Kakimuvee
Review Filem

Review Ramayana: Part I – Filem Epik India Dengan Visual Yang Memukau

Sudah lama sebenarnya saya tidak menonton filem epik dari India. Seingat saya, kali terakhir saya menonton filem bergenre begini adalah menerusi duologi Baahubali. Selepas itu, meskipun beberapa filem epik lain telah diterbitkan, saya tidak lagi mengikuti genre tersebut sehinggalah munculnya Ramayana: Part I.

Minat saya terhadap filem ini mula timbul selepas menonton trailernya ketika menghadiri salah satu tayangan perdana beberapa bulan lalu. Apa yang membuatkan saya tertarik pada filem ini bukan sahaja disebabkan visualnya, tetapi juga penglibatan tenaga kerja dari Hollywood, atau secara spesifiknya, penghasilan skor muzik oleh komposer terkenal Hans Zimmer, yang sebelum ini turut terlibat dalam projek terbaharu Christopher Nolan, The Odyssey.

Ramayana: Part I mengisahkan perjalanan Rama dan Sita yang menjalani kehidupan dalam buangan di hutan, ditemani adik Rama, Lakshmana. Namun, kehidupan mereka mula berubah apabila berdepan dengan konflik melibatkan Ravana, pemerintah Lanka yang memiliki kuasa luar biasa serta kekebalan hasil anugerah dewa.

Seperti yang saya jelaskan di atas, jangkaan saya terhadap visual dan skor muzik filem ini benar-benar dipenuhi. Filem ini menampilkan visual yang sangat memukau dan bombastik, ditambah pula dengan gabungan skor dan muzik hasil sentuhan Hans Zimmer dan A. R. Rahman.

Kedua-dua aspek teknikal yang hebat ini memberikan satu pengalaman sinematik yang cukup epik, terutamanya menerusi kualiti CGI yang mengagumkan, reka bentuk dunia mitologi yang begitu terperinci serta skala babak aksi dan pertarungan yang cukup besar. Saya boleh ibaratkan seperti Avatar bertemu dengan The Lord of the Rings, bagi memberikan gambaran kepada anda tentang kualiti visual serta skor muzik yang dipersembahkan dalam filem ini.

Walaupun begitu, saya akui terdapat satu dua babak yang memperlihatkan penggunaan CGI yang kurang kemas dan kelihatan agak pelik, mengingatkan saya kepada beberapa babak dalam Thor: Love and Thunder. Namun, kelemahan kecil ini tidaklah memberikan kesan yang besar terhadap keseluruhan pengalaman saya menikmati kehebatan visual dan skor filem ini.

Artikel Berkaitan:  Bila Spider-Man: Brand New Day Dijangka Masuk Netflix Malaysia?

Cuma, di sebalik aspek teknikal yang baik, saya mempunyai sedikit masalah dengan pacing filem ini serta gaya penceritaannya yang agak draggy. Pengenalan watak Ravana misalnya, boleh dikatakan agak panjang dan meleret. Saya sendiri terkejut apabila title card hanya muncul sekitar minit ke-40, sedangkan bagi saya, kisah pengenalan Ravana ini sebenarnya boleh dipendekkan.

Begitu juga dengan pengenalan watak Rama dan pertemuannya dengan Sita yang saya rasakan agak panjang. Saya sebenarnya tidak mempunyai masalah jika filem ini mahu memberikan penekanan terhadap lore watak-watak utamanya. Ceritanya masih menarik untuk diikuti, tetapi apabila terlalu banyak masa dihabiskan untuk beberapa babak yang tidak begitu menyumbang kepada perkembangan cerita, ia sedikit sebanyak membuatkan saya berasa bosan.

Bukan itu sahaja, penggunaan slow-mo yang berlebihan ala Zack Snyder ketika babak aksi juga saya rasakan turut menyumbang kepada durasi filem yang agak panjang. Saya akui, walaupun filem ini menampilkan babak peperangan dan pertarungan berskala epik, penggunaan slow-mo yang terlalu kerap sedikit sebanyak menghilangkan momentum aksi, khususnya dalam membina ketegangan kepada penonton.

Dari segi lakonan, ketiga-tiga pelakon utama, Ranbir Kapoor, Yash dan Sai Pallavi memberikan persembahan yang cukup mantap dan berjaya menarik perhatian saya. Meskipun sedikit terkesan dengan durasi filem yang panjang, kekuatan lakonan mereka membuatkan saya masih invested dengan perjalanan cerita filem ini dan perkembangan watak-wataknya. Bagaimanapun, saya sebenarnya lebih tertarik dengan watak Lakshmana yang dilakonkan oleh Ravi Dubey.

Selain lakonan Ravi Dubey yang hebat, watak Lakshmana juga agak menarik kerana memiliki personaliti yang seakan-akan berada di antara Rama dan Ravana. Dia memiliki sifat tenang dan berprinsip seperti Rama, tetapi pada masa yang sama turut mempunyai sisi agresif dan panas baran yang mengingatkan saya kepada Ravana. Gabungan personaliti ini menjadikan wataknya lebih menonjol dan tidak dibayangi oleh Rama lakonan Ranbir Kapoor, walaupun kedua-duanya sering muncul bersama sepanjang filem ini.

Secara keseluruhannya, Ramayana: Part I berjaya menepati jangkaan saya dari segi aspek teknikal, khususnya dalam memberikan pengalaman sinematik yang sukar dilupakan. Cuma, jika struktur penceritaan dan pengenalan watak-wataknya dibuat dengan lebih kemas serta unnecessary slow-mo dikurangkan, saya yakin filem ini mampu memberikan pengalaman menonton yang jauh lebih menarik.

Artikel Berkaitan:  Review The Debt Collector: Cubaan Thailand Meniru John Wick Yang Tidak Menjadi

Saya sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan filem yang berdurasi panjang, asalkan penceritaannya menarik dan tidak terasa meleret. Contoh paling hampir yang boleh saya berikan adalah trilogi The Lord of the Rings, yang walaupun mempunyai durasi panjang, masih berjaya mengekalkan minat saya menerusi storytelling yang menarik dan tidak membosankan.

RATING: 3/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Karim Khan

Review God Skin: Idea Menarik, Tetapi Penceritaan Berterabur

Ammar

Review Digger: Tom Cruise Pamer Lakonan Terbaik Dalam Kerjayanya

Karim Khan

Review The Debt Collector: Cubaan Thailand Meniru John Wick Yang Tidak Menjadi

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Review The Beast: Gred B Actioner Yang Menghiburkan

Karim Khan

Leave a Comment