
Tempatan Fest 2026 bakal kembali memeriahkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor pada 7 dan 8 November 2026 dengan konsep baharu yang menggabungkan dunia permotoran, muzik, fesyen dan gaya hidup dalam satu festival.
Penganjuran kali ini menyaksikan kerjasama Tempatan Fest dengan dua nama besar dalam industri acara permotoran, iaitu International Automodified (IAM) dan Malaysia Auto Xpo (MAX), serta beberapa komuniti drift. Kolaborasi ini bakal menjadikan Tempatan Fest 2026 antara acara penutup tahun yang menghimpunkan peminat permotoran dan gaya hidup.
Festival selama dua hari itu akan berlangsung di Dewan A, Dewan C serta kawasan terbuka sekitar MAEPS, dengan pelbagai aktiviti dan tarikan yang disediakan untuk pengunjung.
Selain pameran kereta modifikasi dari seluruh dunia, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman menaiki kereta drift serta menyaksikan pelbagai pertandingan dan aktiviti sukan ekstrem yang dianjurkan sepanjang festival.
Tempatan Fest 2026 juga akan mengetengahkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa yang merangkumi pakaian, aksesori, wangian, kopi, muzik serta produk berkaitan permotoran. Pertandingan papan selaju turut menjadi sebahagian daripada pengisian acara tahun ini.
Antara jenama pakaian dan aksesori yang bakal menyertai festival ini termasuk Eversince, The Keeks, Beachnicity, Svggest dan Pukul Rata dari Indonesia, selain beberapa jenama lain.
Bagi peminat wangian, jenama tempatan seperti FragLab dan Opai turut mengambil bahagian. Sementara itu, pengunjung yang menggemari kopi dan manisan boleh mendapatkan pilihan daripada The Matcha Lab, Orca Coffee, Whitebrew serta pelbagai jenama lain, dengan Pesta Kopi bertindak sebagai rakan kerjasama bagi ruang makanan festival.
Pengunjung juga boleh meneroka ruang jualan dan pameran peralatan muzik yang menampilkan ZFX Industries dan Music Bliss. Gabungan pelbagai kategori ini menjadikan Tempatan Fest 2026 sebuah festival yang bukan sahaja tertumpu kepada permotoran, malah turut meraikan kreativiti, budaya dan gaya hidup.
Dari segi hiburan, sebuah pentas muzik khas akan disediakan dengan persembahan beberapa kumpulan tempatan seperti Raksar, Aib dan Republic of Brickfields, selain barisan DJ terpilih yang bakal menghiburkan pengunjung sepanjang acara.
Tiket masuk Tempatan Fest 2026 ditawarkan pada harga RM10 untuk satu hari. Pengunjung juga berpeluang memenangi dua buah gitar elektrik tajaan Music Bliss, termasuk sebuah gitar Gibson Les Paul yang bernilai RM28,000.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.tempatanfest.com.
Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa penyertaan masih dibuka kepada jenama yang berminat untuk mendapatkan ruang jualan dan pameran sepanjang festival berlangsung. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui e-mel [email protected] atau menghubungi 016-397 3447.
Maklumat Acara
- Acara: Tempatan Fest 2026
- Tarikh: 7–8 November 2026
- Lokasi: Dewan A, Dewan C dan kawasan terbuka MAEPS, Serdang
- Harga tiket: RM10 sehari
- Laman web: www.tempatanfest.com

