Kakimuvee
Review Filem

Review Bisikan Desa Gringsing – Filem Seram Yang Menyentuh Emosi.

Sepanjang saya menonton filem-filem seram supernatural yang memperlihatkan susuk tubuh hantu, entiti atau roh, inilah kali pertama saya langsung tidak berasa takut. Sebaliknya, apa yang saya rasakan adalah kesedihan dan simpati terhadap nasib yang menimpa watak utama dalam filem ini.

Itulah gambaran yang boleh saya berikan kepada anda mengenai sebuah filem seram hasil kerjasama produksi antara Indonesia, Malaysia dan Singapura, iaitu Bisikan Desa Gringsing.

Filem lakonan Aghniny Haque ini mengisahkan Hesti, seorang wanita yang sedang mencari bapanya yang hilang di sebuah desa terpencil di Indonesia. Pencarian itu membawanya bertemu dengan sekumpulan penduduk di pinggir desa berkenaan.

Ketika ditanya mengenai keberadaan bapanya, ketua kampung memberitahu Hesti bahawa bapanya sudah meninggalkan desa tersebut. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, Hesti berhasrat untuk meneruskan pencariannya di kawasan perkampungan itu, namun dihalang oleh penduduk setempat.

Hesti tetap berdegil dan melangkah masuk tanpa menghiraukan larangan mereka. Namun, sebaik sahaja berada di dalam desa itu, keadaan menjadi sebaliknya apabila dia pula tidak dibenarkan keluar. Tanpa pengetahuannya, desa tersebut sebenarnya berada di bawah sumpahan sebuah roh yang akan meragut nyawa sesiapa sahaja yang cuba meninggalkan kawasan itu.

Secara jujurnya, Bisikan Desa Gringsing langsung tidak membangkitkan perasaan seram. Tiada jumpscare yang berkesan mahupun babak yang benar-benar mencengkam, sebaliknya filem ini bergerak dengan nada yang agak mendatar. Namun, elemen misterinya cukup kuat untuk membuatkan saya tertanya-tanya tentang apa sebenarnya yang berlaku di desa tersebut sehingga penduduknya ditimpa sumpahan yang begitu dahsyat.

Seiring dengan perkembangan plot, misteri yang menyelubungi desa itu dirungkai sedikit demi sedikit sehingga membawa kepada satu pendedahan besar yang bukan mencetuskan ketakutan, sebaliknya membangkitkan rasa simpati apabila mengetahui kisah di sebalik sumpahan tersebut dan bagaimana ia berkait dengan Hesti.

Meskipun di perenggan atas saya ada mengatakan bahawa filem ini tidak begitu kuat dari segi horror, Bisikan Desa Gringsing sebenarnya menampilkan beberapa babak yang memperlihatkan kemunculan roh dan kematian penduduk kampung, malah terdapat juga paparan visual yang boleh dianggap agak disturbing.

Namun, penceritaannya lebih kuat dalam membangkitkan emosi, khususnya perasaan marah terhadap individu yang mengambil kesempatan terhadap golongan wanita, sehinggakan kesan emosi tersebut mengatasi elemen seram yang ditampilkan dalam filem ini.

Dari aspek teknikal, filem ini menampilkan latar yang bersesuaian dengan tema dan konteks penceritaannya. Gambaran sebuah desa terpencil serta kehidupan penduduknya yang serba kekurangan diperlihatkan dengan cukup realistik. Visual dan skor muzik turut memainkan peranan penting dalam membina atmosfera misteri serta menggambarkan ketakutan yang menyelubungi kehidupan penduduk kampung.

Lakonan juga menjadi antara kekuatan utama filem ini, khususnya Aghniny Haque sebagai Hesti dan Surya Saputra yang membawakan watak Gagan. Sebahagian besar penceritaannya berkisar pada kedua-dua watak ini, dan masing-masing memberikan persembahan yang cukup meyakinkan, bukan sahaja dari segi penyampaian emosi, tetapi juga dalam memperlihatkan peralihan perwatakan seiring dengan perkembangan plot. Lakonan mereka turut memainkan peranan penting dalam mengubah persepsi penonton terhadap watak masing-masing apabila berlakunya plot twist.

Secara keseluruhannya, Bisikan Desa Gringsing menyajikan sebuah jalan cerita yang menarik dengan kejutan yang tidak dijangka pada third act. Lakonan mantap daripada Aghniny Haque dan Surya Saputra turut menjadi antara kekuatan utamanya.

Namun, sebagai sebuah filem seram, nada yang agak mendatar serta elemen seram yang kurang berkesan sedikit sebanyak menjejaskan pengalaman menonton. Di sebalik kelemahan tersebut, Bisikan Desa Gringsing masih menarik untuk ditonton, khususnya bagi peminat filem seram Indonesia.

RATING: 3.5/5

Related posts

Review Orang Perang: Potensi Besar Senoi Praaq Yang Gagal Dimanfaatkan

Karim Khan

Review Pemuja Syaitan: Slasher Tempatan Yang Berani & Mendebarkan

Karim Khan

Review Munafik: Melawan Iblis – Berbaloikah Untuk Ditonton?

Karim Khan

Review Ramayana: Part I – Filem Epik India Dengan Visual Yang Memukau

Karim Khan

Review Hope: Terlalu Draggy Walaupun Penuh Aksi

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Leave a Comment