Kakimuvee
Review Filem

Review The Last House: Survival Thriller Yang Tidak Cukup Rangup & Terlebih Tepung.

Kadang-kala sukar untuk kita menghadam sesebuah cerita tanpa pengenalan yang jelas dan penamat yang ringkas tanpa memberikan sebab yang kukuh mengapa filem itu berakhir sedemikian.

Filem-filem bercorak apokaliptik atau berkisar tentang kiamat kadang-kala terus menuju ke bahagian pertengahan, atau ketika kiamat sedang berlaku.

Namun, kebiasaannya, dalam proses menuju ke penghujung cerita, penonton akan diberikan petunjuk tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku dan bagaimana watak-wataknya akan menempuhi situasi yang semakin tiada harapan.

Berbeza dengan filem terbaru Netflix, The Last House, yang tiada hujan, tiada ribut… eh, maaf, ada hujan dan ada ribut. Satu keluarga… dan keluarga-keluarga lain, tiba-tiba terperangkap di dalam rumah, terputus hubungan dengan dunia luar, tanpa mengetahui sebab yang jelas mengapa situasi sebegitu berlaku.

Filem lakonan Greta Lee dan Wagner Moura ini memberikan satu petunjuk menerusi epilog atau petikan yang menyatakan bahawa bumi bukanlah milik mutlak umat manusia. Sebaliknya, manusia berkongsi dunia ini dengan hidupan lain yang selama ini mendiami lautan.

AMARAN SPOILER!!!
Gambar The Last House

Petunjuk di bahagian permulaan cerita ini seolah-olah membayangkan bahawa sesuatu malapetaka besar bakal menimpa umat manusia. Namun, filem ini sengaja menyorok jawapannya, sehinggalah situasi apokaliptik mula tercetus.

Penceritaan utamanya bermula apabila keluarga Jason sedang bersiap-siap untuk keluar mencari pokok Krismas. Namun, sesuatu yang janggal berlaku apabila pintu rumah mereka tiba-tiba terkunci rapat. Menyangkakan ia perbuatan budak-budak nakal, mereka cuba membuka pintu-pintu yang lain, tetapi semuanya gagal.

Usaha mereka semakin buntu apabila tingkap juga terkunci rapat, manakala segala bentuk perhubungan dengan dunia luar terputus secara misteri.

Di situlah mereka mula mengesyaki bahawa sesuatu yang buruk sedang berlaku. Andaian tersebut semakin kuat apabila mereka melihat ke luar rumah dan mendapati penghuni rumah lain turut terperangkap di dalam kediaman masing-masing.

Pada awalnya, mereka menjalani kehidupan seperti biasa, cuba mengisi masa lapang sementara menunggu untuk diselamatkan. Namun, selepas beberapa minggu berlalu, keadaan mula bertambah genting apabila bekalan makanan semakin berkurangan.

Apabila harapan untuk diselamatkan semakin pudar, bermulalah perjuangan sebenar keluarga Jason untuk terus bertahan. Hari berganti minggu, minggu berganti tahun, dan tanpa mengetahui bila semua ini akan berakhir, mereka akhirnya terpaksa belajar untuk hidup dalam keadaan yang tidak pernah mereka bayangkan.

Bagi yang meminati filem seperti A Quiet Place atau Bird Box, The Last House memiliki nada dan tema yang lebih kurang sama, di mana sekumpulan manusia cuba bertahan daripada makhluk invasif yang sukar untuk ditewaskan. Cuma, yang membezakan filem tersebut dengan filem kali ini ialah kumpulan manusia itu terpaksa bertahan selepas dikurung di dalam rumah sendiri.

Filem ini memiliki premis yang agak menarik, cuma sayang pengolahan dan perkembangan ceritanya agak mengecewakan, malah boleh dikatakan tidak begitu konsisten dan bercelaru. Apa yang bermula sebagai sebuah kisah survival yang menarik akhirnya berkembang menjadi sebuah cerita yang mempunyai terlalu banyak persoalan tanpa jawapan yang memuaskan.

Hampir sejam pertama filem ini terasa seperti masa penonton dibazirkan dengan drama kekeluargaan yang diselitkan dengan sedikit elemen survival. Apabila plot mula melangkau lima tahun ke hadapan, barulah filem ini menjadi lebih menarik dan tegang, selari dengan identitinya sebagai sebuah filem survival sci-fi thriller.

Walau bagaimanapun, bahagian kedua filem ini mula menjadi agak bercelaru dan dilihat tidak begitu konsisten dengan apa yang telah diceritakan pada awal filem. Sebagai contoh, bahagian awal memperlihatkan manusia dikurung sebagai salah satu cara untuk menghapuskan mereka.

Gambar filem Netflix The Last House

Namun, apabila memasuki bahagian kedua, filem ini menunjukkan bahawa makhluk misteri tersebut sebenarnya mempunyai cara yang jauh lebih mudah untuk membunuh manusia, iaitu dengan melemaskan mereka yang terperangkap di dalam rumah.

Persoalannya, jika kaedah tersebut begitu mudah dan berkesan, mengapa manusia perlu dibiarkan terkurung selama bertahun-tahun?

Malah, act ketiga boleh dianggap sebagai anti-klimaks kerana segala perseteruan antara manusia dan makhluk misteri itu seolah-olah dipatahkan dengan begitu mudah.

Konflik yang dibina sejak awal filem akhirnya diselesaikan atas dasar bahawa “tidak semua makhluk melakukan kejahatan dan mereka yang melakukan kebaikan layak dilepaskan”, sekali gus membuatkan segala ketegangan dan persoalan yang dibina sebelum ini terasa seperti tidak mempunyai impak yang sepatutnya.

Di sebalik jalan cerita yang tidak konsisten, lakonan Wagner Moura dan Greta Lee tidak dinafikan agak berkesan. Kedua-duanya memberikan persembahan yang begitu meyakinkan dan menjadi antara faktor yang membuatkan penonton terus mengikuti perjalanan filem ini sehingga ke penghujung.

Selain bergelar seorang ayah, watak yang dilakonkan Wagner Moura juga merupakan seorang jurutera. Secara tidak langsung, kita dapat melihat pelbagai ciptaan ala McGyver yang dihasilkan oleh wataknya dalam usaha memastikan kelangsungan hidup keluarganya.

Elemen ini menjadi antara aspek menarik dalam filem, kerana ia memperlihatkan bagaimana kemahiran dan kreativiti wataknya digunakan untuk menghadapi situasi yang semakin mencabar.

Bagi Greta Lee pula, wataknya sebagai seorang isteri dan ibu memainkan peranan penting dalam memastikan keseluruhan keluarga mampu bertahan selama bertahun-tahun.

Persembahannya turut memberikan sedikit dimensi emosi kepada perjalanan keluarga tersebut, terutama ketika mereka terpaksa berdepan dengan kehidupan yang semakin jauh daripada normal.

Secara keseluruhannya, The Last House mempunyai premis yang cukup menarik bagi sebuah filem sci-fi thriller, tetapi potensi tersebut tidak pernah benar-benar dimanfaatkan sepenuhnya.

Filem ini berjaya membina rasa ingin tahu dan ketegangan, terutama selepas lonjakan masa lima tahun, namun penulisan yang tidak konsisten dan penyelesaian konflik yang terlalu mudah akhirnya melemahkan keseluruhan pengalaman.

Ia bukanlah sebuah filem yang buruk, tetapi juga bukan sebuah filem yang akan meninggalkan kesan mendalam.

The Last House mungkin cukup untuk mengisi masa, tetapi bagi penonton yang mengharapkan sebuah kisah survival sci-fi yang benar-benar mencabar dan meninggalkan persoalan untuk difikirkan, filem ini mungkin tidak akan sampai ke tahap tersebut.

The Last House boleh distrim di Netflix.

Rating: 3/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review Insidious: Out of the Further – Seram Popcorn Yang Menghiburkan

Karim Khan

Review Chelot: Gandingan 3 Pelakon Hebat Dalam Aksi Mendebarkan

Karim Khan

Review The End of Oak Street: Filem Dinosaur Yang Menarik dan Segar

Karim Khan

Review The Debt Collector: Cubaan Thailand Meniru John Wick Yang Tidak Menjadi

Karim Khan

Review Facing El Chapo: Thriller Kartel Yang Mendebarkan

Karim Khan

Leave a Comment