhadap dunia Kudrat dan watak-watak utamanya, terutamanya Abbas dan Kuda. Kedua-duanya memiliki personaliti yang cukup berbeza, dan pertembungan antara dua karakter ini dengan pantas mencetuskan perseteruan yang menjadi asas kepada konflik utama siri tersebut.

Pengenalan ini juga berjaya membangkitkan rasa ingin tahu terhadap apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam Kudrat. Walaupun tempo episod pertama agak perlahan, ia tidak begitu mengganggu proses pembinaan konflik yang bakal menjadi tunjang utama penceritaan siri ini.
Bagaimanapun, beberapa kepincangan dari sudut penceritaan mula kelihatan pada episod kedua. Babak imbas kembali yang melibatkan watak Kuda, bagi saya, terlalu singkat dan kurang memberikan impak, terutamanya dalam menjelaskan bagaimana dia berjaya mendapat tempat dalam hierarki tertinggi di Kudrat.
Selain itu, ketika plot mula memihak kepada Abbas, perkembangan konflik dilihat agak terbatas, dengan watak tersebut sering dibiarkan bersendirian dalam berhadapan dengan Kuda dan konco-konconya. Hanya menjelang penghujung episod ketiga barulah penceritaan mula bergerak ke arah yang berbeza.
Sedangkan, dari awal episod kedua hingga sebahagian besar episod ketiga, konflik yang sama seolah-olah sengaja dipanjangkan tanpa perkembangan yang benar-benar signifikan. Keadaan ini sedikit sebanyak membuatkan saya berasa bosan kerana penceritaannya seperti berlegar-legar pada konflik yang sama.
Hala tuju episod keempat pula agak menarik berbanding dua episod sebelumnya, dengan corak penceritaan mula berkembang ke arah yang lebih rumit. Ia bukan sahaja melibatkan permasalahan peribadi setiap watak, tetapi turut membawa isu yang lebih berat serta penglibatan pihak luar dalam usaha menoktahkan konflik yang sedang berlaku di Kudrat.
Namun, episod ini juga telah mendedahkan kelemahan paling ketara dalam struktur plot Kudrat 1968: High Council, iaitu ketika Cikgu Zainal menceritakan kisah sebenar di sebalik perpisahan ibu bapa Abbas. Pendedahan tersebut secara tidak langsung menggugat struktur penceritaan yang telah dibina sejak episod pertama.

Saya faham bahawa pendedahan oleh Cikgu Zainal itu merupakan pilihan kreatif penulis dalam mencorakkan perjalanan cerita dan perkembangan karakter Abbas. Cuma, pendedahan tersebut turut menimbulkan persoalan terhadap keseluruhan plot, terutamanya apabila memikirkan bagaimana perjalanan cerita mungkin berubah sekiranya Cikgu Zainal menceritakan perkara sebenar kepada Abbas lebih awal.
Bercakap soal perkembangan karakter, Kuda merupakan watak yang paling mencuri perhatian saya sepanjang empat episod siri ini, malah perkembangan karakternya bagi saya jauh lebih kuat berbanding Abbas. Sejak episod kedua lagi, saya mula melihat perkembangan karakternya yang mula menuju ke arah yang berbeza, sedangkan pada awal cerita, dia seolah-olah digambarkan sebagai antagonis yang bakal ditentang oleh Abbas.
Apabila penceritaan semakin berkembang, perwatakan Kuda mula berubah secara beransur-ansur, sehinggakan pandangan saya terhadapnya berubah hampir 100% apabila kisahnya didedahkan dalam episod keempat. Bagi saya, Kuda bukan sahaja mempunyai perkembangan karakter yang menarik, malah menjadi antara watak paling signifikan dalam membentuk keseluruhan kisah Kudrat, bahkan mengatasi Abbas.
Dalam episod keempat, watak Kuda tidak begitu diberikan penekanan. Episod tersebut lebih banyak memberikan tumpuan kepada perubahan karakter Abbas, memperlihatkan sisi Pa yang jauh lebih kejam, serta perkembangan penting pada watak Piji yang memberikan bayangan bahawa dia mungkin akan memainkan peranan lebih besar dalam filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Secara keseluruhannya, Kudrat 1968: High Council merupakan sebuah siri tempatan yang agak menarik untuk diikuti. Daripada kualiti produksi yang mengagumkan sehinggalah kepada barisan watak yang kuat dan dihidupkan dengan lakonan mantap para pelakonnya, siri ini jelas mempunyai kelebihan tersendiri.
Seperti penonton lain, saya juga tidak sabar menantikan finale yang bakal ditayangkan di pawagam pada 29 Oktober ini. Cuma, persoalannya sekarang, adakah episod terakhir ini mampu memberikan kejutan kepada peminat?
