
Penyanyi dan komposer tempatan, Hael Husaini tampil dengan single terbaharunya berjudul Selesa, sebuah lagu yang mengangkat kisah cinta tidak kesampaian, pengorbanan yang tidak dihargai serta kepedihan melepaskan insan tersayang demi kebahagiaannya bersama orang lain.
Dilancarkan pada 30 Oktober 2026, Selesa merupakan hasil ciptaan Hael bersama Iqie Hugh yang mengetengahkan kisah seseorang yang terlalu setia dalam percintaan, sanggup menjaga dan berkorban demi insan dicintai, namun terpaksa menerima hakikat bahawa segala usahanya tidak membawa kepada kebahagiaan yang diharapkan.
Lebih menyakitkan, individu tersebut turut menjadi orang yang membantu insan dicintainya menemui kebahagiaan bersama orang lain, meskipun terpaksa memendam perasaan dan menanggung luka sendiri.
Menurut Hael, Selesa bukan sekadar sebuah lagu tentang kekecewaan dalam percintaan, tetapi turut menyentuh soal pengorbanan yang tidak disedari, perasaan yang terpendam dan kekuatan untuk melepaskan seseorang demi kebahagiaannya.
“Bagi saya, ‘Selesa’ ialah sebuah lagu yang sangat dekat dengan realiti kehidupan. Ada masanya, kita terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat dia bahagia, walaupun akhirnya kita sendiri yang terluka.
“Apa yang lebih menyakitkan apabila kita terpaksa membantu orang yang kita sayang untuk bahagia dengan orang lain, sedangkan kita tahu kebahagiaan itu bukan lagi milik kita. Saya berharap lagu ini dapat mewakili perasaan mereka yang pernah melalui pengalaman sebegini dan menjadi teman kepada mereka yang sedang belajar untuk melepaskan,” katanya.
Muzik video rasmi Selesa pula menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia, dengan menampilkan pelakon Malaysia, Anna Jobling, bersama dua pelakon sinetron Indonesia, Antoni Blanco Junior dan Mahdy Reza.
Diarahkan oleh Prialangga, muzik video tersebut menggabungkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia bagi menghidupkan penceritaan visual yang berkisar tentang cinta, pengorbanan dan perasaan yang tidak terluah.
Selepas tampil menerusi single Garah, hasil kolaborasi bersama Mimi Fly, Selesa menjadi karya terbaharu Hael dan Iqie Hugh untuk peminat muzik tempatan.
Lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi utama drama bersiri tempatan Suamiku Anak Emak yang dibintangi Emma Maembong, Keith Foo, Izzue Islam dan beberapa pelakon lain.
Pemilihan lagu tersebut sebagai runut bunyi utama dijangka melengkapkan penceritaan drama berkenaan, khususnya dalam menggambarkan konflik percintaan dan perjalanan emosi watak-wataknya.

Dalam perkembangan lain, Hael Husaini bakal mewakili Malaysia di pentas ROUND Festival di Korea Selatan pada 8 November 2026, sekali gus membuka peluang untuk memperkenalkan karya dan identiti muziknya kepada peminat antarabangsa.
Mengulas mengenai penyertaannya, Hael meluahkan rasa teruja dan bersyukur kerana diberi peluang membawa nama Malaysia menerusi festival muzik tersebut.
“Sudah tentu saya sangat teruja dan bersyukur kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di ROUND Festival di Korea. Bagi saya, ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna, bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi juga sebagai wakil yang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Persiapan sedang dilakukan dari segi vokal, susunan persembahan dan pemilihan lagu supaya saya dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton di sana. Saya berharap dapat berkongsi muzik dan identiti seni saya dengan peminat baharu, di samping membawa pulang pengalaman yang berharga daripada festival ini,” jelasnya.
Penyertaan Hael di ROUND Festival turut membuka ruang untuk mengeratkan hubungan muzik antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi persembahan serta interaksi bersama peminat.
Selain ROUND Festival, Hael juga dijadualkan membuat kemunculan di Wish 107.5 Bus yang akan berlangsung di Namdong Gymnasium, Incheon, Korea Selatan, sebagai sebahagian daripada pengisian sepanjang kunjungannya ke negara tersebut.
Single Selesa kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 30 Oktober 2026, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.
Sumber: Siaran media Rocketfuel Entertainment
