Kakimuvee
Review Filem

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Review filem Mutiny
Poster filem Mutiny lakonan Jason Statham. Kredit: Antenna Entertainment

Genre aksi dan Jason Statham memang tidak dapat dipisahkan. Tanpa aksi, Statham hanyalah pelakon biasa, dan tanpa Statham, genre aksi masih mempunyai ramai pelakon lain.

Sebab itulah sudah tiba masanya diwujudkan satu genre baharu bernama “genre Statham”, iaitu filem yang hanya memaparkan aksi ala Statham, sesuatu yang mungkin tidak boleh ditiru oleh mana-mana pelakon aksi lain.

Dan Mutiny adalah contoh paling jelas mengapa genre tersebut mungkin memang perlu diwujudkan.

Jason Statham kembali dengan filem aksi terbarunya, Mutiny, sebagai Cole Reed, bekas anggota Royal Marines dan bekas anggota polis London yang kini bekerja dalam bidang keselamatan persendirian.

Kehidupan Reed berubah apabila majikannya, seorang taikun perkapalan dari Thailand, dibunuh di hadapan matanya sendiri. Lebih malang, Reed pula dijadikan kambing hitam atas pembunuhan tersebut dan terpaksa melarikan diri sambil mencari dalang sebenar di sebalik kejadian itu.

Pengejaran tersebut akhirnya membawa Reed menaiki sebuah kapal kargo, di mana dia bukan sahaja terpaksa berdepan dengan sekumpulan musuh bersenjata, tetapi turut membongkar satu konspirasi antarabangsa yang jauh lebih besar daripada apa yang disangkakannya.

Jason Statham dalam filem Mutiny

Statham dalam genre aksi memang nampak hebat dan menjadi, seperti yang ditunjukkannya menerusi filem seperti The Beekeeper, Hobbs & Shaw dan The Transporter. Lakonannya berwibawa, aksinya hebat dan menghiburkan, dan yang penting, jalan ceritanya menarik serta mendebarkan.

Namun, penampilan pertamanya dalam genre Statham agak serba tak kena. Ya, aksinya dalam filem Mutiny memang gritty, ganas dan memuaskan hati, terutama apabila melihat penjahat-penjahat dibelasah dan mati dengan cara yang menyeksakan di tangan Statham.

Artikel Berkaitan:  Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Tetapi, filem ini juga menampakkan Statham kelihatan sangat kayu dan ’emotionless’, seperti mimik muka Kristen Stewart ketika dia gelak, sedih, murung dan marah – tiada perbezaan.

Statham juga dilihat agak ‘struggle’ dalam ‘mengemudi kapal kargo’ Mutiny kerana dikelilingi oleh pelakon-pelakon pembantu yang… lebih kurang ‘kaku sepertinya’. Dialog yang dituturkan oleh watak-watak pembantu dan penjahat kedengaran tidak natural, seolah-olah membaca papan skrip di belakang kamera.

Filem ini adalah definisi di mana hero menjalankan ‘quest’ dalam mode novice atau amatur. Walaupun penjahat mempunyai kelebihan dari segi jumlah, fizikal dan firepower, kesemuanya menjadi tidak penting apabila tahap kesukaran direndahkan ke tahap paling minimum.

Jason Statham dalam filem Mutiny

Walaupun dalam mode amatur, koreografi pertarungan dan aksi tembak-menembak masih boleh dianggap ‘okay’. Cuma, seperti yang saya tulis di atas, Statham dengan tenang dan selamba mudah menewaskan mereka. Aksinya memang kelihatan menarik, tetapi tiada kepuasan sebenar apabila tiada satu pun lawan yang benar-benar memberikan cabaran kepadanya.

Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan genre Statham, di mana penjahat-penjahat dilemahkan selemah-lemahnya yang mungkin supaya mana-mana watak yang dilakonkan oleh Jason Statham kelihatan lebih superior daripada villain dan mampu menumbangkan hatta 100 musuh di hadapannya.

Dari segi jalan cerita, tiada yang istimewa, apatah lagi memiliki bahagian cerita yang mampu mencipta kejutan. Ceritanya lurus dari A hingga ke Z, tiada twist dan sekadar mengikut formula klise filem-filem aksi yang sudah terlalu biasa kita lihat.

Apapun, secara keseluruhan, filem ini sebenarnya dibuat khusus untuk mereka yang meminati aksi ala Jason Statham, atau lebih tepat, peminat ‘genre Statham’. Bagi saya, ia bukan filem aksi yang baik, tetapi ia juga tidaklah begitu teruk kerana masih memberikan aksi-aksi yang gritty dan memuaskan.

Artikel Berkaitan:  Review The Last House: Survival Thriller Yang Tidak Cukup Rangup & Terlebih Tepung.

Cuma, saya kurang meminati filem terbaru Statham kali ini kerana ceritanya sangat klise dan membosankan, ditambah pula dengan mutu lakonan yang mengecewakan.

Mutiny mungkin mampu memberikan kepuasan kepada peminat yang datang semata-mata untuk melihat Statham menumbangkan musuh demi musuh, tetapi bagi mereka yang mengharapkan sebuah filem aksi dengan cerita, watak dan lakonan yang lebih berkualiti, filem ini terasa seperti satu langkah ke belakang.

Rating: 2.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Onslaught: 3 Askar Super Jadi Longlai Bila Bertemu Adria Arjona

Karim Khan

Review Spider-Man: Brand New Day – Kisah Peter Parker Melawan Dirinya Sendiri

Karim Khan

Review 402 Rumah Sakit Angker Korea: Tidak Sehebat Filem Asal, Tetapi Berjaya Memberi Pengalaman Seram

Ammar

Review Chelot: Gandingan 3 Pelakon Hebat Dalam Aksi Mendebarkan

Karim Khan

Review Hope: Terlalu Draggy Walaupun Penuh Aksi

Karim Khan

Review Insidious: Out of the Further – Seram Popcorn Yang Menghiburkan

Karim Khan

Leave a Comment