Kakimuvee
Berita Lokal

Kudrat 1968: High Council Raih RM6.5 Juta Dalam Tempoh Tiga Hari Tayangan

Filem Kudrat 1968: High Council terus mencatat pencapaian memberangsangkan di pawagam apabila kutipannya kini mencecah RM6.5 juta dalam tempoh tiga hari, merangkumi tayangan awal serta dua hari tayangan rasmi sejak 29 Oktober lalu.

Pencapaian terbaharu ini menyusul selepas filem terbitan Astro Shaw tersebut merekodkan jualan tiket awal sebanyak RM3 juta sebelum tayangan rasminya bermula.

Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, Kudrat 1968: High Council merupakan sebuah prekuel yang membawa penonton kembali ke tahun 1968 untuk menyaksikan asal-usul sistem hierarki High Council di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT).

Kudrat 1968: High Councilmengikuti Ungku Abbas Ungku Deramat, anak kepada pengasas kolej berprestij tersebut yang memasuki KUDRAT sebagai pelajar tajaan. Bagaimanapun, kehadirannya menemukan Abbas dengan sebuah sistem yang membezakan pelajar berdasarkan latar belakang keluarga dan kedudukan sosial.

Pertembungannya dengan Tengku Uda atau Kuda, ketua pengawas yang berpengaruh, mencetuskan perebutan kuasa serta konflik antara pelajar yang semakin meruncing.

Dalam versi filem, kisah diteruskan apabila pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kematian seorang pelajar yang sebelum ini dirahsiakan. Ketegangan antara pelajar elit dan pelajar tajaan semakin memuncak, sekali gus menggugat sistem kuasa yang telah lama bertapak di kolej tersebut.

Filem ini menampilkan enam pelakon utama iaitu Zarif Ghazzi sebagai Abbas, Mierul Aiman (Kuda), Dai Fuad (Pa), Akmal Asyraf (Piji), Evertts Gomes (Ghafar) dan Chech Harith (Mazli).

Turut membintangi naskhah ini ialah Zamarul Hisham, Nabila Huda, Datuk Seri Eizlan Yusof, Aziz M. Osman, Aleza Shadan, Yasmin Hani, Rusdi Ramli, Douglas Lim dan beberapa pelakon lain.

Zulaikha Zakaria turut menggalas tanggungjawab sebagai showrunner, manakala filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw bersama ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, HM Entertainment dan GSC, dengan PASAL Productions mengendalikan produksinya.

Satu Cerita, Dua Format Penceritaan

Antara keunikan Kudrat 1968: High Council ialah pendekatan penceritaannya yang menggabungkan dua format berbeza, iaitu siri televisyen dan filem, sebagai satu kisah yang saling bersambung.

Siri empat episodnya mula ditayangkan pada 11 September 2026 dan boleh ditonton menerusi Netflix serta sooka. Siri tersebut memperkenalkan enam watak utama, latar kehidupan di KUDRAT dan konflik yang membentuk kewujudan sistem High Council.

Penceritaan itu kemudiannya diteruskan menerusi filem yang berfungsi sebagai bab penutup kepada konflik yang dibangunkan sepanjang siri.

Menurut Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad, kedua-dua format ini telah dirancang sejak peringkat awal pembangunan, malah penggambaran siri dan filem dijalankan dalam tempoh yang sama bagi memastikan kesinambungan penceritaan.

Pendekatan ini turut membolehkan penonton mengenali watak dan konflik dengan lebih mendalam menerusi siri sebelum menyaksikan penyudahnya di layar perak.

Kudrat 1968: High Council juga merupakan sebahagian daripada pengembangan dunia High Council yang bermula dengan siri Projek: High Council (2023), diikuti filem Kahar: Kapla High Council (2024).

Filem Kudrat 1968: High Council kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Sumber: Astro Shaw, Astro Awani, Malay Mail, The Star

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Astro Kini Tawarkan Promosi Hebat Dengan 8 Aplikasi Penstriman Popular Dalam Satu Pek Mudah

Karim Khan

Astro Perluas Kerjasama Dengan Disney+, Lebih Banyak Filem Marvel, Star Wars & Kandungan Tempatan Ditawarkan

Karim Khan

Pewaris Susuk Kini Boleh Ditonton Secara Eksklusif Di Tonton Dengan Harga RM12

Karim Khan

Polong Dan Kisah Bawah Tanah Memasuki Kandungan Netflix Minggu Ini

Karim Khan

5 Sebab Anda Wajib Tonton ‘Tiket Sehala’, Thriller Terbaharu Yang Paparkan Realiti Job Scam

Karim Khan

Nadi Inspirasi Kami: CelcomDigi Angkat Kisah Sebenar Petugas Barisan Hadapan

Farah

Leave a Comment