Kakimuvee
Superhero / Live-Action / Comic

Hailee Steinfeld Sahkan Penampilannya Sebagai Kate Bishop Dalam Avengers: Doomsday

Pelakon Hailee Steinfeld mengesahkan bahawa beliau akan kembali membawakan watak Kate Bishop dalam filem terbaharu Marvel Studios, Avengers: Doomsday, yang dijadualkan menemui penonton pada 18 Disember 2026.

Steinfeld pertama kali diperkenalkan dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) menerusi siri Hawkeye di Disney+, sebelum membuat kemunculan ringkas dalam babak pascakredit The Marvels bersama Iman Vellani yang membawakan watak Kamala Khan.

Babak tersebut memberi bayangan mengenai pembentukan pasukan adiwira muda yang dikenali sebagai Young Avengers. Bagaimanapun, terdapat spekulasi bahawa Marvel Studios mungkin memperkenalkan pasukan berkenaan menerusi projek Champions.

Sebelum pengesahan Steinfeld, beberapa khabar angin turut mengaitkan Kate Bishop dengan Avengers: Doomsday dan Avengers: Secret Wars. Malah, sebuah trailer yang ditayangkan dalam format ScreenX didakwa memperlihatkan Scott Lang atau Ant-Man bersama anak perempuannya, Cassie Lang, bertemu semula di apartmen Kate Bishop.

Walaupun penglibatan Steinfeld kini telah disahkan, sejauh mana peranan Kate Bishop dalam Avengers: Doomsday masih belum didedahkan.

Pengumuman tersebut juga dibuat ketika peminat sedang menantikan pelancaran trailer terakhir filem berkenaan. Kemunculan Kate Bishop dalam trailer itu antara kemungkinan yang diperkatakan, namun Marvel Studios masih belum memberikan sebarang pengesahan mengenainya.

Sebelum ini, Steinfeld pernah berkongsi dengan Variety mengenai pengalamannya membawakan watak Kate Bishop dan bagaimana karakter tersebut berpotensi memberikan inspirasi kepada penonton.

“Merupakan satu penghormatan buat saya apabila berpeluang membawakan watak yang mungkin dapat memberikan inspirasi kepada seseorang.

“Kate Bishop ialah karakter yang saya sendiri ingin jadikan inspirasi ketika membesar. Dia seorang yang bercita-cita tinggi, mempunyai matlamat jelas, berdisiplin dan sanggup melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mencapai impiannya,” katanya.

Avengers: Doomsday bakal menyaksikan pertembungan adiwira daripada beberapa alam semesta ketika Multiverse Saga menghampiri penghujungnya. Mereka bakal berdepan ancaman luar biasa yang bukan sahaja menggugat keselamatan dunia masing-masing, malah berpotensi mengubah masa depan keseluruhan MCU.

Filem ini turut menghimpunkan barisan pelakon besar termasuk Chris Hemsworth sebagai Thor, Anthony Mackie sebagai Captain America, Tom Hiddleston sebagai Loki, Paul Rudd sebagai Ant-Man, Florence Pugh sebagai Yelena Belova dan Sebastian Stan sebagai Bucky Barnes.

Selain itu, beberapa watak daripada francais X-Men turut kembali, antaranya Patrick Stewart sebagai Professor X, Ian McKellen sebagai Magneto, James Marsden sebagai Cyclops dan Rebecca Romijn sebagai Mystique.

Barisan Fantastic Four yang terdiri daripada Pedro Pascal, Vanessa Kirby, Joseph Quinn dan Ebon Moss-Bachrach juga bakal memainkan peranan dalam filem tersebut, manakala Robert Downey Jr. kembali ke MCU dengan membawakan watak Doctor Doom.

Avengers: Doomsday diarahkan oleh Anthony dan Joe Russo, yang sebelum ini mengarahkan Captain America: The Winter Soldier, Captain America: Civil War, Avengers: Infinity War dan Avengers: Endgame.

Selepas Avengers: Doomsday, perjalanan Multiverse Saga akan diteruskan menerusi Avengers: Secret Wars, yang dijadualkan ditayangkan pada 17 Disember 2027.

Avengers: Doomsday dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia pada 17 Disember 2026.

Sumber: ComicBookMovie, Variety

Related posts

Trailer Pertama Clayface Ubah Penjahat Batman Menjadi Kisah Body Horror

Farah

Marvel Zombies Akan Menghasilkan 3 Annual Special Bermula 2027

Karim Khan

Filem X-Men Dilaporkan Bakal Mulakan Penggambaran Pada Awal 2027

Karim Khan

James Gunn Dedah Perkembangan Terbaharu Batman: The Brave and the Bold, Proses Pemilihan Pelakon Bakal Bermula

Karim Khan

Jeremy Renner Bergurau Avengers Bakal Kalah Dalam Doomsday Tanpa Hawkeye

Karim Khan

Adakah Ned Benar-Benar Ingat Peter Parker? Ini Jawapan Jacob Batalon

Karim Khan

Leave a Comment