
Kojima Productions telah memperkenalkan teaser dan poster pertama untuk Death Stranding Isolations, sebuah siri anime 2D berdasarkan dunia permainan video ciptaan Hideo Kojima yang dijadualkan menemui penonton secara eksklusif di Disney+ pada 2027.
Berbeza daripada permainan video asal, siri ini akan membawakan sebuah kisah baharu dengan watak-watak tersendiri. Ia diarahkan oleh Takayuki Sano, manakala proses animasi lukisan tangan dikendalikan oleh studio E&H Production, yang terkenal menerusi karya seperti Ninja Kamui, Bullet/Bullet dan Magic Knight Rayearth.
Berlatarbelakangkan Amerika Utara, Death Stranding Isolations berlaku sejurus selepas Sam, protagonis utama permainan video tersebut, berjaya menghubungkan semula seluruh benua menerusi rangkaian Chiral Network.
Bagaimanapun, ketika Amerika mula dibangunkan semula selepas kehancuran, hubungan yang diwujudkan melalui rangkaian tersebut turut membawa pelbagai kesan dan cabaran baharu yang tidak dijangka.
Siri ini akan mengikuti beberapa individu yang memilih haluan berbeza daripada Sam dan rakan-rakannya di Bridges. Antaranya seorang lelaki tua yang menggunakan kaedah luar biasa untuk menghubungkan manusia, seorang askar wanita yang terperangkap dalam kitaran peperangan dan kemusnahan, serta seorang remaja lelaki yang menyimpan kemarahan terhadap kehidupannya.
Turut menjadi tumpuan ialah seorang gadis yang memilih untuk memutuskan segala hubungan dengan dunia luar. Namun, beberapa pertemuan yang tidak dijangka mengubah kehidupannya apabila dia terpaksa berdepan dengan dunia yang tidak lagi dikenalinya.
Menurut pengarah Takayuki Sano, beliau memikul tanggungjawab besar untuk memastikan adaptasi ini dapat mengekalkan kekuatan penceritaan yang menjadi identiti karya Hideo Kojima.
Sano menjelaskan bahawa salah satu keistimewaan medium hiburan ialah keupayaannya memberikan kesan mendalam terhadap jiwa dan pemikiran penonton. Baginya, karya Kojima sentiasa memiliki kekuatan tersebut, sekali gus mendorong beliau untuk mendekati projek ini dengan penuh komitmen dan rasa tanggungjawab.
Selain Sano, siri ini turut melibatkan Ilya Kuvshinov sebagai pereka watak asal dan Tow Ubukata sebagai penulis skrip, manakala Hideo Kojima bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Francais Death Stranding terus mencatat perkembangan sejak permainan pertamanya dilancarkan pada 2019. Sehingga Jun 2026, francais tersebut telah mengumpulkan lebih 27 juta pemain di seluruh dunia.
Permainan Death Stranding: Director's Cut kini tersedia di PlayStation 5 dan PC, manakala sekuelnya, Death Stranding 2: On the Beach, turut boleh dimainkan di kedua-dua platform tersebut.
Dalam masa yang sama, dunia Death Stranding juga sedang dikembangkan menerusi beberapa projek adaptasi lain.
Studio A24 sedang membangunkan sebuah filem aksi nyata Death Stranding dengan Michael Sarnoski (A Quiet Place: Day One) dilantik sebagai penulis skrip dan pengarah.
Sebuah filem animasi Death Stranding yang berasingan juga sedang dalam pembangunan dengan judul kerja Death Stranding Mosquito. Aaron Guzikowski, penulis filem Prisoners, bertanggungjawab menghasilkan skripnya.
Death Stranding Isolations dijadualkan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ pada 2027, namun tarikh tayangan khusus masih belum diumumkan.
Sumber: Bloody Disgusting / Kojima Productions

