Kakimuvee
AsianReview Filem

Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Banner The Intern

Saya sebenarnya tidak menyangka produksi Korea akan menghasilkan semula filem arahan Nancy Meyers, The Intern, mengikut versi mereka sendiri. Terus terang saya katakan, The Intern merupakan salah satu filem komedi drama kegemaran saya dan sudah beberapa kali saya tontonnya tanpa pernah merasa jemu.

Bukan sahaja kerana filem tersebut menampilkan Anne Hathaway dan Robert De Niro, yang kebetulan merupakan antara pelakon kegemaran saya, tetapi jalan ceritanya yang heartwarming dan refreshing membuatkan The Intern kekal sebagai sebuah filem yang cukup dekat dengan saya.

Jadi, apabila saya mendapat tahu Korea akan menghasilkan Intern, saya mula tertanya-tanya sama ada mereka akan menghasilkan versi sendiri dengan jalan cerita yang sedikit berbeza daripada filem asal, atau sekadar membuat remake 100% tanpa sebarang perubahan yang ketara.

Sebelum saya meneruskan ulasan, sedikit peringatan: saya mungkin akan banyak membandingkan The Intern versi Hollywood dengan The Intern versi Korea sepanjang review ini.

Gambar The Intern

Kita ketepikan terlebih dahulu bagaimana mereka menghasilkan The Intern mengikut acuan sendiri. Apa yang sebenarnya membuatkan saya tertarik ialah pemilihan dua pelakon utama yang mengambil alih watak Jules dan Ben, yang sebelum ini dibawakan oleh Anne Hathaway dan Robert De Niro. Jules merupakan CEO sebuah syarikat start-up fesyen yang sedang berkembang pesat, manakala Ben ialah seorang intern warga emas yang ditugaskan untuk membantunya.

Pemilihan Han So-hee dan Choi Min-sik untuk mengisi watak tersebut bagi saya cukup tepat. So-hee bukan sahaja mempunyai kemampuan lakonan yang meyakinkan, malah statusnya sebagai salah seorang ikon fesyen Korea turut menjadikan kehadirannya sebagai Lee Seon-woo, versi baharu kepada Jules, terasa lebih sesuai dengan latar dunia fesyen yang menjadi salah satu elemen penting dalam filem ini.

Begitu juga dengan Choi Min-sik. Sebagai pelakon veteran yang sudah melalui pelbagai genre dan membawakan watak dengan karakter yang cukup berbeza sepanjang kariernya, dia mempunyai kematangan yang diperlukan untuk memainkan Kim Ki-ho, watak yang mengambil inspirasi daripada Ben. Choi berjaya membawakan sisi seorang pesara yang kembali ke alam pekerjaan sebagai intern tanpa menjadikannya sekadar salinan kepada versi Robert De Niro.

Walaupun versi asal dan Korea hanya dipisahkan oleh jurang masa sekitar sedekad, banyak perkara telah berubah, terutama dari segi teknologi, cara berkomunikasi dan budaya di tempat kerja. The Intern menggunakan perubahan zaman ini untuk memberikan sedikit identiti tersendiri kepada versi Korea, tanpa meninggalkan asas yang membuatkan filem asal begitu disukai.

Antara perbezaan yang paling ketara ialah bagaimana filem ini memasukkan budaya kerja generasi Z serta kebergantungan terhadap teknologi, khususnya AI, ke dalam kehidupan seharian watak-wataknya. Elemen ini bukan sekadar digunakan untuk memodenkan latar belakang cerita, tetapi turut menjadi sebahagian daripada komedi yang, bagi saya, berjaya menghasilkan beberapa babak yang benar-benar menghiburkan.

Pada masa sama, perubahan tersebut memberi ruang kepada watak Ki-ho untuk berkembang. Sebagai seorang pesara yang kembali ke alam pekerjaan selepas sekian lama, dia bukan sahaja perlu membiasakan diri dengan teknologi baharu, tetapi juga cuba menyesuaikan diri dengan cara berkomunikasi dan budaya kerja generasi yang jauh lebih muda daripadanya. Perbezaan generasi inilah yang menjadikan dinamik Ki-ho bersama rakan-rakan sekerjanya terasa lebih relevan dengan zaman sekarang.

Di sebalik usaha memodenkan latar ceritanya, versi Korea pada dasarnya masih mengekalkan tunjang utama The Intern, iaitu hubungan dan dinamik antara Seon-woo dan Ki-ho. Jika diletakkan bersebelahan, struktur penceritaan kedua-dua filem sebenarnya tidak jauh berbeza. Banyak elemen daripada versi asal dikekalkan, kemudian diolah semula mengikut latar, budaya dan identiti Korea tanpa menjejaskan struktur yang sudah sedia kukuh.

Sebagai seseorang yang sudah beberapa kali menonton filem asal, saya sendiri tidak berhenti tersenyum apabila The Intern mula menyajikan kembali babak-babak yang cukup familiar. Ada antaranya hampir identikal, sehingga saya sudah tahu apa yang bakal berlaku selepas itu. Namun, peliknya, perkara tersebut langsung tidak mengurangkan keseronokan saya menontonnya.

Saya tidak melihat kesetiaan kepada versi asal itu sebagai satu kelemahan atau sekadar cubaan meniru. Sebaliknya, di sinilah saya merasakan proses adaptasi The Intern dilakukan dengan begitu baik, malah hampir flawless. Ia tahu apa yang patut dikekalkan daripada karya Nancy Meyers, tetapi pada masa sama memberikan sentuhan tersendiri sehingga babak yang pernah kita tonton sedekad lalu masih terasa segar apabila dipersembahkan dalam acuan Korea.

Walau bagaimanapun, tidak semua perkara ditiru 100%. Menjelang penghujung filem, versi Korea mula mengambil haluan yang sedikit berbeza dengan memberikan penutup yang lebih emosional. Boleh dikatakan, bahagian inilah yang paling jelas memisahkan versi Korea daripada The Intern arahan Nancy Meyers.

Secara peribadi, saya merasakan penamat versi Korea jauh lebih kuat. Bukan sahaja kerana ia memberikan closure yang lebih emosional terhadap hubungan Seon-woo dan Ki-ho, tetapi juga kerana ia melengkapkan perkembangan karakter Seon-woo dengan lebih baik. Segala tekanan, keraguan dan konflik yang dilaluinya sepanjang filem akhirnya membawa kepada perubahan yang terasa bermakna, menjadikan Seon-woo seorang yang lebih kuat, yakin dan bermotivasi berbanding dirinya yang kita lihat pada awal cerita.

Apa pun, Han So-hee dan Choi Min-sik memberikan persembahan yang setanding dengan Anne Hathaway dan Robert De Niro. Walaupun Intern membawakan cerita yang hampir identikal dengan The Intern, ia masih sebuah filem yang cukup menyeronokkan untuk ditonton. Kita boleh anggap ia meniru, tetapi in a good way.

Filem ini tahu bahagian mana yang perlu dikekalkan dan bahagian mana yang perlu dipolish agar lebih sesuai dengan latar masa, budaya dan generasi penonton sekarang. Hasilnya, The Intern bukan sahaja berjaya mengekalkan kekuatan versi asal, malah dalam beberapa aspek, ia berjaya memperbaikinya.

Bagi saya, inilah contoh remake yang baik, tidak terlalu sibuk mahu menjadi berbeza, tetapi akhirnya gagal menyaingi atau sekurang-kurangnya menyamai kekuatan filem asal.

RATING: 4.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Flex X Cop Musim 2 Kembali Dengan Misi Lebih Berbahaya, Strim Di Disney+ Mulai 7 Ogos

Karim Khan

Review Facing El Chapo: Thriller Kartel Yang Mendebarkan

Karim Khan

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Karim Khan

Poster Baharu Hope Perlihatkan Raksasa Ganas Dalam Filem Arahan Na Hong-jin

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Leave a Comment