
Columbia Pictures melancarkan trailer terbaharu Jumanji: Open World, filem penutup kepada trilogi pengembaraan aksi komedi yang dibintangi Dwayne Johnson, Kevin Hart, Jack Black dan Karen Gillan. Keempat-empat pelakon utama itu kembali untuk satu pengembaraan terakhir yang kali ini membawa ancaman permainan Jumanji keluar ke dunia sebenar.
Berbeza dengan dua filem terdahulu yang menyaksikan para pemain terperangkap dalam dunia permainan video, Jumanji: Open World mengubah peraturan apabila dunia Jumanji sendiri berjaya menembusi realiti.
Kekacauan yang sebelum ini hanya berlaku dalam hutan berbahaya Jumanji kini merebak ke dunia manusia, sekali gus memaksa kumpulan watak utama berdepan cabaran baharu yang tidak lagi terhad kepada persekitaran permainan video.
Jake Kasdan kembali mengarahkan filem ini berdasarkan skrip yang ditulis bersama Jeff Pinkner dan Scott Rosenberg. Filem ini turut diadaptasi daripada buku Jumanji karya Chris Van Allsburg.
Selain empat pelakon utamanya, Jumanji: Open World turut menampilkan kepulangan Alex Wolff, Morgan Turner, Ser'Darius Blain dan Madison Iseman, bersama Nick Jonas serta Danny DeVito.
Dari segi produksi, filem ini diterbitkan oleh Matt Tolmach, Jake Kasdan, Dwayne Johnson, Dany Garcia dan Hiram Garcia.
Jumanji: Open World dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 24 Disember 2026, bersempena musim perayaan Krismas.
